Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

09 July 2009

Peristiwa Agung Dalam Rejab

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلمَسۡجِدِ ٱلحَرَامِ إِلَى ٱلمَسۡجِدِ ٱلأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكنَا حَوۡلَهُو لِنُرِيَهۥو مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِير
Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad saw) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang mana diberkati sekitarnya (Masjidil Aqsa) dan untuk memperlihat tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
AQ 17:1

Bulan Rejab tiba lagi. Ketibaan bulan ini selalunya dikaitkan dengan kefardhuan solat fardhu lima waktu yang diwajibkan oleh Allah swt kepada umat Islam. Penurunan kefardhuan solat ini tidak dilakukan secara biasa di mana kefardhuannya diberikan Allah swt kepada Rasulullah saw secara direct tanpa perantara Malaikat Jibril as.

Mengikut sirah nabawiyyah, Rasulullah saw telah diisra'kan dari Kota Makkah ke Baitul Maqdis pada malam yang saya, disepakati oleh ijmak ulama', ia berlaku pada malam 27 Rejab dalam Tahun Kesedihan di mana isteri kesayangan baginda, Saidatina Khadijah binti Khuwaylid dan bapa saudara baginda, Abu Thalib meninggal dunia. Kedua-dua insan inilah yang banyak membantu baginda dalam menyebarkan dakwah walaupun Abu Thalib tidak memeluk agama Islam.

Kisah Isra' dan Mi'raj ini adalah kisah benar dan diriwayatkan dalam hadith-hadith yang mutawatir, mustahil akan berlakunya pembohongan melaluinya. Menurut aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, sesiapa yang menafikan peristiwa ini telah dihukumkan kafir. Betapa beratnya hukum yang dijatuhkan!

Sebelum baginda diisra'kan, dada baginda dibelah oleh malaikat dan hati baginda saw dicuci dengan air zamzam, dan kotoran hitam ('alaqah) di mana tempat waswas dibisikkan oleh syaitan dibuang. Kemudian hati baginda dicurahkan dengan hikmah, ilmu, dan iman. Setelah selesai proses pembedahan, haiwan dari syurga bernama Buraq didatangkan untuk ditunggangi baginda saw.

ISRA'


Sepanjang perjalanan baginda dalam peristiwa Isra', Rasulullah saw ditemani oleh Malaikat Jibril dan Israfil. Apabila tiba di beberapa tempat tertentu, baginda saw diarah oleh Malaikat Jibril supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat. Antara tempat berkenaan ialah:
1. Yathrib atau Madinah di mana tempat baginda akan berhijrah.
2. Bukit Thursina, tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah swt.
3. Baitul Laham, tempat Nabi Isa as dilahirkan.

Dalam perjalanan itu, baginda diperlihat akan peristiwa-perista pelik yang memberikan pengajaran buat umat kemudiannya. Antaranya:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Selepas dituai, hasil yang baru pula keluar semula seolah-olah bagai belum lagi dituai lagi. Hal ini berlaku berulang-ulang. Ia dijelaskan oleh Malaikat Jibril bahawa itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan lebih daripada itu.

2. Tempat yang berbau harum. Malaikat Jibril menjelaskan bahawa itulah bau kubur Masyitah, tukang sikat rambut anak Firaun bersama suami dan anak-anaknya termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah dan tidak mahu mengakui Firaun sebagai tuhan.

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan lagi. Demikian dilakukan berkali-kali. Malaikat Jibrail memberitahu Rasulullah saw bahawa itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud dan solat.

