Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

12 September 2010

Jasmine, Jangan Tinggalkan Abang!


Kisah ini saya baca daripada post seorang sahabat Facebook saya, cuma nama dan beberapa bahagian saya gantikan dengan nama samaran dan nama lain supaya orang yang berkenaan dapat dirahsiakan identitinya.

I

Afi baru sahaja mula bercuti hari ini, hari terakhir umat Islam berpuasa, sehari sebelum merayakan salah satu daripada dua hari kebesaran dalam Islam, Hari Raya Aidilfitri. Afi dan keluarganya merancang untuk pulang ke kampung halaman dan berbuka bersama orang tua sebelum  matahari tegak menggalah.

Barang-barang yang mahu dibawa sudah pun dimasukkan ke dalam beg-beg. Kelihatan Afi sedang memakai baju di dalam bilik di samping isterinya,

"Abang ni, pakailah elok-elok sikit," tegur Jasmine, isteri Afi. Afi atau nama sebenarnya Tan Sri Muhammad Hanafi bin Dato' Syukri; CEO Mentari Mega Berhad, tidak gemar tampak kemas walaupun dia seorang ahli korporat. "Ala, pakai biasa-biasa sudah," balas Afi sambil memerhatikan Jasmine membetulkan pakaiannya.

Afi tersenyum memandang wajah isterinya yang ketika itu sedang membetulkan pakaiannya. "Cantik juga isteri abang ni ya," puji Afi. Jasmine pada mulanya tersenyum tetapi kemudiannya membalas "Kalau ada bini cantik tapi lakinya tak reti pakai lawa-lawa buat apa." "Ayang ni, puji sikit pun tak boleh," kata Afi sambil mencubit pipi Jasmine yang lembut.

II

"Semua sudah sedia?" tanya Afi kepada anak-anaknya ketika sedang menuruni tangga dari tingkat atas. "Sudah ayah," sahut anak-anaknya. Afi dan Jasmine dikurniakan tiga orang cahaya mata: Asyraf (Ash); Amirah (Mira); dan Akid (Kid), yang bongsu.

"Cepatlah ayah! Kid tak sabar nak jumpa atok dengan wan ni," pekik Kid tika Afi menghala ke dapur untuk memastikan saluran gas dimatikan. "Sabarlah sayang, ayah nak pastikan rumah dalam keadaan baik sebelum kita balik kampung," Jasmine melayan teletah Kid yang baru darjah dua itu. Jasmine melihat wajah Kid yang comel sambil tersenyum.

Afi sekeluarga bertolak meninggalkan rumah mereka di Kota Damansara menuju ke Sungai Petani, Kedah. "Lama kita tak menjenguk orang tua tu kat kampung," ujar Jasmine. Kampung Afi terletak bersebelahan dengan kampung orang rumahnya. Oleh itu, mereka tiada masalah memilih untuk berada di mana setiap datangnya hari raya. "Betul tu. Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan mereka," balas Afi.

Mira dan Kid sudah pun terlentok di kerusi belakang walaupun mereka baru sahaja melepasi Restoran Jenjantas Sungai Buloh, 15 minit sahaja perjalanan dari rumah mereka. Ash kelihatan sedang seronok bermain PSP yang dibawanya. Jasmine pula leka melayan celoteh DJ radio yang menggelikan hati. Afi terus memandu tanpa menghiraukan apa yang dilakukan oleh Jasmine dan anak-anaknya.

III

Kereta Audi A4 yang dipandu Afi merentasi Sungai Perak. Nampaknya hanya Afi seorang sahaja yang celik kerana memandu sedangkan yang lain sudah terlelap termasuklah Jasmine dan Ash.

Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan mereka...
Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan mereka...
Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan mereka...

Terdetik dalam hati Afi apa yang diungkapkannya sebelum bertolak dari rumah. Dia memijak pedal pecut keretanya sedikit demi sedikit. Semakin dipijak pedal, semakin lajulah keretanya memecut, dan semakin seronoklah hati Afi yang sudah tidak sabar mahu tiba dengan cepat. Pedal minyak terus-menerus dipijak dan Audi A4nya terus memecut laju menuju ke arah utara.

