Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

07 March 2011

Menunggu Audi A4


Ujian dari Tuhan itu amatlah berharga.
Hampir setahun lepas, saya terasa bagai ditusuk sembilu yang tajam bila segala yang direncanakan tidak membuahkan hasil. Bukan setakat itu sahaja, saya ditohmah dengan pelbagai kejian dan cercaan yang mungkin menyedarkan siapa saya di kaca mata rakan-rakan.

Pada asalnya, saya cuba untuk lari daripada situasi yang menekan itu. Dengan kedudukan kewangan yang langsung tidak mengizinkan itu, saya terus ditekan saban hari.

Pada mulanya, saya yakin saya mampu untuk keluar daripada kemelut masalah yang melanda. Sangkaan itu sebenarnya meleset. Sebulan sahaja saya mampu bertahan sehinggakan serangan yang hampir sama malah lebih besar saya terima. Tatkala itulah saya rasakan hidup ini bagai tiada lagi maknanya.

Saya berdoa dan mengharapkan bantuan dan keajaiban daripada Allah swt agar dapat memulihkan hati dan menguatkan kaki untuk berdiri tika moral sudah jatuh tertiarap.

Alhamdulillah, dalam tidak sampai sebulan, Allah memberikan bantuan melalui satu sumber yang tidak disangka-sangka. Hidup saya berubah. Saya punya kerjaya walaupun ia sekadar untuk menyuapkan nasi ke mulut, tidak lebih daripada itu.

Hidup saya terus diuji. Kehadiran saya kemudiannya seolah tidak diredhai oleh sebahagian besar daripada petugas di situ. Kehidupan yang pada asalnya gembira bertukar 100 peratus. Moral saya jatuh sekali lagi.

Walaupun begitu, saya yakin, itu semua adalah tarbiyyah daripada Allah swt agar saya kuat dan mampu berhadapan dengan masyarakat yang lebih hardcore berbanding persekitaran yang selesa yang selama ini saya diami.

Hubungan semakin lama semakin panas. Saya terus bersabar dengan karenah dua tiga kerat manusia yang berterusan menyalahkan tindakan saya. Bukan itu sahaja, dijaja pula kepada semua pihak seakan dia sahaja yang betul. Tika itu, saya menyerahkan segala urusan kepada Tuhan agar dipermudahkan urusan penerimaan dan diserapkan ke dalam jabatan secepat mungkin.

Perencanaan Allah, itulah yang terbaik.

Setelah sebulan lebih kaki melangkah keluar daripada institusi terbabit, Allah mengutuskan satu khabar gembira. Saya diterima sebagai salah satu daripada anggota jabatan. Syukur tidak terhingga. Lagi bertambah syukur apabila saya tidak lagi ditempatkan di institusi yang sama, tetapi diletakkan di sebuah institusi lain yang berhampiran dengan kediaman.

Hati memasang niat agar dapat membina sebuah kehidupan yang baru ketika berkhidmat di tempat baru. Kisah silam semuanya disimpan rapi di dalam diari dan diharapkan tidak lagi terpacul.

Rupanya, masih ada yang masih menjaja kisah tersebut sehinggakan ia diketahui. Biarlah. Asalkan saya mampu untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik berbanding tika di tempat lama.

Banyak kesedaran yang Allah tunjukkan kepada saya. Di situlah, saya belajar sedikit demi sedikit untuk berubah.

Ditakdirkan Allah, saya dijumpakan dengan seorang sahabat lama, hampir dua bulan yang lalu. Saya langsung tidak menjangkakan bahawa keinginan untuk saya menyertai perniagaannya di sambut baik. Alhamdulillah. Sekiranya segala-galanya berjalan dengan lancar, saya mungkin akan membangunkan syarikat bersama dengannya selewat-lewatnya pertengahan tahun ini. Semoga Allah mengabulkan permintaan ini.

Semuanya berlaku tanpa diduga. Terima kasih buat sahabat yang sudi menerima kehadiran diri ini yang sebenarnya tidak layak untuk bersama denganmu. Diharapkan jika rezeki yang diterima selepas ini dapatlah menutup mulut-mulut celupar manusia yang selama ini suka mencaci dan menghina saya. Sesungguhnya cacian tersebut pastinya mendatangkan dosa dan wajarlah ia dihentikan sesegera yang boleh.

Cumanya, adakah apa yang difikirkan ini berada dalam rancangan Allah? Wallahu a'lam. Tunggu sahajalah sehingga anda melihat 'saya memandu sebuah Audi A4'.

Jangan terkejut jika Ustaz Syahmi memandu Audi A4
ke sekolah hujung tahun ini...
Tinta mencoret: Setiap apa yang berlaku ini makin menguatkan keimanan dan kepercayaan terhadap bantuan Tuhan terhadap hamba-Nya yang menaruh kepercayaan yang penuh terhadap-Nya.

Bandar Seri Putra, Bangi SDE

No comments:

Post a Comment