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Beritahu Malaikat Jibrail, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Malaikat Jibrail, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai pasangan yang sah.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Malaikat Jibril memberitahu bahawa itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu lalu memikulnya. Namun begitu dia tidak terdaya untuk memikulnya. Walaupun begitu, dia menambahkan lagi kayu yang lain dalam pikulannya. Kata Malaikat Jibril, itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih mahu menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Malaikat Jibril memberikan penjelasan kepada baginda saw bahawa itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu mengenai orang lain yang mana dia tidak melakukannya sebagaimana yang difitnahkan.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Malaikat Jibril, itulah orang yang memakan daging manusia, yakni mengumpat dan menjatuhkan maruah, mencela, dan menghina orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Jelas Malaikat Jibril, itulah orang yang takabbur atau bercakap besar, dan kemudiannua menyesal, tetapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah saw tidak memperdulikannya. Kata Malaikat Jibril, itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah saw berhenti. Rasulullah saw tidak menghiraukannya. Malaikat Jibril menjelaskan bahawa itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah saw untuk bertanyakan sesuatu. Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Rasulullah saw turun dari Buraq, haiwan tunggangannya setelah tibanya baginda di Masjid al-Aqsa. Baginda kemudiannya mengimamkan solat dua rakaat yang bermakmumkan para al-anbia' wal-mursalin.

Rasulullah saw kemudiannya terasa dahaga, lalu Malaikat Jibril datang membawa dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah saw memilih susu lalu diminumnya. Kata Malaikat Jibril kepada baginda bahawa baginda telag membuat pilhan yang betul. Jika arak yang dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


MI'RAJ


Baginda Rasulullah saw kemudiannya meneruskan perjalanan baginda bertemu Allah swt untuk menerima perintah kewajipan solat. Peristiwa ini dinamakan sebagai Mi'raj. Dalam perjalanan bertemu Allah swt, baginda saw melalui setiap ketujuh-tujuh lapisan langit dan bertemu para nabi di setiap lapisan langit tersebut.


Di lapisan langit pertama, baginda saw bertemu dengan Nabi Adam as. Di lapisan langit kedua, baginda bertemu Nabi Isa dan Nabi Yahya 'alayhimassalam. Di langit yang ketiga, baginda bertemu Nabi Yusuf as. Di langit yang seterusnya, baginda bertemu dengan Nabi Idris as. Di langit yang kelima, baginda bertemu Nabi Harun as. Di langit yang keenam, baginda bertemu dengan Nabi Musa as manakala di langit yang terakhir, baginda bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah as.


Kemudiannya baginda saw meneruskan perjalanan ke Sidratul Muntaha (betulkan saya sekiranya tersilap) untuk bertemu Allah swt tanpa ditemani Malaikat Jibril. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ketika baginda saw bertemu Allah rabbul jalil, baginda 'dihijabkan' di antaranya dengan Allah bagaikan tabir. Sekiranya baginda saw menyelak, maka baginda dapat melihat Allah swt. Tetapi baginda saw tidak menyelak 'tabir' tersebut dan menerimanya tanpa melihat zat Allah Yang Maha Pemurah itu. (Inilah yang saya belajar dahulu. Tidak pasti mana riwayat yang guru saya ambil.)


Sepertimana yang diketahui umum, jumlah solat yang difardhukan oleh Allah swt adalah 50 waktu. Rasulullah saw kemudiannya bertemu Nabi Musa as dan diminta untuk dikurangkan atas alasan umat Nabi Musa as yang gagah perkasa tidak mampu untuk menunaikannya. Saranan Nabi Musa as ini kemudiannya membuatkan baginda Rasulullah saw memohon kepada Allah swt agar dikurangkan sehingga baginda sendiri malu untuk mengurangkannya setelah turun-naik bertemu Allah swt. Dengan sifat Maha Pemurahnya Allah swt terhadap umat Nabi Muhammad saw, maka waktu solat fardhu yang disyariatkan buat umat akhir zaman hanyalah sebanyak lima waktu sahaja. Walaubagaimanapun, kebesaran, keutamaan, fadhilat, dan ganjaran yang disediakan Allah swt buat hamba-hamba-Nya yang menunaikannya adalah sama dengan solat 50 waktu yang pada awalnya disyariatkan.


