Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

29 December 2010

Kemelut Selangor Awal 2011?


Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah,
Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan
Pelbagai khabar angin yang saya dapat mengenai apa yang bakal berlaku pada pentadbiran Selangor 2011. Khabar angin bertiup kencang di kebanyakkan ruangan maya membincangkan mengenainya dan kebanyakkan daripada khabar tersebut tertumpu kepada pengukuhan kepentingan parti politik masing-masing dalam usaha untuk menguasai kerusi di pejabat Menteri Besar sebuah negeri paling pesat membangun: Selangor.

Pengukuhan penguasaan kerusi panas tersebut bukan hanya kepada parti yang menguasai Dewan Negeri semata-mata, tetapi tidak ketinggalan kepada mereka pernah kehilangannya.

EDAH TAMAT 2 TAHUN LAGI

Perasmian Persidangan DUN 2009 (sumber)
Pilihanraya di negeri Selangor mungkin tidak akan diadakan serentak dengan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) sekiranya PRU 13 dilaksanakan lebih awal sebelum mandat 5 tahun berakhir. [klik] Pakatan Rakyat memberi alasan untuk menggunakan sebaik mungkin masa yang diberikan kepada mereka untuk melunaskan janji-janji yang mereka tabur ketika Pilihanraya Umum yang lalu. Pilihanraya antara Persekutuan dan Negeri boleh diadakan berasingan berdasarkan kepada undang-undang dan ia diakui sendiri oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selaku Pengerusi SPR. [klik]

Oleh yang demikian, PR dijangka akan terus menguasai tampuk pemerintahan Negeri sehingga mandat berakhir 2013.

Selain daripada mengunakan sebaik mungkin tempoh mandat 5 tahun, PR menyatakan bahawa mahu mengamalkan pendekatan baru dengan memaklumkan kepada parti dan pihak yang ingin bertanding 6 bulan sebelum memanggil untuk membubarkan Dewan bagi memberi laluan kepada Pilihanraya. Pendekatan ini dikatakan akan menyuburkan prinsip demokrasi dengan memberi banyak ruang kepada pihak yang bertanding untuk membuat persediaan sebelum Pilihanraya diadakan. Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir membidas sikap BN yang suka membubarkan Dewan untuk mengadakan pilihanraya dengan cara mengejut sekaligus tidak memberikan ruang kepada pihak yang bertanding khususnya musuh-musuh ketat mereka untuk bersiap-sedia. Hal ini akan memberikan satu kelebihan buat jentera BN untuk menggempur kubu-kubu musuh dan menyerang di atas dataran yang tidak rata. [klik]

Pada saya, cadangan tersebut boleh diterima sekiranya Pakatan Rakyat yang diterajui tiga komponen utama: PKR-PAS-DAP benar-benar melaksanakan apa yang mereka hasratkan. Nampaknya, BN terpaksa menunggu edahnya tamat sebelum boleh mengambil kerusi yang diduduki PR, melainkan mereka merencanakan operasi katak-mengatak sebagaimana yang mereka berjaya laksanakan dengan cemerlang di Perak awal 2009.

KATAK-MENGATAK

Datuk Khusrin (kiri) bakal menggantikan Datuk Ramli
sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bermula 1 Januari 2011.
Cerita pasal katak, baru-baru ini, PR dengan lantang membidas perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khusrin Munawi untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut yang akan dikosongkan oleh Datuk Ramli Mahmud. [klik] Perlantikan Datuk Khusrin ke jawatan tersebut mendapat bantahan ramai pihak dalam PR kerana beliau selama ini dilihat sebagai kuda trojan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri seperti Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang mereka (PR) lihat memainkan peranan menggulingkan kerajaan sah pimpinan Datuk Seri Nizar di Perak. Benar atau tidak dakwaan tersebut, saya tidaklah mahu membincangkan di sini kerana kejatuhan kepimpinan Datuk Seri Nizar sudah berlalu hampir 2 tahun. Jangan dikenang lama-lama barang yang sudah lepas, apa yang paling penting pengajaran yang dapat diambil daripada apa yang sudah berlalu itu.

Pakatan Rakyat selama ini melihat Datuk Khusrin sebagai virus kepada pentadbiran Tan Sri Khalid berdasarkan beberapa tindakan yang diambil beliau bertentangan dengan polisi Kerajaan Negeri. [klik] Beliau juga mengambil pendekatan yang keras dalam sesuatu kes terhadap mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan PR tetapi membisu apabila kes yang hampir serupa yang dihadapi BN.

Pentadbiran Tan Sri Khalid nampaknya bersungguh-sungguh untuk menghadap Ke Bawah DYMM Sultan Selangor untuk berbincang mengenainya. Diharapkan keputusan yang diambil DYMM Sultan memberi kesan yang positif dalam kelangsungan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri. Perlantikan SUK yang tidak sehaluan atau tidak sebulu dengan Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Negeri sebenarnya akan lebih mengharu-birukan keadaan dan barisan pentadbiran tertinggi mungkin akan lebih banyak bermain politik untuk berhadapan dengan agenda tersembunyi yang dibawa musuh mereka melalui kuda trojan yang dibawa masuk tersebut.

