Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

05 February 2011

Realitinya Hanyalah Dusta


Alam indah ciptaan Tuhan.
Bila berbicara, manisnya bagaikan madu. Segala-galanya sedap pada lidah. Bila ditayang, indahnya bak alam saujana mata memandang. Segala-galanya cantik pada mata. Bila dilaungkan, merdunya umpama irama. Segala-galanya terpesona mendengarnya. Realitinya? Hanya tangan yang mampu membuktikan.

Bukan menafikan apa yang sudah terbukti. Cuma, gerak gaya dan antonasi suara semacam tiada bertempat. Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Tuhan yang mengurniakan segala-galanya kepadamu. Tetapi adakah dengan menzahirkan dirimu dengan segala macam kemuliaan membolehkan seseorang itu mampu tunduk dengan titipan bibir dan harta yang mempesona itu?

Mungkin ya pada sebahagian daripada umat yang mudah dimanipulasikan mindanya tetapi tidak pada saya.

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Bukan mudah untuk mempertaruhkan segala-galanya demi untuk mencapai apa yang diungkapkan itu. Adakah patut meninggalkan apa yang sepatutnya menjadi prioriti dan keutamaan semata-mata mengejar impian yang belum pasti? Jika impian tersebut masih boleh diterima akal, pertaruhan itu menjadi satu pertarungan yang maha dahsyat dan memerlukan semangat yang tinggi untuk mengharunginya. Berbahagialah sesiapa yang berjaya mengharunginya. Tetapi, bagaimana pula jika impian tersebut maha indah, segala-galanya indah, tiada yang kelam melainkan indah belaka? Adakah ia boleh diterima akal yang waras? Dipersilakanlah untuk bersemayam di atas singgahsana yang empuk. Tetapi waspadalah dengan pelbagai tipu muslihat yang tersembunyi di sebalik keindahan yang memukau itu.

(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Tuhan Maha Adil. Tidaklah dia menjadikan kesukaran itu melainkan diiringi oleh kesenangan. Itu janji Tuhan. Guru telah mengkhabarkan sebelum ini, menjadi inspirasi buat insan yang kini mengharungi lautan yang penuh dengan jerung yang mengganas.

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).

Bukan tidak percaya dengan kata-katamu. Telah dibuktikan segala bicaramu. Tetapi hatiku masih samar-samar dengan tawaranmu yang agak keterlaluan sehinggakan tidak bisa untukku mempercayai setiap bait-bait yang diungkapkanmu, walaupun diiringi dengan pembuktian yang nyata!

Izinkan untuk diriku beristikharah sama ada memilih untuk menerima apa yang dirimu ungkapkan ataupun menjauhkan diri daripada terperangkap dengan segala macam perangkap samar yang bisa mencabut keberkatan dalam kehidupanku. Sesungguhnya, pilihan daripada Allah itu adalah yang sebaik-baik pilihan. Dia Maha Mengetahui apa yang dikurniakan kepadaku.

Sepuluh jari kususun memohon kemaafan sekiranya tidak mampu untukku menyertaimu. Andai jalan ini jalan yang diredhai, kudoakan buatmu agar berjaya sehinggalah melangkah ke salah satu daripada jannat yang dijanjikan-Nya. Andai ia bukan jalan yang ma'ruf, kuberdoa agar Dia menyelamatkan dikau daripada terjunam jatuh ke dalam an-nar yang Maha Panas dan Maha Pedih.

Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Masih keliru dengan pilihan...

Tinta berdakwat: Istikharah adalah jalan terbaik. Tetapi setiap penilaian yang telah dibuat, semuanya menghala kepada "JANGAN".

Taman Permata, Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment