Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

25 April 2011

Kasih Walaupun Kufur


Tersebutlah suatu kisah yang berlaku pada zaman Nabi Ibrahim alayhis-salam, telah datang seorang lelaki beragama Majusi ke rumah Nabi Ibrahim alayhis-salam untuk meminta sedikit pertolongan yang berupa makanan dan menumpang tidur semalaman di rumah baginda alayhis-salam.

Majusi adalah agama yang mana penganutnya menjadikan api sebagai tuhan dan ikon sembahannya.

Sebelum baginda alayhis-salam bersetuju untuk membantunya, baginda alayhis-salam bertanya terlebih dahulu: "Apakah agama yang engkau anuti sekarang ini, wahai lelaki?"

Lelaki beragama Majusi itu menjawab: "Aku menganut agama Majusi."

Apabila mendengar jawapan yang keluar daripada mulut lelaki tersebut, Nabi Ibrahim alayhis-salam enggan membantunya malah dihalau lelaki tersebut daripada rumahnya. Dengan hati yang hiba, lelaki Majusi tersebut beredar dengan hampa.

Selepas lelaki Majusi tersebut beredar, Nabi Ibrahim alayhis-salam menerima wahyu daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala: "Wahai Ibrahim, mengapa engkau tidak membantu lelaki Majusi yang sedang dalam kesusahan tadi? Engkau tidak membantunya hanya disebabkan dia beragama Majusi, sedangkan Aku telah memberi rezeki kepadanya 40 tahun lamanya walaupun dia tidak beriman kepada-Ku."

Setelah peringatan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala itu diterima oleh Nabi Ibrahim alayhis-salam, baginda bergegas mendapatkan semula lelaki Majusi yang tidak berapa jauh dari rumahnya lalu ditunaikan setiap permintaan lelaki Majusi terbabit.

Lelaki Majusi tercengang kehairanan melihat tingkah laku Nabi Ibrahim alayhis-salam.

"Eh, tadi, bukankah engkau menghalau aku, tetapi kenapa sekarang engkau mempelawa aku?"

Dengan tersenyum, Nabi Ibrahim alayhis-salam menjawab: "Tuhan aku telah menegur aku bahawa dengan kasih dan sayang-Nya selama 40 tahun, Dia tidak pernah lupa untuk memberi engkau rezeki walaupun engkau berterusan kufur dan tidak beriman kepada-Nya. Aku pula, baru dengar engkau berkata menganut agama Majusi, terus enggan menolong akan dikau sedangkan engkau benar-benar memerlukan pertolongan?"

Tersentuh hati lelaki Majusi tersebut. "Tuhan engkau ada kasih sayang, sedangkan tuhan aku langsung tak ada kasih sayang."

Lelaki Majusi itu kemudiannya menyatakan keimanannya kepada Allah dan mentauhidkan-Nya.

* * * KASIH SAYANG * * *

Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak pernah lupa untuk mengurniakan rezeki kepada ke sekelian makhluknya, baik yang beriman mahupun yang kufur. Kasih sayang Allah meliputi semua makhluk ciptaannya. Nikmat oksigen yang kita hirup setiap saat, kerdipan mata, jantung yang berdegup, sudah cukup menunjukkan kasih sayang-Nya serta tanda kebesarannya.

Namun begitu, mengapa masih ramai antara kita yang masih alpa untuk bersujud kepada-Nya?

Setiap hari, kita berterusan membuat dosa dan maksiat, dan setiap dosa dan maksiat yang kita lakukan, diselang-selikan dengan nikmat kurniaan Allah yang turun kepada kita. Tidakkah kita berasa malu untuk menggunakan setiap nikmat yang Dia berikan kepada kita tatkala kita enggan untuk mematuhi kehendaknya?

Kita menjadi lebih teruk jika kita mensia-siakan nikmat peluang berupa masa bertujuan untuk memberi peluang kepada kita untuk bertaubat sebelum tibanya azab pedih yang dijanjikan-Nya.

Beringatlah. Selagi nyawa belum ditarik, selagi itulah peluang yang Allah berikan. Allah menangguhkan untuk menyeksa kita yang berdosa semata-mata mahu memberi peluang agar kita bertaubat dan menghampirkan diri kepada-Nya.

Jangan kita sengaja 'mencurahkan air ke dalam sepinggan nasi agar ia menjadi bubur', tatkala itu kita akan derita 'kelaparan'.

Tinta mencoret: Jangan pula peluang berupa masa itu bertukar menjadi istidraj.
SRA Bandar Seri Putra Bangi SDE

1 comment: