Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

23 April 2010

Kalaulah Dapat Kuajar Mereka al-Quran...

Masjid Dato' Undang Kamat, Johol
Hari ini, saya menunaikan Solat Fardu Jumaat di Masjid Dato' Undang Kamat ataupun lebih dikenali di sini dengan nama Masjid Batu. Kalaulah masjid lama ini diletakkan di KL, sudah tentu ramai yang mengatakannya surau kerana melihat kepada saiznya yang agak 'comel'. Jika dibandingkannya dengan Surau Taman Permata, Masjid Batu ini lebih kecil lagi. Itu belum lagi jika dibandingkan dengan Surau Raudhatul Faizin SAMBBST, surau bekas sekolah saya dahulu yang 3-4 kali ganda lebih besar daripadanya.

Kalau dibuat besar-besar pun buat apa, jemaahnya tidaklah ramai. Anggaran saya yang berjemaah tadi pun sekitar 100 orang sahaja. Lainlah kalau di bandar. Di bandar-bandar besar, Masjid yang besar dibina, namun ia masih tidak dapat menampung keperluan jemaah Fardu Jumaat. Keadaan masjid yang tidak mampu menampung jumlah jemaah itu akhirnya memaksa qariah tempatan menjadikan surau berhampiran sebagai 'Surau Jumaat', surau yang mendirikan Solat Fardu Jumaat. Kalau di Lembah Kelang, surau-surau yang bertindak sebagai Surau Jumaat ini amatlah banyak seperti Surau Taman Permata (Hulu Kelang), Surau ar-Raudhah (Bandar Bukit Mahkota), Surau al-Munir (Seri Kembangan), Surau Darul Naim (Desa Tun Razak), Surau Taman Bunga Raya (Setapak), dan lain-lain. Orang bandar sahaja yang tahu kewujudan Surau Jumaat kerana keadaan yang pada mendesak surau memikul sebahagian daripada tugas masjid kariah tersebut. Pernah sahabat saya, Fakhrul terkejut ketika saya mengatakan mahu ke surau pada hari Jumaat, terkejut sebab tidak mengetahui terdapatnya surau yang mendirikan Fardu Jumaat. Itu bukanlah kesilapannya tidak mengetahui perkara tersebut kerana sahabat tersebut juga bukanlah seorang yang membesar di bandar.

Tajuk khutbah hari ini yang disampaikan di Masjid Batu berkisar kepada penyalahgunaan dadah. Isinya dikupas bermula daripada haramnya mengikut syarak sehinggalah kepada kaedah pencegahan yang disarankan agama.

Ramai ke belia remaja kampung yang ketagih arak? Wallahu a'lam.

Tetapi, seperti biasalah, ada dua tiga pak cik yang mendengarnya ada yang 'terangguk-angguk' mendengar khutbah yang disampaikan. Husnuz-zhonlah dengan pak cik-pak cik tersebut, mereka mendengarnya dengan penuh kekhusyukkan (betul ke khusyuk?). Khusyuk atau tidak, itu semua kerja Allah. Buat apa kita nak nilaian tersebut?

TERLINTAS SESUATU

Sebenarnya, selepas saya solat, ketika imam berzikir dan membaca doa, saya terfikir sesuatu perkara. Kalaulah saya dapat mengajar kanak-kanak, anak-anak muda di kampung ini membaca al-Quran, alangkah seronoknya. Mengajar mereka dengan percuma tanpa mengharapkan bayaran daripada ibu bapa ataupun atuk nenek mereka. Bagi saya, dalam banyak-banyak ilmu berkaitan agama, ilmu tentang pembacaan al-Quran ini lebih dekat dengan hati saya. Oleh sebab itulhah, pada asalnya saya memilih aliran hafazan al-Quran dan Qiraat di KUIS sebelum saya menukar program atas beberapa sebab peribadi. Pada saya, biarlah saya bodoh (na'uzubillahi min zalik, moga-moga tidaklah bodoh seperti apa yang saya tulis) dalam perkara-perkara lain asalkan saya berjaya menguasai ilmu-ilmu berkaitan dengan al-Quran kerana hati saya amat dekat dengannya.

Hati saya amat tenteram jika dapat membaca al-Quran, biarpun saya menggantikannya dengan ibadat-ibadat sunat yang lain. Saya lebih suka membaca al-Quran jika berqiam pada malam hari berbanding Solat Tahajjud.
Saya lebih gemar membaca al-Quran ketika orang lain berzikir, berdoa penuh kekhusyukkan selepas solat. Cuma keadaan suara saya yang agak kuat ketika membaca al-Quran itu sebenar menghalang saya untuk membacanya kerana khuatir akan disalah anggap. Wallahu a'lam.

Saya teringat pesanan seorang guru praktikel al-Quran sebelum menamatkan praktikelnya di sekolah kami. Beliau menyampaikan sebuah hadith:

خيركم من تعلم القرآن وعلمه أو كما قال
Sebaik-baik kamu ialah mereka yang belajar tentang al-Quran dan mengajarkannya


Mudah-mudahanlah, semoga Allah menetapkan hatiku ini, amien.

Air Mawang, Johol NSDK

No comments:

Post a Comment