Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

10 September 2011

Suruh Solat

Naqib bersedia untuk solat Zohor.


رأس الأمر الإسلام وعموده الصلاة
Kepala urusan kehidupan adalah Islam, dan tiangnya adalah solat.
HR Ibn Majah dan an-Nasa'ie dalam as-Sunan al-Kubra

Sesi petang persekolahan SRA Bandar Seri Putra bermula jam 2.30 petang. Sekolah ini tak seperti SRA Desa Putra, di mana kesemua murid-muridnya akan bersolat Zohor secara berjemaah sebelum masuk ke dalam kelas untuk memulakan pembelajaran.

Di sini, boleh dikatakan hampir separuh (anggaran mengikut mata kasar) murid-murid datang ke sekolah melepasi 2.20 petang, waktu di mana murid-murid berbaris di luar kelas untuk mengalunkan bacaan Asma-ul-Husna secara beramai-ramai sebelum mengaminkan bacaan doa yang kebiasaannya dibacakan oleh Ustaz Misnan ataupun pengawas yang bertugas.

Lebih malang lagi, ada yang tiba lewat, jam 3 petang. Sekiranya pelajaran pertama hanya 30 minit, maknanya, murid yang lewat tersebut sudah ketinggalan satu pelajaran yang diajar guru tersebut.

Saya kurang faham, mengapa sekolah yang terletak di bandar boleh berhadapan dengan krisis kelewatan murid seperti ini sedangkan SRA Desa Putra yang terletak di kawasan kampung tidak mengalami masalah sebegini?

Salah satu faktornya, ia disebabkan kedudukan sekolah kebangsaan yang jauh daripada sekolah agama, sekitar 1 kilometer jaraknya.

2.15 petang, lebih kurang 5 ke 7 orang murid sahaja yang memasuki kelas 4 Ibnu Rusyd, kadang-kadang tak sampai 5 orang.

Ada kelas lain, jam 2.20, hanya tiga orang sahaja yang berbaris di luar kelas.

Sedih...

Selain daripada kedudukan sekolah kebangsaan yang jauh daripada sekolah agama, kehadiran murid yang lambat ke sekolah juga berpunca daripada pemandu van dan bas sekolah yang lambat hantar mereka ke sekolah.

Alasan yang diberikan: "Banyak trip nak kena ambil."

Ke mana arahnya jari mahu ditudingkan?

Dalam hal ini, murid tidak boleh dipersalahkan, bukan mereka yang suka-suki mahu lambat hadir.

* * * HALAU KELUAR * * *

Sebelum memulakan pembelajaran di setiap kelas yang saya masuk, saya akan mengarahkan setiap murid yang masih belum bersolat Zohor untuk pergi bersolat terlebih dahulu, walaupun ketika itu, jam sudah menunjukkan 4.00 petang.

Sebab apa? Sebabnya, mereka langsung tidak mementingkan kewajipan solat, apatah lagi mengetahui kelebihan yang tersirat di sebalik kefarduannya.

Pernah juga ketika saya menyuruh mereka bersolat terlebih dahulu, murid yang tinggal di dalam kelas tidak sampai 10 orang. Dan muka-muka mereka yang tinggal ini terdiri daripada murid yang memberikan perhatian di dalam kelas.

Yang malas-malas, yang kurang prestasi dalam ujian, kebanyakkannya tidak mendirikan solat Zohor.

Setiap hari saya mengarahkan mereka untuk turun ke surau untuk solat.

* * * SOLAT * * *

Khamis lepas (8 September), ketika saya turun daripada kelas 4 Ibnu Bathutah untuk mengambil buku yang tertinggal di dalam kereta, saya memerhatikan, segolongan murid tahun 4, kebanyakkannya daripada kelas 4 al-Razi, kelas terakhir, sedang berledar-ledar di hadapan surau.

Pada mulanya, saya ingat mereka bermain-main, sengaja tidak mahu masuk ke dalam kelas. Tetapi selepas ditanya, mereka mahu menunaikan solat sebelum naik ke dalam kelas.

Alamak! Naqib malulah nak bergambarlah...
Alhamdulillah. Tindakan yang saya ambil sebelum ini nampaknya membuahkan hasil. Kebetulan, hari tersebut (Khamis), saya langsung tidak mengajar 4 al-Razi. Sangkaan saya mereka hanya akan bersolat hanya pada hari yang saya masuk mengajar ke kelas mereka sahaja, tetapi berdasarkan apa yang saya perhati, mereka berubah untuk bersolat, bukan hanya kerana takutkan saya, harap-harap mereka melaksanakan solat tersebut kerana kemahuan mereka sendiri.

Tahniah.

Benarlah kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya...

Tinta mencoret: Kejayaan Mukmin itu bermula daripada solat mereka.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

1 comment: