Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

06 February 2011

Bergaullah Dengan Mereka


الرجل على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل أو كما قال
Agama (akhlak) seseorang itu terletak kepada agama (akhlak) sahabatnya. Maka perhatikanlah setiap daripada kamu dengan siapa dia bersahabat.
HR at-Tirmidzi

Sahabat cermin kepada siapa yang bersahabat dengannya.
Sahabat atau kawan memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah seseorang. Kawan yang baik sesungguhnya akan mendorong rakannya ke arah yang kebaikan manakala kawan yang kurang baik sedikit sebanyak akan mendorong rakannya ke arah yang berlawanan.

Ada pepatah Arab menyebut mengatakan (lebih kurang begini maksudnya): "Jika kita berkawan dengan tukang besi, sedikit sebanyak kita akan merasakan bahang panas api tersebut. Manakala jika kita berkawan dengan saudagar minyak wangi, sedikit sebanyak akan terpalit juga wangian tersebut kepada kita.

Persoalan yang ingin saya keutarakan di sini adalah, adakah kita ditegah daripada berkawan dengan mereka yang boleh dikatakan sebagai orang yang lalai terhadap perintah Allah?

Saya kagum dengan Ustaz Syafiq, seorang kenalan saya ketika menuntut di KUIS dahulu. Penampilan beliau agak bersahaja ke mana sahaja. Beliau selalunya akan mengenakan baju melayu, seluar slack, dan berkopiah putih jika keluar ke mana-mana. Kadang-kadang beliau berjubah. Itulah pakaian tidak rasmi beliau. Pergaulan beliau agak bersahaja, tidak terlalu keras dengan hukum-hakam dan tidak juga terlalu longgar. Beliau selalunya seiringan dengan Ustaz Busyro dan Ustaz Nizam dalam hal-hal pembelajaran.

Saya menghormati beliau sebagai seorang sahabat, classmate, ustaz, dan juga sebagai seorang yang penuh ilmu di dada.

Terus-terang saya katakan, saya tidaklah terlalu rapat dengan beliau. Cumanya terdapat satu sifat beliau  yang benar-benar saya kagumi dan jarang berada pada mana-mana pendakwah, ustaz, penuntut pengajian Islam, ataupun individu yang dikaitkan dengan Islam; sifatnya yang bergaul dengan semua jenis manusia. Saya perhatikan beliau tidaklah hanya bergaul dalam ruang lingkupnya sahaja. Beliau bukan sahaja bersahabat baik dengan mereka yang boleh dikatakan baik akhlaknya bahkan turut bercampur dengan manusia yang perangainya agak 'gila-gila'. Wallahu a'lam, tetapi itulah yang saya sering perhatikannya.

Saya berasa cemburu dengan sifatnya yang bergaul dengan semua jenis manusia, sama ada dia seorang tabligh, kuat agama, kaki masjid, sehinggakan serendah-rendah tahap. Cumanya, serendah-rendah tahap akhlak mahasiswa KUIS tidaklah sama dengan seteruk-teruk akhlak para remaja di luar kerana biah solehah (suasana yang soleh) agak menebal di KUIS. Alhamdulillah.

Tidak seperti kebanyakan daripada agamawan, ustaz-ustazah, pegawai agama, sehinggakan kepada graduan dan mahasiswa pengajian Islam, mereka yang baik dan hampir sempurna akhlak hanya gemar bergaul dengan golongan yang baik akhlaknya. Mereka tidak pula duduk semeja dengan rakan-rakan yang agak kekurangan akhlak dan rosak perilakunya. Itulah silap kita sebagai seorang agamawan.

Adakah dengan kita bersahabat dengan mereka yang runtuh akhlaknya akan menyebabkan sedikit sebanyak kita akan terpengaruh dengan sifat dan akhlak mereka?

Kita jangan melihat kepada kesan yang bakal berlaku kepada diri kita tetapi sebaliknya lihatlah hikmah yang mungkin akan berlaku sekiranya kita mampu menempatkan diri di kalangan golongan yang dituduh rosak akhlak dan moral oleh segelintir daripada kita.

Golongan mat rempit, kaki dadah, bohsia, bohjan, kaki kongsi gelap, kaki perempuan, dan sebagainya adalah golongan yang berpotensi untuk menjana keredhaan Allah swt sebenarnya.

Mengapa saya kata begitu?

Kita singkap kembali sirah Rasulullah saw dalam menyampaikan risalah Tauhid. Baginda saw diutuskan kepada bangsa Arab yang mana ketika itu terkenal dengan keruntuhan akhlak. Banyak amalan keji yang dilakukan bangsa Arab ketika itu seperti mengambus anak perempuan hidup-hidup, menyembah berhala, menipu dalam menimbang dan berniaga, menindas golongan wanita dan hamba, bercakaran antara kabilah, berpuak-puak, tidak bersatu, kaki perempuan, kaki botol, tidak jujur, hidup berkasta, dan sebagainya. Pendek kata, bangsa Arab ketika itu adalah bangsa yang paling tidak bermoral dan tidak terdapat nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

Rasulullah saw tidak diutuskan kepada tamadun Rom yang jauh lebih bagus daripada bangsa Arab. Rasulullah saw tidak diutuskan kepada tamadun Parsi yang juga setanding dengan tamadun Rom. Tetapi baginda diutuskan buat kaum yang paling teruk sekali. Daripada menjadi bangsa yang paling teruk dan tiada nilai-nilai murni melainkan sedikit, bangsa Arab kemudiannya menjadi bangsa yang paling bermoral dalam masa 20 tahun! Ini menunjukkan golongan yang jauh daripada kehidupan yang bertatasusila rendah teramatlah memerlukan sebutir mutiara yang mampu merubah mereka daripada keadaan asal mereka yang teruk dan jahil ke arah yang lebih sempurna.

