Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

11 March 2011

Amirul Dan Amirah


Arif Jemali menerima hadiah
ketika Hari Anugerah Kecemerlangan SKDP, 22 Januari lepas.
Sedang saya terbelek-belek dan membaca entry lama dalam blog CTB yang tercinta ni, saya terbaca sebuah entry berkenaan seorang classmate saya yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) beberapa tahun lepas. Memang kehandalan dan penguasaan ilmu oleh rakan saya, Nur Syahada diketahui oleh warga KUIS ketika itu.

Ketika saya membaca kisah kejayaan Nur Syahada ini, saya teringat satu kisah di mana seorang rakan saya, Amirul (bukan nama sebenar) juga seorang pelajar (ketika itu) yang handal dan keputusannya juga menggempakkan. Keputusan peperiksaannya sentiasa tinggi.

Amirul ketika itu menyukai seorang pelajar perempuan bernama Amirah (juga bukan nama sebenar). Amirah juga seorang yang pandai dan sentiasa mendapat keputusan yang tinggi, melebihi keputusan Amirul. Kedua-duanya sama handal, kalau kedua-duanya kahwin, boleh dikatakan sekufulah dari aspek penguasaan ilmu pengetahuan.

Rakan sekelas Amirul memang mengetahui bahawa Amirul ada hati dengan Amirah. Amirah pula dikatakan tidak mahu melayan cintan-cintun yang dilayangkan Amirul dan meletakkan syarat agar Amirul mengekalkan prestasi cemerlangnya dan menangguhkan hasrat tersebut sehingga Amirah berjaya mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Yang menjadi masalah ada sikap Amirul. Amirul sejenis manusia yang boleh dikatakan berlagak dengan kepandaiannya. Amirul juga tidak mahu menerima sebarang kenyataan jika dikatakan ada orang yang lebih hebat dan pandai berbanding dengannya. Amirul juga suka memperlekehkan orang lain agar dengan tindakan tersebut memperlihat kehebatan dan kepandaiannya, walhal yang keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Setelah kedua-dua 'merpati' ini bergraduasi, Amirah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala Amirul hanya melanjutkan pelajaran di dalam negara sahaja. Terngiang-ngianglah minda si Amirul teringatkan Amirah. Jika dahulu, Amirah sentiasa berada di depan mata Amirul kerana kedua-duanya menuntut di sebuah institusi pengajian yang sama, namun kini, Amirul hanya dapat berhubung dengan Amirah hanya menerusi Yahoo! Messenger dan Friendster (ketika itu) sahaja.

Dijadikan cerita, setelah Amirah melanjutkan pengajian ke luar negara, Amirah memutuskan segala perhubungan menerusi maya dengan Amirul, baik melalui Yahoo! Messenger mahupun Friendster. Terkedu Amirul, hilang arah dibuatnya. Amirul cuba untuk menge-add Amirah melalui Facebook namun usahanya gagal kerana Amirah mengignore akan permintaan Amirul tersebut. Padan muka. Hahaha...

Apa lagi, meroyanlah si Amirul. Keputusan Amirul kini tidak lagi secemerlang dahulu, hanya cukup-cukup makan sahaja. Dikhabarkan Amirul juga pernah dimarahi lecturernya sendiri kerana membentangkan buhuth (assignments) yang dicopy-paste dari sumber-sumber rujukan berbahasa asing yang tidak difahaminya. Di tempat barunya juga, Amirul tidak banyak mencari kenalan. Hanya cukup dengan dua tiga orang sahaja yang didampinginya.

Kesudahannya tidaklah diketahui kerana saya terlost contact dengannya. Wallahu a'lam.

Hati saya hanya boleh mengatakan dua perkataan sahaja: PADAN MUKA.

TERSIRAT DISEBALIK TERSURAT

Kecemerlangan sekarang bukan jaminan kejayaan masa depan.
(Gambar hiasan)
Mana tidaknya, Amirul tidak pernah cuba untuk bermuhasabah diri melihat perkara yang tersirat di sebalik kejadian yang berlaku. Amirul juga masih kekal dengan sikap angkuhnya kerana mungkin kedudukannya sebagai pelajar cemerlang sebelum itu. Ingat, keputusan yang cemerlang itu bukanlah satu bentuk nikmat, mungkin kemerosotan itu satu bentuk tarbiyyah, dan mungkin juga kejayaannya selama ini berbentuk istidraj yang bertujuan untuk menjauhkan diri daripada Allah swt.

