Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

27 December 2010

Seribu Dinar: Bantuan Allah Tanpa Diduga



Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya akan ada baginya jalan keluar (dari segala kesukaran). Serta dikurniakan rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan barangsiapa bertawakkal dan berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Ayat Seribu Dinar
AQ 64 : 2-3

Sesi persekolahan akan bermula minggu hadapan. Pejam celik, pejam celik sudah sebulan lebih saya berehat dalam cuti akhir tahun yang agak membosankan. Selama itu jugalah, saya ke hulu hilir tanpa arah tujuan sementara menantikan jawapan daripada JAIS dan ABIM.

Sebelum ini, saya sangka permohonan saya ke sekolah ABIM diluluskan oleh Ustaz Rashid. Namun, apabila saya menelefon beliau kembali, beliau memberikan makluman akan menyemak status permohonan saya terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang jawapan, paling awal pada esok (Selasa, 28 Disember).

JAIS pula masih mendiamkan diri. Setiap kali saya berhubung dengan Bahagian Pendidikan Islam, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sepang, jawapan yang diberikan masih sama; menunggu jawapan daripada JAIS Shah Alam. PAID Sepang tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memutuskan sama ada permohonan saya untuk jawatan tersebut diluluskan ataupun tidak. Mereka hanya akan menyenarai-pendekkan permohonan yang layak berdasarkan kepada kelayakkan dan temuduga untuk dicadangkan kepada JAIS Shah Alam. Saya akui had dan bidang kuasa PAID.

Kedua-dua status yang diberikan oleh kedua-dua pihak tersebut sebenarnya meletakkan saya dalam dilema. Selagi tiada jawapan yang diberikan oleh kedua-dua pihak tersebut, selagi itulah saya terfikir apakah hala tuju hidup yang bakal direncanakan pada tahun yang bakal mendatang lagi beberapa hari lagi.

MEMBANTU KERANA BERKEPENTINGAN

Apalah nasib. Dapat ataupun tidak, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Kita sebagai hamba sepatutnya meletakkan pengharapan yang tinggi kepada-Nya, bukan kepada JAIS, bukan kepada ABIM, bukan kepada Ustaz Rashid, bukan kepada mana-mana makhluk sekalipun. Pengalaman saya sendiri membuktikannya. Saya pernah meletakkan pengharapan dan juga kepercayaan yang terlalu tinggi sehinggakan setiap daripada apa yang saya rancang saya pasti akan mendapat keputusan yang positif daripada satu pihak sehinggakan tibanya satu ketika, pihak tersebut berpaling dan menikam saya daripada belakang. Tindakan itu kemudiannya menyebabkan saya jatuh tersungkur, sukar untuk bangkit dan terpaksa bertatih sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah, penderitaan yang saya tempuh begitu lama ini memperlihatkan tentang kekuasaan Allah. Dia membimbing, mendidik, dan mentarbiyyah diri agar tidak lagi berpegangan keyakinan salah yang digenggam erat selama ini. Saya tidak lagi berasakan bahawa pengharapan terhadap mana-mana individu mahupun organisasi adalah satu jalan penyelesaian kerana manusia hanya memikirkan soal diri sendiri sebenarnya berbanding memikirkan soal mendirikan seorang insan yang tersungkur jatuh dek mendaki gunung yang curam untuk sampai ke puncaknya.

Islam mengajar kita saling membantu sesama manusia. (Gambar hiasan)
Jatuh bangun tidak lagi mengharapkan daripada mana-mana pihak secara mutlak. Kebaikan yang mereka gambarkan bukan penentu kepada tangan yang bakal dihulurkan. Bukan kerana mereka tidak memiliki tangan yang lengkap, bahkan mereka juga mampu untuk menarik gajah yang sangkut di kaki gunung yang curam, akan tetapi dengan memiliki satu bentuk perasaan yang hanya memikirkan matlamat dirinya sahaja untuk hadir ke puncak, mereka sanggup membiarkan kita yang terkapai-kapai meminta bantuan ketika bertarung untuk selamat daripada jatuh ke dalam gaung yang dalam!

Tatkala ditinggalkan keseorangan dan kesepian, Dialah menggerakkan beberapa hati untuk menerima diri. Bantuan yang diterima datangnya daripada satu sudut yang tidak langsung diduga. Itulah kuasa Allah. Ketidak-mampuan diri ini untuk berdiri melangkah langsung tidak dipandang oleh mana-mana pihak yang pada asalnya bersama-sama mengikat persefahaman sambil lidah menitipkan janji untuk saling membantu ketika kepayahan datang menyapa. Yang berjanji hanyalah lidah, bukannya tangan, bukannya kaki, dan yang paling penting bukannya HATI! Ketika kita sukar untuk bergerak, mereka menuding jari menuduh sengaja melengah-lengahkan perjalanan dan terus pergi merebut kesenangan meninggalkan diri ini tergapai-gapai mengharapkan simpati.

Bantuan sebenarnya akan hadir sekiranya kita yakin kepada Allah. Bukankah Dia telah berjanji untuk mendatang pertolongan daripada jalan yang langsung tidak terlintas difikiran?

Tinta mencoret: Jatuh bangun Rasulullah saw ketika permulaan dakwah baginda memberi natijah terbinanya sebuah ketamadunan yang disegani ketika akhir hayat baginda sehingga melangkaui seribu tahun, apatah lagi kita yang hanya dilontarkan dedaunan yang kering!

Seksyen 4, Bandar Bukit Mahkota, Bangi SDE

No comments:

Post a Comment