Keadaan trafik semakin perlahan selepas Ipoh kerana banyak kenderaan yang menggunakan lebuhraya pada waktu itu. Situasi tersebut tidak mematahkan 'semangat' Afi untuk terus memandu laju. Jika terdapat kenderaan di lorong kanan, Afi memotongnya di kiri. Jika terdapat kenderaan di lorong kiri, Afi akan memotong melalui kanan. Tidak kira apa jenis kenderaan baik kereta, van, MPV, bas, lori, trelar, semua akan dipotongnya. Afi 'bangga' kerana dapat memotong kereta-kereta 'lembap'. Dia leka dengan aksi memotongnya sehinggakan terlupa pada anak bininya yang sedang tidur.

"Eh, abang, kenapa bawa kereta laju sangat ni?" Jasmine tiba-tiba terjaga daripada tidurnya. "Tak ada apa-apalah, sayang. Rilekslah. Cepat sikit kita sampai kampung kalau abang bawa macam ni." "Sabar, bang. Sabar. Biar kita lambat sampai, asalkan selamat. Janganlah laju-laju sangat. Jas takut nih," Jasmine cuba memujuk suaminya memperlahankan kelajuan.

"Relakslah sayang. Tak ada apa-apa," Afi terus memecut memotong bas ekspress dua tingkat yang laju di hadapannya tanpa was-was. "Haa... Kan. Tengok, kan tak ada apa-apa," kata Afi setelah berjaya memotong bas yang laju tadi.

"Sudah la tu, bang."

"Ha... Tu ada satu lagi bas ekspress. Ayang tengok ya abang potong dia." Afi terus memijak pedal sehingga jejak ke lantai. Afi yang ketika itu memandu di lorong laju memotong bas ekspress tersebut melalui kiri. "ABAAAAAAAAAAAANG!" Afi menoleh ke arah Jasmine terkejut. Setelah dia berpaling ke hadapan, sebuah lori balak tersergam indah berjarak kira-kira 10 meter daripada muncung keretanya. Dengan kelajuan melebihi 150 km/j, Afi terkedu dan......... BAAAAAAAAAAAAANG!!!

IV

"Afi, bangun Fi," sayup-sayup terdengar suara emaknya. Kelopak mata Afi dibuka perlahan-lahan. Dia terlihat wajah emaknya di situ. Afi tiba-tiba teringatkan Jasmine. "Mak, Jasmine mana, mak? Macam mana keadaan Jasmine? Asyraf, Amirah, Akid, mana anak-anak saya, mak?" Bertubi-tubi Afi menyoal emaknya. Afi tidak dapat menahan sebak terus menangis semahu-mahunya apabila emaknya tidak bersuara menjawab soalannya.

Afi dipandang tepat oleh emaknya. "Macamana dengan isteri Afi, mak, Jasmine?" Afi masih terus menangis.

PAAAAAAAAAAAAANG!!!

Pipi Afi ditampar dengan tiba-tiba. Afi terdiam. Kenapa emaknya sanggup menamparnya tika dia kesedihan?

"Banyaklah engkau punya isteri! Kerja pun malas, tiap-tiap hari asyik terbongkang kat rumah, masih ada hati nak berbinikan si Jas kampung sebelah tu! Tu la, tidur lagi petang macam ni. Dah, bangun! Pak Cik Salleh dengan Jasmine menunggu nak berbuka sama-sama!" Emaknya terus membebel keluar daripada bilik Afi. Seisi rumah yang mendengar tangisan Afi dan bebelan emaknya itu tergelak tak henti-henti. Merah padam muka Jasmine yang berada di meja makan kerana malu.

Igau Afi itu menjadi bahan bualan ketika berbuka puasa. Tanpa sepatah kata, Afi tersengih keseorangan. Rasa macam nak masuk dalam tin biskut... MALU OOOI...

Credit to Ustaz Wan Ji [klik]

Tinta mencoret: Pandulah dengan berhati-hati walaupun di dalam mimpi. Pandu cermat, jiwa selamat.


Taman Permata, Hulu Kelang WPKL

Komen tambahan dalam Facebook [klik]

No comments:

Post a Comment