Pesta ibadat kini bermula. Adakah kita melibatkan diri dalam aktiviti penyucian jiwa yang berlaku serentak di serata dunia?
La haula wala quwwata illa billah. Sejak Selasa lepas (10 Ogos), cuaca agak terik. Panasnya tidak tertahan. Berpunca daripada kepanasan yang melampau itulah, saya jatuh demam serta-merta [klik]. Saya terfikir, adakah saya mampu berhadapan dengan Ramadan dalam keadaan badan yang agak lemah disebabkan penyakit tersebut? Alhamdulillah, saya mampu juga menempuhnya.
Terik mentari bagai membakar bumi hingga hangus. Mulanya saya fikir, saya seorang sahaja yang merasakan bahangnya, rupa-rupanya ia dipersetujui oleh yang lain. Ustazah Sharifah turut bersetuju dengan apa yang saya rasa. Bukan itu sahaja, berita hari ini melaporkan bahawa kepanasan yang melanda dunia kebelakangan ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan semenjak 1880! Menurut ramalan pengkaji cuaca, kita mungkin akan menempuh seluruh Ramadan dalam keadaan cuaca kering sebelum dikurniakan hujan pada minggu pertama Syawal [klik].
Bersedialah berhadapan dengan kebakaran permukaan bumi oleh mentari terik akibat daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia itu sendiri.
Jangan jadikan kepanasan itu sebagai alasan untuk tidak berpuasa, atau kurang produktiviti terhadap sesuatu kerja yang diperoleh.
Tetapi, kepanasan itu sebenarnya menduga iman kita walaupun ia (secara peribadi) bagai menjadi tembok penghalang untuk saya menyumbang lebih dalam khidmat saya.
Setelah saya sembuh daripada demam bermula tengah hari Selasa lepas yang (mungkin) disebabkan oleh kepanasan cuaca, insya-Allah saya akan mengambil kesempatan dalam bulan yang mulia ini untuk memaksimakan (mengikut apa yang saya terdaya) untuk merebut apa yang telah diganjarkan oleh Pemilik alam ini. Sesungguhnya, melepaskan peluang yang terbentang luas adalah satu kerugian dan sememangnya saya telah pun terlepas peluang pada dua malam sudah.
Malam ini masuklah malam yang ketiga Ramadan, mudah-mudahan Tuhan memandang dengan pandangan yang dipenuhi dengan rahmat dan maghfirah daripada-Nya, ameen.
Mudah-mudahan...
Selamat berpuasa dan selamat berpesta ibadat!
SRA Desa Putra, Bangi SDE
No comments:
Post a Comment