Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

19 April 2010

Memilih Atau Dipilih?

"Ingatkan lepas habis belajar nanti nak buka kandang kambinglah, nak ternak."

"Kau nak buka kandang kambing, banyak procedurenyer. Kena tengok pasaran, mana nak ambil bahan makanan kambing tu. Sebelum mula kena ambil kursus dulu. Banyak kerja. Jangan hangat-hangat tahi ayam saja," jawab mak bila saya utarakan cadangan membela kambing.

"Kalau tahu kau nak bela kambing, tak payahlah kau pergi belajar. Mak ingatkan kau nak kerja jadi cikgu ke, kerja pejabat ke," tambah mak sebelum menutup bicara.

Cita-cita mak sebelum ini sebenarnya mahu menjadi seorang pendidik seperti arwah atuk, Allahyarham Md Tahir, seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Nuri, Johol beberapa puluh tahun lalu sebelum arwah pencen dan seterusnya menghembuskan nafas yang terakhir akibat sakit jantung (seperti yang mak cerita) pada Disember 1993. Al-Fatihah disedekahkan buat Allahyarham. Tetapi cita-cita mak tidak kesampaian dan seterusnya bekerja sehinggalah beliau pencen lewat 2006. Dalam kalangan cucu arwah atuk, hanya seorang sahaja yang menjadi guru, anak arwah Pak Long. Saya yang mengambil jurusan agama ini diharapkan menjadi orang kedua yang menjadi guru ataupun ustaz, tetapi hati saya langsung tidak tergerak menjadikan profession perguruan sebagai satu sumber mata pencarian utama tetapi menjadikan medan mengajar masyarakat atau berdakwah sebagai satu bentuk kerja amal, bukan untuk dimakan gajinya.

Jangan salah faham, saya tidak menyalahkan para pendidik yang memakan gaji, teruskanlah kalian mendidik anak bangsa. Cuma saya tidaklah berhasrat untuk menjadi seorang guru yang memakan gaji dan ia bukanlah satu bentuk penghinaan saya terhadap mereka.

Cita-cita saya menjadi seorang da'ie, pendakwah. Skop berdakwah ini luas, bukan hanya tertumpu kepada menjadi warga pendidik, penceramah, pensyarah, ustaz-ustazah semata-mata. Kewajipan berdakwah ini sebenarnya menjadi tanggungjawab setiap orang Muslim.


Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat dilahirkan untuk faedah manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat kebajikan dan menegah mereka daripada melakukan kemungkaran, dan (yang paling penting) kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) beriman, tentulah itu lebih bagi mereka. Mereka ada yang beriman dan (sebenarnya) banyak antara mereka yang menjadi fasiq.


Itu pendapat mak yang sebenarnya mahu memastikan anaknya hidup selesa dan memberikan guide supaya anaknya tidak tersalah memilih haluan hidup. Thanks mak...

Saya sebenarnya bersyukur kerana dikurniakan seorang mak yang tidak pernah memaksa anak-anak mereka memilih haluan masing-masing. Lihatlah kepada adik-beradik saya sendiri, ada yang mendapat lulusan pengurusan bank, ada dalam bidang komputer, kejuruteraan, agama (sayalah tu), ada yang memilih untuk bekerja makan gaji dan ada juga yang memilih untuk bertarung dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Mak tidak pernah menghalang anak-anak mereka yang nyata cuba dewasa untuk memilih haluan masing-masing. Yang mak lakukan hanyalah memberikan satu tunjuk ajar dan pendapatnya yang pada saya berharga buat anak-anaknya yang dikasihi.

Alhamdulillah, syukur sangat...

Tetapi malangnya, kelebihan yang ada pada mak saya tidak banyak dimiliki oleh kebanyakkan masyarakat Melayu khususnya Melayu yang pemikiran mereka masih lagi jumud.

Bukan mahu disokong anak-anak yang menentang kata-kata orang tua mereka tetapi ini lebih kepada soal kebebasan si anak untuk memberikan pendapat mereka. Adakah mereka menjadikan anak-anak mereka sebagai hamba, yang WAJIB menurut segala kata mereka sebagai ibu bapa mereka?

Bukankah anak-anak mereka memiliki perasan dan hati seperti mereka? Atau mereka menyangkakan bahawa anak-anak mereka tidak ubah seperti sebuah robot atau mesin jentera yang tidak langsung memilik nurani yang 100 peratus menurut arahan yang diberikan?

Ibu bapa seperti ini menggunakan kuasa 'veto' yang kononnya diberikan agama kepada mereka untuk menarik redha mereka ke atas anak-anak yang membantah kata-kata mereka. Mereka sebenarnya langsung tidak memberikan ruang untuk si anak memilih haluan sendiri. Syukurlah jika si anak itu tiada apa-apa pilihan dan redha terhadap keputusan yang orang tua putuskan, sememangnya itu satu tindakan yang saya kagumi. Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak yang mempunyai keputusan dan haluannya sendiri? Bukankah ibu bapa itu setidak-tidaknya duduk semeja mendengar dan berbincang dengan si anak tentang sesuatu keputusan yang melibatkan masa depan anak itu sendiri.

Seperti mana pepatah Arab mengatakan "al-jannah tahta aqdam al-ummahat" (الجنة تحت أقدام الأمهات) yang membawa maksud syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu (ia bukanlah hadith), penghormatan terhadap kedua ibu bapa diletakkan priority yang tinggi oleh Islam. Walaubagaimanapun, penghormatan yang melangit tinggi itu bukanlah satu bentuk kuasa mutlak buat ibu bapa untuk menentukan hala tuju anak-anak mereka. Perbincangan enam mata antara ibu, bapa, dan anak itu sendiri perlu supaya setiap keputusan yang dibuat mestilah selari dengan situasi dan keadaan si anak tersebut. Pemilihan sesuatu keputusan tidak boleh dibuat berdasarkan kaca mata si ibu mahupun si bapa kerana yang bakal menerima nasib sama ada baik atau buruk akibat keputusan itu adalah si anak itu sendiri sedangkan si ibu atau bapa tidak menerima nasib sedemikian, jika adapun tidaklah seberat yang ditanggung si anak!

Sedar-sedarlah ibu-ibu dan bapa-bapa. Walaupun mereka adalah anak, setiap pilihan terhadap mereka sepatutnya mendapat persetujuan. Sekiranya si anak memiliki hala tuju yang berbeza, hormatilah pilihan mereka dan jadilah penasihat yang terbaik buat si anak. Sesungguhnya kita kini bukanlah berada pada zaman anak menjadi hamba kepada orang tuannya.

Saya teringat dengan kata-kata Andrey Arshavin, penyerang Arsenal ketika ditanya soalan "Andrey, do you want your son to become a footballer?" Apa yang beliau jawab?

First of all I want Artyom to become an honest and healthy man. I’d like him to choose for himself what kind of occupation suits him. None of us will impose anything on him. He is an independent person, so we can only give him an advice.


Air Mawang, Johol NSDK

No comments:

Post a Comment