Apa-apa pun, jasa Datuk Khusrin sepanjang menjadi Pengarah JAIS tidak harus dilupakan begitu sahaja. Selamat bertugas di tempat dan suasana baru! Jawatan Pengarah JAIS akan diisi oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam, Marzuki Hussin. [klik]

Pada saya, walaupun Tan Sri Khalid berpengalaman luas dalam bidang korporat dan ekonomi, beliau  dilihat tidak mampu berhadapan dengan musuh-musuh politik sehinggakan jawatan SUK yang diketahui beliau bakal dikosongkan menjelang penghujung tahun ini, beliau masih lambat untuk bertindak, sekurang-kurangnya menghadap Ke Bawah DYMM Sultan untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

MARI KITA PAKAT TUKAR MB!

Ketidakpekaan Tan Sri Khalid dalam mencatur gerak langkah untuk melumpuhkan musuh politik terutamanya daripada Barisan Nasional dilihat satu liabiliti terhadap pentadbirannya. Pada bila-bila masa sahaja Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat boleh runtuh sebagaimana yang berlaku di Perak. Yang bezanya, kuda trojan sememangnya sudah ada sebelum Menteri Besar Perak dilantik dan nasihat Datuk Seri Nizar buat Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak dipersetujui sekaligus beliau dituduh 'menderhaka' kepada Sultan Perak.

Keadaan Selangor pula berbeza kerana kuda trojan cuba dimasukkan oleh musuh dari dalam Persekutuan. Setiap ahli politik yang cekap seharusnya mampu menghidu perencanaan tersebut dan bertindak lebih awal daripada yang sepatutnya. Kelebihan ini tidak ada pada Tan Sri Khalid. Beliau mungkin hebat dalam menarik pelaburan tempatan dan luar negara ke dalam Selangor, tetapi beliau lupa, beliau sebagai ketua Kerajaan Negeri yang terkaya di Malaysia sepatutnya tidak melepaskan pandangan terhadap sudut politik!

Liabiliti yang dibawa Tan Sri Khalid nampaknya sudah dihidu oleh kepimpinan PKR. Oleh sebab itulah, pemimpin tertinggi PKR mengambil langkah yang agak berbahaya melantik Naib Presiden PKR (ketika itu), Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor PKR (Pengerusi PKR Selangor) menggantikan Tan Sri Khalid. [klik]

Tan Sri Khalid vs Azmin Ali
Pemerhati berandaian, kemungkinan besar Azmin Ali bakal menggantikan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor berdasarkan kepada lumrah politik tanah air, pemimpin tertinggi dalam parti akan menerajui pemerintahan kerajaan, baik Persekutuan mahupun Negeri. Andaian tersebut dibidas pimpinan PKR yang menyatakan mahu memberi ruang yang lebih banyak kepada Tan Sri Khalid untuk fokus dalam pentadbiran Negeri. Perjalanan PKR Selangor pula dikatakan sepatutnya diserahkan kepada individu lain sebagai satu usaha untuk memantapkan lagi kekuatan parti tersebut di Selangor.

Alasan tersebut dilihat lemah apabila khabar angin yang mengatakan bahawa Azmin bakal menggantikan Tan Sri Khalid pada 15 Januari 2011 bertiup kencang. [klik] Betul ke? Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu dilihat sebagai calon PKR yang layak menggantikan Tan Sri Khalid walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam aspek pengurusan ekonomi berbanding Tan Sri Khalid. Peneraju pentadbiran Negeri Selangor bukan hanya memerlukan seorang yang mahir dalam selok-belok ekonomi tetapi juga memerlukan seorang pemimpin yang mampu berhadapan dengan tujahan dan serangan daripada segenap hal ehwal yang bersangkut-paut dengan pentadbiran dan kekuasaan kerusi Menteri Besar. Sekiranya Tan Sri Khalid tidak mampu hadir dengan ciri-ciri tersebut, kebarangkalian Kerajaan Negeri bakal runtuh seperti di Perak akan berulang kerana Kerajaan Negeri yang diterajui PR berhadapan dengan Kerajaan BN dari Pusat bukan di atas tapak yang rata.

Oleh itu, jikalau benar desas-desus menyatakan bahawa Azmin Ali bakal menggantikan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor menjelang pertengahan Januari 2011, pertukaran itu amatlah saya sokong 100 peratus. Jika tidak benar, diharapkan Tan Sri Khalid akan lebih peka terhadap suara-suara yang kedengaran, bukan bertujuan untuk menjatuhkan tetapi lebih kepada penambahbai dan memantapkan lagi pentadbiran beliau di Selangor. Sekalipun dakwaan tersebut berasas, PKR masih memerlukan perkenan Ke Bawah DYMM Sultan Selangor. Selagi mana DYMM Sultan tidak berkenan, selagi itulah Tan Sri Khalid akan terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor sehinggalah ke suatu masa yang ditetapkan.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak SDE

No comments:

Post a Comment