Murid-murid kelas 4 Ibnu Rusyd. Dari kiri: Naim, Akmal Aim, Syahmi, Hakimi, dan Khairul Naim. |
Masa pelajaran Tilawah al-Quranlah masa yang paling saya gemari. Mana tidaknya, itulah masa saya 'mendekatkan' diri saya dengan anak-anak murid. Pembacaan al-Quran tidak boleh diajar secara reramai macam pelajaran lain, ia sebenarnya memerlukan penumpuan yang khusus terhadap seseorang itu.
Hari Jumaat adalah hari yang paling bertuah kerana bermula jam 3 sehingga 5.40 petang, jadual saya dipenuhi dengan mata pelajaran Tilawah al-Quran bermula dari kelas 4 Ibnu Sina (kelas pertama), diikuti 4 Ibnu Bathutah (kelas keempat), 4 Ibnu Khaldun (kelas kedua), dan selepas rehat 4 Ibnu Rusyd (kelas ketiga merangkap kelas yang saya jaga). Kelas 4 ar-Razi (kelas kelima) pula jatuh pada hari Isnin, satu-satunya kelas Tilawah (selain 4 Ibnu Rusyd) yang saya ajar bukan pada hari Isnin.
Hanya beberapa ayat (bergantung kepada panjang-pendek ayat) sahaja yang akan dibaca secara perseorangan dan daripada ayat tersebut, murid-murid diminta untuk mengeluarkan sebarang hukum tajwid yang mereka tahu.
Itu sahaja. Untuk melatih seseorang itu lancar dan mahir membaca al-Quran, kaedah talaqi musyafahah secara perseorangan adalah satu kaedah yang lebih sesuai, bukan dengan cara pembelajaran secara beramai-ramai.
Mungkin sebab itulah, saya gagal untuk membaca al-Quran semasa saya bersekolah agama dahulu sehinggalah saya belajar mengaji di kelas yang berlainan.
Alhamdulillah. Syukran jazilan buat ustaz-ustazah bawah kelolaan Ustaz Hasbullah yang berjaya mendidik saya bermula dari saya kelu lidah membaca al-Quran sehingga fasih dan kini saya pula yang mengajar al-Quran. Jasa ustaz-ustazah tidak akan saya lupakan.
Saya selalu tekankan kepada anak didik saya ketika pelajaran al-Quran, baca al-Quran bukan sahaja dalam masa pelajaran Tilawah al-Quran sahaja, tetapi sebenarnya al-Quran itu perlu dibaca setiap hari di mana-mana sahaja kita berada.
Mudah-mudahan mereka sentiasa membaca al-Quran terutamanya di luar kelas al-Quran.
Sebab itu saya agar sukar untuk mengendalikan masa pelajaran Tilawah al-Quran, sebab pada saya, kaedahnya agak tidak kena untuk menjadikan murid-murid mahir membaca al-Quran.
Kadang-kala, saya membawakan beberapa kisah atau perihal yang menceritakan betapa hebatnya al-Quran. Kisah ini selalunya menarik perhatian murid-murid untuk mendengar dan diharapkan mereka lebih bersemangat untuk membaca al-Quran, bukan kerana dipaksa, tetapi secara sukarela.
Murid-murid kelas 4 Ibnu Sina dan 4 Ibnu Khaldun selalunya menantikan 30 minit masa Tilawah al-Quran yang saya kendalikan. Entah mengapa masa saya dinantikan. Sedangkan baki 60 minit yang dikelolakan Ustazah Asmah dan Ustazah Yasmin selaku guru kelas masing-masing itu lebih bagus. Bukankah selalunya murid sesuatu kelas itu lebih akrab dengan guru kelas mereka?
Mungkin, saya lebih gemar membawakan beberapa kisah ketika mata pelajaran Tilawah. Mungkinlah. Beberapa kisah yang saya bawa lebih tertumpu kepada conclusion yang baik. Dan diharapkan mereka merentap kebaikan yang terkandung di dalam kisah yang saya bawakan.
Kalau Ustaz Amri tahu saya selalu 'curi' sebahagian masa untuk bercerita, entah apalah yang akan jadi. Saya tak ngelat ye... Ini pun salah satu daripada kaedah mencuri tumpuan. Daripada mereka 'bosan' dengan pola PnP yang membosankan pada mereka, lebih baik menarik tumpuan mereka kepada satu perkara yang lebih bermanfaat, sekurang-kurangnya, masa mereka datang ke sekolah tidak sia-sia...
Tinta mencoret: Murid sekolah rendah mudah dicuri tumpuan mereka dengan cara permainan dan penceritaan.
Bandar Seri Putra, Bangi SDE
Ustaz, teknik yang baik perlu diteruskan. Anak saya di 4 Ibu Sina.
ReplyDeleteInsyaAllah...
ReplyDelete