Kegilaan terhadap gerakan dan majlis dakwah mutakhir ini sememangnya menunjukkan penyertaan yang begitu luar biasa khususnya anak muda. Lihatlah "Fenomena Ustaz Azhar" yang menjadi sambutan yang agak memberansangkan, pastinya lautan manusia akan menghadiri setiap program 'mega' yang disertai Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Perkembangan ini seharusnya melegakan kita kerana belia remaja kita semakin berjinak-jinak dengan medium dakwah yang digerakkan.
Fenomena gerakan dakwah ini membuatkan semua orang ingin dilihat sebagai orang yang 'alim, orang yang warak, dan orang yang taat kepada arahan agama.
Bagaimana mereka ini mahu dilihat sebagai seorang yang kononnya 'alim, warak, dan taat kepada agama? Senang sahaja, mereka akan meng-copy-paste setiap mesej 'dakwah' yang mereka terima SECARA BULAT-BULAT di semua medium penyebaran seperti Facebook, Twitter, SMS, MMS, blog, forum, dan sebagainya.
Ya, kerja dakwah itu wajib dilakukan oleh setiap orang Islam berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari perkara yang munkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung.
AQ: 3:104
Namun, penyebaran dakwah seharusnya disertakan dengan ilmu dan hujah, atau sekurang-kurangnya dirujuk kepada yang pakar terlebih dahulu agar setiap kandungannya benar dan betul.
Lebih dibimbangi, setiap daripada apa yang cuba disampaikan, mungkin benar pada isinya, tetapi boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat yang kurang pengetahuan agamanya.
Lebih teruk, si penulis asal 'mengugut' si penerima agar menyebarkan mesej 'dakwah' tersebut dengan pelbagai ugutan bersifat 'azab' dan menjanjikan pelbagai 'nikmat' sekiranya ia disebarkan.
Rentetan daripada entry yang saya terbitkan Oktober lepas, saya tergerak hati untuk berkongsi beberapa perkara berkenaan dengan mesej dakwah berangkai yang tidak keterlaluan boleh dikatakan sebagai satu bentuk syirik kepada Allah Subhanahu Wa Ta 'ala sekiranya kita mempercayai setiap 'ugutan' yang diberikan kepada si penghantar asal mesej tersebut.
Pelik, bagaimana si penulis asal tersebut berupaya membuat satu 'jaminan nikmat' dan 'bala bencana' dengan hanya berpaksikan kepada penyebaran tersebut? Adakah matlamat mereka menghalalkan apa yang mereka laksanakan?
Mengapakah kita dilarang untuk mempercayai mesej-mesej berangkai sebegini secara membuta-tuli?
Pertama, kita menganggap seolah-olah Islam masih belum sempurna. Mesej sebegini selalunya dilengkapi dengan amaran yang langsung tidak berasal daripada al-Quran dan as-Sunnah. Ia menggambarkan bahawa Islam itu cacat dan tidak sempurnya dan memerlukan satu sumber lain untuk melengkapkannya. Sedangkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sudah menyatakan bahawa Islam itu sudah sempurna sebelum Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam wafat melalui firman-Nya:
Pada hari ini telah Aku sempurnakan kepada kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, dan Aku telah redha Islam itu sebagai agama kamu.
AQ 5:3
Kedua, kita mengharamkan dan mewajibkan sesuatu yang tidak bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Siapakah kita dan si penulis asal untuk mewajibkan si penerima menyebarkannya dan mengharamkannya sekiranya mesej tersebut 'diperam'? Sebahagian daripada mesej tersebut menetapkan satu hukum baru, malah ditentukan pula jumlah yang tertentu untuk dihantar atau diforwardkan. Contohnya:
"Anda dikehendaki menyebarkan mesej ini kepada 20 orang yang anda kenali bla... bla... bla... jika tidak anda akan ditimpa musibah bla... bla... bla..."
Firman Allah Subhanahu Wa Ta 'ala dalam Surah an-Nahl dan asy-Syura:
Dan janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kalian secara dusta, "Ini halal, dan ini pula haram!" untuk membuat pembohongan dan pendustaan terhadap Allah . Sesungguhnya orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah tidak akan memperoleh keuntungan."
AQ 16:116
Apakah mereka mempunyai sembahan selain daripada Allah yang menetapkan aturan agama bagi mereka yang tidak diizinkan (dan juga tidak diredhai) oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab secara serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Ketiga, kita tidak mengenali siapakah penulis asal mesej tersebut. Bagaimanakah kita boleh menerima bulat-bulat tanpa usul periksa? Adakah penulisnya seorang yang arif dalam Islam atau seorang pendusta? Dalam Islam, setiap dakwaan itu memerlukan hujah, nas, dan dalil yang kukuh. Kepastian fakta adalah asas dalam menyebarkan maklumat atau 'menghukum' seseorang. Ini bertujuan mengelakkan sesuatu itu ditokok tambah atau dikurangi.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Sebaiknya, kita menilai terlebih dahulu kandungan mesej 'Islamik' yang bakal disebarkan. Sekiranya mesej tersebut luar daripada pengetahuan kita, seeloknya kita merujuk kepada yang mengetahui mengenainya terlebih dahulu. Dibimbangi sekiranya ia mengandungi perkara yang syubhah, atau pembohongan, dan lebih teruk membuatkan si penerima syirik kepada Allah tanpa sedar, kita juga menerima 'saham' berupa dosa dalam keinginan kita menyampaikan 'dakwah'.
والله تعالى أعلـى أعـلـم
Tinta mencoret: Bagus ada sifat mahu berdakwah, tapi cara kurang betul. Usaha lagi ye...
Bacaan lanjutan:
Tinta Imam Muda Asyraf
No comments:
Post a Comment