Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

16 September 2011

Mereka Akan Mengambil PSRA


Terlewat sedikit sampai ke Desa Putra, semalam. SRA Desa Putra mengadakan solat hajat, mendoakan kejayaan anak-anak murid yang bakal menghadapi peperiksaan besar.

Tak sangka bila melihat bekas anak-anak murid sudah membesar, dan kini mereka bakal menduduki Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi.

Ketika saya tiba di SRA Desa Putra lewat senja semalam, sebahagian daripada mereka mengerumuni saya, bersalaman dengan seorang yang pernah menjadi guru mereka yang paling garang. Raut wajah masing-masing masih saya ingat, cuma nama sahaja yang saya lupa.

Akram, ketua kelas 5 Umar, masih saya ingat, cuma namanya sahaja yang saya lupa.

Zaim, seorang murid yang ceria dengan senyumannya, telatahnya juga masih dalam kenangan.

Fatini, penolong ketua kelas, seorang yang ramah dengan saya.

Ammar, walaupun kurang dari sudut pelajaran, tetapi rajin ke surau.

Najah, Iskandar, Abid, Akid, dan yang lain yang terlupa nama tetap diingati...

Yang dahulu rendah, kini sudah tinggi lampai.
Yang dahulu kecil, kini sudah 'sihat'.
Yang dahulu kebudak-budakan, kini sudah nampak keremajaan mereka.

Dan seorang murid yang akan saya cari jika ke SRA Desa Putra, Farhan.

Merekalah kumpulan anak murid saya yang pertama, periang dan aktif. Di sini juga saya bermula untuk mengenal hati budi manusia yang bergelar murid.

Selagi mereka menuntut di situ, selagi itulah saya masih merindui suasananya.

Majoriti mereka bukanlah murid yang pasif. Kenakalan mereka sememangnya menguji kesabaran.

Mereka boleh lesap, keluar dari kelas melalui pintu belakang ketika saya sedang mengajar, sehinggakan saya terpaksa mengarahkan agar pintu belakang ditutup.

Kata-kata mereka juga direct, tidak berlapik. Mereka berani mengeluarkan kata sidiran ketika saya mengajar.

Apabila bergurau, gurauan mereka kasar seolah-olah mereka tiada berhati perut, tetapi bila dimarah, mudah untuk bergelinangan air mata kekesalan.

Perangai mereka yang hyperactive itu sememangnya sukar diramal.

Walau bagaimanapun, kenakalan mereka yang memberikan stress itu tidak mampu untuk memadamkan kebaikan yang ada pada mereka.

Bila diberi peluang untuk bertanyakan soalan berkenaan pelajaran yang sedang dipelajari, mereka tanpa segan silu bertanyakan bermacam bentuk soalan sehinggakan akhirnya terkeluar daripada skop pelajaran yang sedang dipelajari. Terpaksa juga menyuruh mereka berjumpa secara personal untuk menjawab soalan tersebut.
Sebahagian daripada murid saya yang tetap dalam ingat.
Mereka berani mencuba setiap sesuatu latihan atau soalan yang diberikan. Mereka akur setiap arahan yang dikeluarkan. Mereka tidak culas untuk melangsaikan setiap denda yang dikenakan. Mereka ada kekuatan untuk terus belajar. Mereka 'menghormati' saya selaku guru mereka walaupun hati mereka berkata "TIDAK". Sebahagian daripada mereka tidak menyenangi banyak perkara yang saya laksanakan tetapi demi keberkatan ilmu, mereka akur.

Banyak perkara yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kehidupan saya ketika bersua dengan mereka.

Mereka sememangnya begitu special buat saya.

Berusahalah dengan lebih gigih, sesungguhnya guru-guru akan sentiasa mendoakan kejayaan anak murid walau ke mana sahaja mereka berada.

Cumanya, saya terlupa bawa kamera ketika ke sana...

Tinta mencoret: Semoga berjaya dalam PSRA.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment