Minggu ini, saya adalah salah seorang daripada guru yang bertugas memastikan perjalanan sekolah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Sebelum acara perhimpunan bermula, seperti biasa saya akan memastikan guru yang mengetuai giliran bertugas mingguan ada dan dapat memberikan beberapa peringatan kepada murid.
Pelbagai perkara diingatkan kepada anak murid.
Antaranya, jangan membaling batu-batu jalan kepada kawan yang lain.
Tetapi nampaknya, nasihat tersebut bagai menuangkan air ke daun keladi.
Akibatnya, satu kejadian yang tidak diingini berlaku akibat daripada ketidakpatuhan nasihat yang lebih berupa arahan dan peringatan daripada ustaz-ustazah.
Malangnya, mangsa kejadian tersebut adalah Zikry, murid tahun 4 Ibnu Bathutah.
Saya tidak menjangkakan sesuatu perkara buruk berlaku tatkala saya masuk ke dalam pejabat walaupun terdapat dua orang murid sekelas dengan Zikry tergamam berdiri di hadapan kaunter pejabat sambil Ustaz Hanif selaku guru disiplin berada di samping mereka.
Bila diberitahu terdapat seorang murid luka di kepala akibat terkena batu, saya meluru ke arah bilik rawatan yang terletak di dalam pejabat. Tidak terlintas langsung mangsa adalah Zikry sehinggakan saya melihat tanda lahirnya di muka.
Hangin betul. Mana tidaknya, selama ini, saya tidak langsung melihat Zikry seorang murid yang bermasalah. Zikry tidak banyak buat masalah ketika di dalam kelas. Walaupun ketiadaan guru yang masuk ke kelas 4 Ibnu Bathutah, Zikry mengisi masa yang terluang dengan membuat kerja sekolah, baik yang diberikan oleh ustaz-ustazah mahupun kerja sekolah kebangsaan. Saya selalu memerhatikan gerak-gerinya.
Itu antara sebab mengapa saya selalu memujinya setiap kali saya memasuki kelas 4 Ibnu Bathutah sehinggakan kawan-kawan mereka yang lain mencemburuinya terutamanya Hadif dan Fitri. Bukan suka-suki saya memuji Zikry melainkan saya mahu sikapnya ditiru oleh rakan-rakannya yang lain.
Itu sebab saya hangin. Saya bersua dengan dua kawannya yang dikatakan menyebabkan Zikry luka di dahi. Temperature naik serta-merta. Namun, memikirkan tindakan luar kawalan yang mungkin saya ambil ditambah dengan nasihat Ustaz Hanif, saya membatalkan tindakan mahu memarahi mereka berdua.
Setelah beberapa urusan dokumentasi untuk membawa Zikry untuk mendapatkan rawatan, saya terus membawanya ke Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra.
Sebolehnya, saya mahu terus menyiasat kedua-dua orang kawannya yang dikatakan (mengikut maklumat awal) menyebabkan Zikry cedera, namun hasrat saya tidak kesampaian kerana kedua-duanya sudah pun balik ketika saya tiba semula ke sekolah dari klinik.
Saya kemudiannya menghantar Zikry ke rumahnya di Seksyen 6 Bandar Bukit Mahkota.
* * * BUDAK RAJIN * * *
Zikry ketika menjawab soalan Ujian Prestasi I, Februari lalu. |
Entahlah. Saya selalu memerhatikan Zikry. Dia sememangnya seorang murid yang rajin. Setiap arahan yang saya berikan diselesaikannya dengan baik. Ada juga dengar yang Zikry pernah dimarahi oleh beberapa orang guru lain, tetapi ia tidak langsung merubah persepsi saya terhadapnya.
Mana tidaknya, setiap kali saya singgah ke kelas 4 Ibnu Bathutah sama ada ia waktu pengajaran saya ataupun ketika meronda-ronda bagi memastikan kelas-kelas tahun 4 dalam keadaan terkawal, pastinya saya melihat Zikry berada ditempatnya membuat kerja sekolah sedangkan kelasnya riuh-rendah semacam tidak terkawal oleh ketua kelasnya. Setakat ini, Zikry seorang yang agak special berbanding dengan rakan-rakan sebayanya yang lain.
Sebolehnya, saya mahu semua anak murid saya mencontohi segala sifat baik yang ada pada Zikry. Alhamdulillah, nampaknya ada yang menyahut seruan saya. Mungkin kerana jealous mendengar pujian saya yang melebih-lebih terhadap Zikry. Kira berjaya juga tindakan saya menjadikan Zikry sebagai contoh agar rakan sekelasnya meniru setiap sifat baiknya.
Lepas peristiwa petang tadi terjadi, saya berfikir semula, adakah Zikry terlibat ataupun menjadi mangsa keadaan?
Terkilan, siapa yang salah sebenarnya?
Tinta berdakwat: Zikry seorang murid yang rajin.
SRA Bandar Seri Putra, Bangi SDE
No comments:
Post a Comment