Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

23 April 2011

Rindukan Alam Persekolahan


Tersentuh hati bila memikirkan zaman persekolahan. Sudah lebih lima tahun saya melangkah keluar daripada alam persekolahan (Mac 2006) dan sekolah terakhir saya ketika itu ialah Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (SAM(T)TAR) di Sungai Manggis, Banting. Hasrat saya untuk mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tinggal kenangan kerana saya mengambil keputusan untuk membatalkan hasrat tersebut atas beberapa sebab yang tidak dapat dinyatakan di sini.

Sekolah yang benar-benar mentarbiyyah diri saya agar menjadi 'manusia', adalah Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMeL). Rata-rata daripada pelajar SAMSMeL datangnya daripada kawasan kampung. Di sini, kami di didik dengan keberkatan ilmu yang dipelajari, dan bukannya mentarget keputusan yang gemilang sebagai sasaran utama.

Gabungan beberapa orang pendidik seperti Ustaz Ramly, Ustaz Yusmi, Ustaz Suffian Maidin, Ustaz Razali, Ustazah Aisyah, dan guru-guru lain di bawah pimpinan Cikgu Latif amat memberi kesan yang mendalam buat kami. Walaupun keputusan peperiksaan utama seperti PMR, SMA (Sijil Menengah Agama), dan SPM tidak mampu melonjakkan nama sekolah, ditambah pula dengan beberapa kerat pelajar yang mencalarkan nama baik sekolah pada mata masyarakat setempat, namun sebahagian besarnya berpayungkan didikan mereka.

Terima kasih guruku.

Saya tidak nampak keberkatannya ketika bernaung dibawah guru-guru yang tekun mendidik kami agar menjadi manusia yang diberkati ilmunya. Sebab itulah saya tanpa ragu-ragu untuk keluar daripada sekolah tersebut setelah menerima tawaran daripada sekolah lain.

Rupanya, itulah bukanlah langkah yang sepatutnya diambil.

Saya kemudiannya merayu untuk kembali ke sekolah tersebut selepas hampir enam bulan merantau ke beberapa sekolah lain.

Selepas enam bulan saya berpindah semula ke SAMSMeL, kami mendapat khabar gembira kerana kami, pelajar-pelajar SAMSMeL dipindahkan ke sebuah sekolah baharu yang berkali ganda lebih besar dan cantik daripada SAMSMeL yang terletak di selatan Selangor. Itulah Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAMBBST).

Itulah tahun pertama dan terakhir (2005) saya menuntut ilmu di situ. Tidak banyak yang mampu dibuat. Namun begitu, hati terasa sebak bila dikaitkan dengan SAMBBST. Tidak mampu untuk terus-menerus untuk berbicara mengenainya.

Sebab apa? Sebab di SAMBBSTlah, setiap pentarbiyyahan yang diberi ketika di SAMSMeL diaplikasikan secukupnya. Di situ jugalah kami sebagai kumpulan pelajar tingkatan lima yang pertama memulakan asas untuk menjadikan SAMBBST sebagai sebuah sekolah yang akhirnya mampu meletakkan namanya sebagai sekolah kedua TERBAIK di daerah Sepang selepas Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya (menurut apa yang dimaklumkan oleh Sir Khairuddin).

Antara kenangan terakhir ketika belajar di SAMBBST (2005).
Saya bukanlah seorang pelajar yang boleh dijadikan contoh ketika saya bersekolah di SAMBBST, namun mungkin sebab saya meletakkan hati saya di situ menjadikan saya agak sukar menerima hakikat bahawasanya saya bukan lagi pelajar di situ.

Logo MPP yang pada asalnya saya buat sekadar suka-suka dijadikan logo rasmi MPP SAMBBST kini. Logo ini digunakan secara rasmi ketika MPP dipimpin oleh Saudara Rahman.
Walau apapun, saya sentiasa mendoakan agar SAMBBST atau nama glamournya STIS akan terus gemilang pada masa akan datang.

Tinta mencoret: Tiba-tiba terkenangkan SAMBBST.

No comments:

Post a Comment