Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

28 March 2011

Dua Arah


Work for food or work for...?
Tak pastilah sama ada ia benar ataupun tidak. Sekiranya benar, Alhamdulillah. Semuanya rezeki daripada Allah swt.

Sekiranya apa yang 'bakal' diterima ini menjadi satu kenyataan dan direalisasikan, rasa bagaikan satu nikmat daripada Allah swt. Maklumlah, saya bukanlah orang yang layak menerima nikmat yang melimpah-ruah ini.

Maha Kuasa Allah swt untuk menjadikan sesuatu perkara. Maka, sekali lagi saya membenarkan firman Allah swt di dalam Surah ath-Tholaq:
Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, nescaya akan ada baginya jalan keluar (daripada segala kesukaran). Serta dikurniakan rezeki daripada jalan yang langsung tidak terlintas di fikirannya. Dan barangsiapa bertawakal dan berserah diri kepada Allah, maka cukuplah hanya Allah baginya (untuk membantunya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Ayat Seribu Dinar
AQ 64 : 2-3

Mendengar khabar berita ini, terkedu dan tidak terkata. Bukan mudah untuk saya menerimanya walaupun perkara itu adalah suatu perkara yang menggembirakan. Tetapi bukan sukar bagi Allah untuk mengadakan sesuatu perkara yang mungkin dianggap sebagai satu perkara yang tidak realistik malah mungkin ditertawakan jika dikhabarkan kepada orang lain.

Khabar berita ini juga membuatkan saya berada antara dua persimpangan, sama ada meneruskan tugas saya sebagai seorang guru ataupun merembat rezeki yang datang bergolek ini.

Saya bersama Ustaz Hafeez (baju ungu),
Ustaz Fauzul (baju peach), dan Ustaz Zulraimie.
Tugas sebagai guru fardhu 'ain di JAIS sememangnya satu tugas yang agak besar untuk dilaksanakan dan jika dilihat daripada segi material, gaji yang diterima sememangnya tidak memadai dengan tugas yang dilaksanakan. Jika ditafsirkan, guru-guru fardhu 'ain (FA) ini tergolong dalam lapan orang asnaf yang layak menerima wang zakat.

Namun begitu, kebanyakkan guru-guru ini melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah swt yang lebih besar berbanding apa yang diperoleh daripada manusia.

Murid-murid beramah mesra.
Walaupun begitu, saya masih lagi menaruh harapan yang agak tinggi dalam tugas ini. Cumanya terkadang tindakan yang dibuat itu luar daripada yang sepatutnya walaupun atas niat yang baik. Semurni mana pun matlamat yang ditanam, ia tidak akan menghalalkan sebarang cara untuk mencapat matlamat tersebut.

Itu tugas sebagai guru FA ini memang memerlukan ketabahan dan kekentalan.

Kalau diikutkan hati, ramai guru-guru FA akan berhenti kerja, tetapi mereka memikirkan ganjaran yang maha besar daripada Allah, mereka merelakan seluruh jiwa dan raga mereka diserahkan di jalan Allah.

Keikhlasan saya? Tidak perlulah diperihalkan di sini.

Mungkin banyak mata melihat saya sebagai satu titik nila yang merosakkan sebelanga susu. Namun begitu, saya masih lagi menaruh harapan untuk terus tinggal menabur bakti.

Bergambar dengan Zulhilmi, murid tahun 6
ketika Mesyuarat Agung PIBG baru-baru ini.
Seronok bila melihat anak-anak senyum.

Bila tawaran yang diterima ini lebih lumayan, terfikir di fikiran, adakah saya akan menerima kepuasan jika menerimanya sama seperti mana kepuasan mendidik anak-anak? Mana tidaknya, tawaran tersebut lebih sepuluh kali ganda lumayan berbanding daripada apa yang saya peroleh. Adakah saya akan puas dengan tugas beru tersebut? Belum tentu lagi.

Lebih kurang sebulan sahaja lagi untuk saya respon terhadap tawaran tersebut, satu jangka masa yang terlalu singkat.

Istikharah itulah kaedah yang terbaik untuk memilih antara keduanya. Jika diikutkan hati, saya mahu terus kekal mengajar kerana kepuasan dan keseronokannya.

Sekiranya semuanya benar, perkara ini juga akan menjadi salah satu daripada agenda misi yang saya rancang sebelum ini.

Saya berkonsultasi dengan seorang ustaz, juga sahabat saya mengenai perkara ini. Beliau menyarankan agar saya menerima tawaran tersebut atas beberapa faktor. Jika dilihat kepada realiti dunia masa kini, setiap tawaran yang terbaik tidak wajar dilepaskan begitu sahaja. Jangan dilihat tindakan tersebut seolah-olah menunjukkan kita seorang yang mementingkan kemewahan dunia, tetapi perkara tersebut boleh dilihat mengikut kaca mata yang lebih positif. Peluang untuk 'mencipta' pahala juga lebih luas skopnya sekiranya kita mampu bergerak selaju arus yang deras mengalir. Dunia kini yang menjadikan harta adalah segala-galanya mampu membantutkan segala usaha dakwah sekiranya kita tidak mampu untuk 'kaya'. Setiap pergerakan memerlukan harta, termasuklah untuk melaksanakan ibadat.

Tetapi, mampukah untuk diri ini mengorban dan melepaskan keseronokan melihat anak-anak belajar?

Lebih memilukan bila terkenangkan sambutan bekas anak-anak murid di SRA Desa Putra pada Rabu lepas (23 Mac 2011) ketika saya berkunjung ke sekolah itu seusai berurusan di PAID Sepang. Terpampang wajah ceria anak didik yang paling saya sayangi di sana, Farhan serta rakan-rakannya. Rasa syahdu bila bertemu Izzudin yang kini bersamping hijau, Akid yang semakin tinggi, Azhari dengan wajah manisnya, Fatini yang tersenyum, dan beberapa orang murid yang lain. Mereka berkumpul di hadapan pintu pejabat sekolah bila melihat Saga saya diparkir. Ungkapan "Saga Lawas" yang mereka katakan menjadi satu perkara yang mendatangkan kepuasan ketika itu walaupun sebelum ini, saya stress dan agak marah sekiranya mereka menyebutnya di dalam kelas. Walaupun hanya 15 minit sahaja sempat saya luangkan, namun 15 minit itulah masa yang menyeronokkan bagi saya ketika itu...

Murid-murid 5 Umar di SRA Desa Putra dalam kenangan.
Semuanya meninggalkan kenangan sekiranya saya menerima tawaran tersebut.

Ya Allah, Kau realisasikanlah khabar gembira ini. Ameen.

SRA Bandar Seri Putra, Bangi SDE

1 comment:

  1. buat mana yang kau tahu, kau mahu, kau selesa.

    insyaAllah. gud luck! =)

    ReplyDelete