Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

13 March 2011

Cakap Yang Baik-baik


لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه. أو كما قال
Tidak (sempurna) iman di kalangan  kamu sehinggakan dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

Islam mengajar umatnya bergaul dengan cara yang terbaik.
(Gambar hiasan)
Islam amat menitik beratkan soal persaudaraan sesama Muslim. Kepentingan menyayangi dan mengasihi saudara seakidah digambarkan oleh Rasulullah saw seperti kasihnya kita terhadap diri kita sendiri. Sebagaimana kita menjaga diri kita, begitulah sepatutnya kita lakukan terhadap saudara kita. Sehinggakan hadith di atas mengatakan: Tidak beriman (لا يؤمن) sekiranya kita tidak mengasihi saudara seakidah kita.

Wow. Begitu penting sekali kita mengasihi saudara kita.

Bagaimana cara kita mengasihi saudara kita? Banyak cara. Salah satunya dengan menjaga hati dan perasaan saudara kita.

Rasulullah saw pernah bersabda:
المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده،
والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه.
أو كما قال
Orang Islam yang sebenar-benarnya ialah mereka yang memelihara orang Islam yang lain daripada (kejahatan) mulut dan tangannya. Dan sebenar-benar orang yang berhijrah ialah mereka yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah ke atasnya.
HR Bukhari

Menjaga pertuturan kita daripada 'ter'guris hati saudara kita adalah menjadi tuntutan dalam Islam. Menjaga pergaulan sesama sahabat perlu dilihat dalam konteks yang berlainan mengikut kepada situasi yang berlaku.

Walaupun begitu, Islam telah meletakkan kayu ukur dan batasan dalam pergaulan sesama Muslim. Sabda Rasulullah saw:
ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء. أو كما قال
Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mengutuk, melaknat, mencarut dan mencaci.
HR at-Tirmidzi (no. 1977)

Yang pertama, pastikan setiap perkataan kita bebas daripada segala perkara yang bersifat carutan dan makian. Pastinya kita bukanlah seorang manusia yang sukakan kepada makian dan cacian, begitu juga dengan manusia yang lain. Setiap perkataan yang berunsurkan makian dan cacian ini boleh menimbulkan bibit-bibit kebencian dan ketidak-senangan antara sesama manusia. Disebabkan itulah, Islam menolak gaya bahasa yang begitu buruk itu daripada dijadikan tabiat Muslim.

Gunakanlah gaya bahasa yang elok dan sopan. Ini akan menyerlahkan keindahan Islam dan mengelakkan daripada tanggapan salah faham bukan Islam terhadap Islam. Sesungguhnya, apa yang menjadi perbuatan kita diteliti orang bukan Islam dan mereka akan mencari point untuk memburukkan Islam melalui tindakan kita sendiri.

Yang kedua, jauhi diri kita daripada mencari kesalahan dan bersangka buruk terhadap saudara kita. Firman Allah swt:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (buruk) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati (dengan cara mengumpat itu)? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.

Allah melarang hamba-hambanya daripada cuba mencari kesalahan dan mengumpat orang lain. Hal ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk menjatuhkan darjat dan reputasi seseorang yang diumpatkan itu. Allah menempelak orang-orang sebegini dengan mengumpamakannya bagai memakan daging saudaranya yang sudah mati. Adakah kita sanggup untuk melapah daging saudara kita? Sesungguhnya tidak berimanlah bagi mereka yang sanggup memamah daging saudaranya. Na'uzubillahi min zalik!

Yang  seterusnya, bercakaplah perkara-perkara yang baik sahaja. Sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin dikatakan, kita disarankan agar senyap. Sesungguhnya dengan mendiamkan diri itu dapat menghindarkan diri daripada melakukan dosa melalui mulut kita.

Sabda Rasulullah saw:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت. أو كما قال
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah perkara yang baik atau diam.
HR Syaikhan

Peribadi yang baik itu akan disenangi semua pihak.
(Gambar hiasan)
Hanya tiga ini sahaja yang ingin saya ke utarakan. Mudah-mudahan dengan ilmu yang sedikit ini, kita mampu untuk berubah. Ini lebih baik berbanding menerima ilmu yang bertimbun-timbun namun hanya tinggal di ruangan ini sahaja tanpa ada sebarang penambahbaikkan dalam diri kita.

والله أعلم بالصواب

Tinta mencoret: Berusaha untuk bertutur dengan cara yang terbaik.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
Bacaan lanjut di sini.

No comments:

Post a Comment