Bukan maksud saya untuk menidakkan pergaulan kita dengan mereka yang diketahui baik akhlaknya, tetapi ke manakah kita apabila ada insan yang masih meraba-raba dalam kegelapan yang memerlukan tourchlight? Adakah kita mahu dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt ketika penghakiman-Nya kelak? Adakah kita mahu diheret ke penjara Jahanam yang kita tahun azabnya tidak dapat diungkapkan walaupun sepatah kata?

Jangan salahkan mereka sekiranya mereka tidak ke masjid. Jangan salahkan mereka sekiranya mereka tidak mendengar walau tazkirah yang ringkas. Jangan disalahkan mereka mengapa tidak bertaubat dan meninggalkan kehidupan yang penuh dengan noda dan dosa. Kitalah yang salah sebenarnya. Kesalahan kita sebenarnya lebih besar berbanding kesalahan mereka. Ma'asi (orang yang melakukan maksiat) dan fasiqun (orang yang melakukan dosa-dosa besar) sebenarnya memerlukan sentuhan daripada kita sebagai seorang yang tahu (walaupun sedikit) mengenai Islam. Sentuhan yang bagaimana? Sentuhan yang lebih bersifat tertumpu. Mesej yang disampaikan dalam slot dakwat di surau-surau dan masjid-masjid hanya sampai kepada kaki-kaki masjid, yang sememangnya tidak melakukan perkara yang munkar. Ia ibarat mengajar 1 + 1 = 2 kepada mereka yang sudahpun mengetahuinya. Sedangkan golongan-golongan yang runtuh moral lebih memerlukan mesej suci tersebut berbanding kaki-kaki masjid.

Tahniah saya ucapkan kepada gerakan tabligh yang giat menggegar masyarakat luar dan menyampaikan mesej dakwah secara berani. Walau bagaimanapun, tindakan berani mati tersebut sukar untuk menemukan hasil yang diidamkan kerana penyampaian mesej tersebut boleh saya katakan terlalu keras dan mendesak sedangkan manusia tidak menyukai jika diri mereka didesak. Dalam beribu-ribu golongan sasar mereka, hanya puluhan sahaja yang terbuka hatinya untuk berubah.

Agak sukar untuk membentuk masyarakat yang rosak moral dengan kaedah dan metode dakwah yang sedemikian.

Oleh sebab itulah, amat penting untuk kita menempatkan diri dalam golongan tersebut. Kedudukan kita sebagai seorang sahabat lebih mudah untuk menjadi role model kepada mereka dan pencetus kepada reformasi diri walaupun mengambil masa yang agak lama sebelum berubah. Tidak silaplah lagi sabda baginda seperti di atas. Sekurang-kurangnya dengan bergaul dengan golongan yang binasa keperibadiannya, diharapkan agar kebaikan yang ada pada diri kita boleh mampu dipindah ke dalam sanubari mereka.

Perasaan hormat masih ada dalam hati manusia yang masih bergelumang dengan kehidupan yang bebas. Selagi cara dan pendekatan yang gunakan itu selari dengan jiwanya, insya-Allah, mesej yang ingin disampaikan itu akan melekat dalam diri mereka meskipun mengambil masa yang agak lama untuk disampaikan.

Tetapi, adakah kita bersedia berhadapan dengan golongan-golongan yang mengamalkan kehidupan yang bebas ini? Kebanyakkan daripada kita masih belum bersedia lagi. Pelbagai alasan yang kita beri dan ada antaranya berhujahkan hadith dan pepatah Arab di atas. Setiap daripada inisiatif yang mungkin berlawanan daripada apa yang kita amalkan selama ini dipandang serong dan negatif. Itulah mentaliti kebanyakkan daripada ustaz-ustazah dalam masyarakat Muslim Malaysia. Sedih...

Kukuhkan iman, kuatkan iltizam. Sesungguhnya pergerakan Islam serata dunia mengamalkan pendekatan sebegini, mendekati golongan yang jauh dengan sinar Islam bertujuan untuk menarik mereka ke arah cahaya di samping memberikan ruh dalam harakat masing-masing.

Sekiranya kita berjaya mendekat mereka kepada cahaya keimanan yang tulen walaupun hanya sebahagian, itu lebih berharga berbanding daripada hanya duduk mendengar tazkirah-tazkirah agama di surau masjid tanpa sebarang tindakan untuk ingat-mengingati semasa Muslim.

Firman Allah swt dalam al-Quran:
Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman, yang beramal dengan amalan yang soleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Persoalannya, adakah kita bersedia untuk duduk semeja, teduh sebumbung, makan sepinggan, belajar sebuku, dan tidur sekatil dengan mereka?

Tinta mencoret: Sedang cuba menyesuaikan diri.

Taman Permata, Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

4 comments:

  1. well, orang macam ni memang aku respek.

    kadang2 orang yang "mahir" ilmu agama, tengok saja pandangan mata mereka pada golongan yang konon-nya tak sealiran dengan mereka. mata mereka penuh dengan rasa jijik dan hina.

    hidup ini mudah. dan singkat. manusia boleh berubah dengan sekelip mata. belajar bergaul dengan mereka. pasti ada ilmu yang korang tak akan dapat bila bersama orang2 sealiran kau saja.

    kan? =)

    nice one, syahmi!

    ReplyDelete
  2. konklusi yang paling padat, tepat, dan pedas... setuju 200%

    ReplyDelete
  3. teeerrrbaek!!!!

    betul apa yg kau cakap ni..go on sahabat...=)

    ReplyDelete