Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

31 July 2009

Next Election?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg_JJoZ_0YCVwOzrCcXbIN69_J40J47bCbZv8TxDmXV_0rLrsz1e1YnriZGWV_tZyn26qJropHakvspow_bIzPh2rQdjA3h4cJnHyDnxSS0JOmb8uYyKTm_ke0_AO6-Lo0fRtPJgorLfhZj/s320/adunpp.jpg

Dari Allah kita datang dan kepada-Nyalah kita kembali.

ADUN Permatang Pasir, YB Dato' Hj Mohd Hamdan bin Abd Rahman telah kembali ke rahmatullah. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara pada 6.30 pagi tadi. Jenazah beliau akan disemadikan di kampung halamannya di Permatang Pasir petang ini selepas solat Asar.

Al-Fatihah.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjfeeSRULfSjvm-6SDCQRPEezK8A6rS8SH7NzCL4GISrbflMrS2G5A93PAWFM1oJvNC58NLwiIWFel5Pm_DwXfiuN5xVFtengxMBRxNHhWbnIxnjg9zkoCvG0TQVxaRyORKxrweTkhyIJA/s320/alfatihah.jpg

Implikasi daripada kematian Allahyarham YB ini ialah akan adanya lagi satu pilihanraya kecil di Pulau Pinang. Adakah ini menjadi satu lagi 'liang lahad' kepada Barisan Nasional akibat daripada tindakannya yang menaikkan kadar tambang bas? Wallahu a'lam.

Berita
JENAZAH MOHD HAMDAN DIKEBUMIKAN SELEPAS ASAR

KUALA LUMPUR: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, akan dikebumikan di kampungnya di Permatang Pasir, Pulau Pinang selepas solat Asar petang ini.

Jenazahnya sudah dibawa keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 9.30 tadi dan dijangka tiba di rumahnya di Permatang Pasir, 2 petang ini.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir.

Turut menziarahi Allahyarham di IJN pagi tadi ialah Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang selama 14 tahun itu menjadi Adun Permatang Pasir selama tiga penggal mulai 1999 dan kini satu-satunya Adun Pas di Pulau Pinang.

DUN Permatang Pasir terletak di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, Bernama malaporkan, adik lelaki Allahyarham, Mohd Shukran berkata, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Khariah Ismail dan enam orang anak.

Katanya, beliau mendapat berita mengenai kematian abang sulung daripada 14 adik beradik itu pada kira-kira jam 7.15 pagi ini.

"Abang saya itu mengadu penat dan sakit dada dan dibawa oleh anaknya ke IJN untuk pemeriksaan dan rawatan. Beberapa tahun lalu, beliau pernah menjalani pembedahan jantung," katanya.

Menurutnya, isteri Allahyarham tidak menemani suaminya itu di IJN kerana tidak sihat.

Mohd Hamdan, yang berasal dari Kedah, baru sahaja menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk kira-kira tiga minggu lalu sempena hari lahir Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Allahyarham, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Wan Mohamad Saman, Sungai Korok Alor Setar dan lulus Senior Cambridge pada 1963.

Mohd Hamdan kemudiannya mengikuti pendidikan agama Islam di bawah naungan Majlis Agama Islam Kedah sehingga ke peringkat IV Thanawi pada 1965.

Allahyarham juga pernah mengikuti program intensif pentadbiran awam di Intan pada 1970 dan mendapat latihan pentadbiran umum di Kolej Pentadbiran dan Latihan Kastam di Melaka pada 1978.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru bahasa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah selama dua tahun mulai 1964 dan bekas pegawai tadbir negeri Kedah antara tahun 1966 dan 1977.

Beliau pernah bertugas sebagai pegawai tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dari tahun 1977 hingga 1983.

Allahyarham juga aktif dalam pergerakan belia dan pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia pada 1973 dan mewakili Pas Pulau Pinang sebagai Anggota Pemadam pada 1989 hingga 1999.

Sumber:
Berita Harian Online

Berita
KEMATIAN MOHD HAMDAN KEHILANGAN BESAR PADA PAS

PULAU PINANG, 31 Julai-Timbalan Pesuruhjaya I Pas Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman di sini sebagai satu kehilangan yang amat besar kepada parti itu.

Katanya Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin yang aktif memperjuangkan isu berkaitan pekerja, malahan mempunyai peribadi yang baik dan merendah diri.

Ketika dihubungi Bernama, Mujahid berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang telah lama bergiat dalam parti dan sangat fokus dalam tugasnya.

Mohd Hamdan, 63, wakil rakyat tunggal Pas di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 7.15 pagi ini selepas beberapa hari menjalani pemeriksaan dan rawatan di situ.

Jenazahnya dijangka tiba di Permatang Pasir pada 2 petang ini untuk dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir.

Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan beliau sebagai seorang ADUN yang selalu memperjuangkan prinsip yang tegas.

Katanya beliau mengenali Mohd Hamdan sebagai seorang yang sentiasa bercakap daripada segi prinsip dan berbahas tanpa menyakiti hati mana-mana pihak.

"Saya sedih kerana kehilangan seorang kawan lama. Allahyarham pernah bertanding dua kali menentang saya di DUN Penaga (dan kalah) pada pilihan raya umum 1990 dan 1995 sebelum beralih ke Permatang Pasir," katanya.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, kematian Mohd Hamdan merupakan satu kehilangan bagi gabungan pembangkang di Pulau Pinang.

Zahrain, yang berada di Kuala Lumpur, bergegas ke IJN sebaik mendapat berita mengenai kematian itu pagi ini tetapi tidak sempat kerana jenazah telah dibawa pulang pada 10 pagi.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata Allahyarham turut membantu dalam perjuangan PKR.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi mempertahankan kerusi Permatang Pasir yang merupakan kubu kuat Pas.

"Lagi pun Mohd Hamdan ini adalah bekas Pesuruhjaya Pas negeri. Dia berada dalam parti lebih lama daripada saya, malahan ketika saya berada di dalam PAS dia sudah menjadi Pesuruhjaya PAS negeri itu.

"Jadi Allahyarham banyak korbankan perjuangan, masa dan harta demi perjuangan Islam," katanya.

Sumber:
Bernama

No comments:

Post a Comment