Rasulullah saw pulang ke Kota Makkah pada malam yang sama baginda diisra'kan. Pada keesokkan paginya, penentang kuat Rasulullah saw ketika itu, Abu Jahal bertemu dengan baginda untuk meminta perkhabaran dari Tuhan yang baginda terima. Tanpa rasa ragu dan takut, baginda menceritakan peristiwa ajaib yang baginda lalui. Tidak cukup dengan itu, baginda menceritakan keadaan kabilah dagangan yang pulang ke Kota Makkah dan keadaan itu benar disaksikan sendiri oleh para sahabat dan penduduk Makkah. Abu Jahal geram dengan hujah dan mukjizat nabi yang mulia itu kemudiannya mengatakan "Haza sihrum mubin!" (Muhammad benar-benar seorang ahli sihir!).

Seperti apa yang saya jelaskan pada awal penulisan saya, peristiwa Isra' dan Mi'raj ini diriwayatkan secara mutawatir dan mustahil ia telah didustakan oleh sebahagian besar para sahabat yang mana ketika itu kebanyakkannya thiqah dan memeluk Islam dengan ikhlas tanpa rasa mahu merosakkannya.

وَلَقَدۡ رَءَاهُ نَزۡلَةً أُخۡرَىٰ عِندَ سِدۡرَةِ ٱلۡمُنتَهَىٰ عِندَهَا جَنَّةُ ٱلۡمَأۡوَىٰٓ إِذۡ يَغۡشَى ٱلسِّدۡرَةَ مَا يَغۡشَىٰ مَا زَاغَ ٱلۡبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ لَقَدۡ رَأَىٰ مِنۡ ءَايَـٰتِ رَبِّهِ ٱلۡكُبۡرَىٰٓ أَفَرَءَيۡتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلۡعُزَّىٰ وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ أَلَكُمُ ٱلذَّكَرُ وَلَهُ ٱلۡأُنثَىٰ تِلۡكَ إِذً۬ا قِسۡمَةٌ۬ ضِيزَىٰٓ إِنۡ هِىَ إِلَّآ أَسۡمَآءٌ۬ سَمَّيۡتُمُوهَآ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِہَا مِن سُلۡطَـٰنٍ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَمَا تَهۡوَى ٱلۡأَنفُسُ‌ۖ وَلَقَدۡ جَآءَهُم مِّن رَّبِّہِمُ ٱلۡهُدَىٰٓ أَمۡ لِلۡإِنسَـٰنِ مَا تَمَنَّىٰ فَلِلَّهِ ٱلۡأَخِرَةُ وَٱلۡأُولَىٰ
Maka sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril sekali lagi di Sidratul Muntaha di mana Syurga Makwa berada di sebelahnya. Baginda di sana dikelilingi oleh makhluk dari alam ghaib yang banyak. Penglihatannya dapat melihat apa yang ada di sana dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, Muhammad melihat tanda-tanda kebesaran Tuhannya. (Wahai kaum musyrik Makkah yang mendengar khabaran Isra' dan Mi'raj dari Muhammad), Adakah kamu masih lagi nampak al-Laat dan al-'Uzza serta Manat yang ketiga tarafnya itu sebagai tuhan-tuhan kamu? Patutkah kamu mengambil anak-anak lelaki yang kamu inginkan dan memberikannya anak-anak perempuan yang kamu benci? Sudah tentu ia suatu yang tidak adil. Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah berhala yang datuk nenek kamu namakannya. Allah swt tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang akan membenarkan tindakan kamu itu. Mereka yang melakukannya hanyalah menurut apa yang diinginkan gawa nafsunya semata-mata. Sedangkan telah datang petunjuk kepada mereka daripada Tuhan mereka. Adakah manusia tetap akan dapat mencapai segala yang dicita-citakan? (Tidak dengan jalan begitu!) Sedangkan Allahlah yang menguasai urusan akhirat dan juga sebelumnya (urusan dunia).
AQ 53:13-25

No comments:

Post a Comment