Sekali imbas, Amirah sememangnya seorang yang wanita yang solehah. Pertuturannya dijaga. Amirah juga tidak terburu-buru untuk menerima cinta Amirul sebaliknya menyerahkan urusan hati kepada Allah. Kedudukannya sebagai mahasiswa Islam juga mengawal tingkah lakunya agar tidak terlibat dengan cinta monyet yang dilayangkan Amirul. Pendek kata, Amirah adalah contoh terbaik seorang wanita solehah. Jika saya diberi pilihan sama ada mahu mengambilnya sebagai isteri, saya akan menerimanya.

Apa yang kurang pada Amirah? Ciri-ciri wanita solehah terserlah pada dirinya. Dalam pendidikan, Amirah berjaya menyaingi semua rakan-rakannya. Keluarga Amirah merupakan keluarga yang berada, bukan yang kedana. Lengkap dengan empat ciri calon isteri pilihan lelaki yang disebut dalam hadith Nabi saw.

Dan (pada pandangan saya), tindakan Amirah yang memutuskan semua perhubungan dengan Amirul adalah satu tindakan yang terancang. Rasanya Amirah bukan suka sangat dengan Amirul, cuma mahu menjaga hati dan maruahnya dengan tidak menolak secara terang-terangan ataupun menolak semasa menuntut di bawah satu bumbung. Gaya penolakkan Amirah semacam meniru gaya penolakan Puteri Gunung Ledang terhadap lamaran Sultan Mahmud.

Si Amirul pula syok sendiri. Apa yang difikirkannya, Amirah adalah 'miliknya'. Selagi sepasang 'merpati' tidak diikat dengan ikatan perkahwinan, diulangi TIDAK DIIKAT DENGAN IKATAN PERKAHWINAN, segala-galanya mungkin berlaku.

Amirul berterusan dengan sikap bongkaknya, memandang orang lain lebih rendah martabatnya. Bukan itu sahaja, Amirul beranggapan bahawa setiap barang yang baik dan bermutu adalah miliknya, tidak layak dengan orang yang diinjak-injaknya. Natijahnya, Allah 'melarikan' dan 'menyorokkan' Amirah daripada hidupnya. Perwatakan Amirah yang solehah itu langsung tidak sesuai dengan Amirul yang megah dan bongkak.

Pengajaranlah buat kita semua. Apa yang kita miliki bukan segala-galanya dan bukan selama-lamanya. Bersyukurlah jika kita dikurniakan kelebihan dan gunakanlah dengan sebetulnya. Dihebahkan nikmat tersebut dengan tujuan untuk berkongsi kegembiraan tidak salah kerana ia boleh dikategorikan sebagai menzahirkan tanda kesyukuran, tetapi jika kita menzahirkannya hanya untuk menunjuk-nunjuk, dan menjadikan diri kita tampak lebih mulia dan bagus berbanding dengan orang lain, sesungguhnya itu adalah sifat yang mazmumah (yang dikeji) dan mengundang kemurkaan Allah swt. Tunggu sahajalah balasan Allah. Jika Allah menurunkan balasan tersebut di dunia, Alhamdulillah kerana sebahagian daripada dosa kita terampun. Tetapi jika dilanjutkan balasan tersebut di Akhirat kelak, azab neraka-Nya amatlah pedih.

Firman Allah swt:
Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta dan anak-pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu tumbuh segar. Selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat dan keampunan besar serta keredhaan dari Allah dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
 Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina) dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

والله أعلم بالصواب

Tinta mencoret: Janganlah bongkak dengan kelebihan yang kita miliki. Itu semua milik Allah. Kita tidak punya sesuatu pun sebenarnya.

Bandar Seri Putra, Bangi SDE

No comments:

Post a Comment