Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

01 August 2009

ISA: An Inhuman Act

http://i602.photobucket.com/albums/tt102/reset_edi/prisoner1.jpg

Tuan Yang Dipertua, di dalam mempersetujui Rang Undang-undang ini, Persatuan Islam Tanah Melayu memegang apa yang dicakapkan oleh Kerajaan bahawa dia tidak bertujuan hendak mencegah perkembangan politik yang sihat di dalam negeri ini. Sebab apa, Tuan Yang di-Pertua? Kerana kita memikirkan kepentingan keselamatan negara. Apa yang disyarahkan oleh orang-orang Persatuan Islam Tanah Melayu mudah sangat membawa kapada apa yang di-sebutkan di sini.

Dalam hal menentang terrorist (pengganas) ini, Tuan Yang Dipertua, kita tentulah tidak berapa risau sebab kategori atau jenis manusia yang disebutkan sebagai 'terrorist' adalah kurang orang yang mungkin dituduh. Maka apa yang ada dalam undang-undang ini yang menerangkan bahawa boleh kita maafkan, kalau pun ia itu terkeluar sedikit sesudah batas kebebasan hidup biasa. Sebab kita adalah berhadapan dengan 'terrorist'.

Walau bagaimana pun kalau ada kemungkinan kezaliman yang dapat dilakukan kepada orang yang kita rasa bukan dirinya penjahat maka patut dihindarkan dalam undang-undang atau yang menjalankan undang-undang ini.

Setelah saya menyebutkan dalam perkara ini tadi maka saya ingin mengemukakan kapada Tuan Yang Dipertua bahawa kami menyokong Rang Undang-undang ini demi kepentingan keselamatan negara, dan saya ulangkan peringatan yang diberi tadi bahawa sebarang salah guna di atas undang-undang ini akan mengakibatkan satu perkara yang sebaliknya.
Petikan terakhir kenyataan Prof Dr Zulkiflee Muhammad, Ahli Parlimen Bachok pada 21 Jun 1960 ketika membahaskan rang undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA

Sejak ISA diperkenalkan pada tahun 1960 dan setelah lalui pelbagai proses pindaan, namun ia masih tetap mengekalkan ciri utama iaitu tahan tanpa bicara dan pemberian kuasa yang mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan, menghukum, melanjutkan atau membebaskan mangsa ISA. Contohnya dalam kes penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng pada September 2008. Beliau ditahan di bawah ISA kerana Menteri Dalam Negeri ingin menjaga keselamatan beliau. Begitu juga dengan kes Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok yang diselubungi misteri akan sebab musabab mereka ditahan ISA. Aktivis reformasi ditahan pada tahun 2001 dengan tuduhan yang sangat berat iaitu mahu menggulingkan kerajaan melalui kekerasan dengan menggunakan bahan letupan, molotov cocktail dan pelancar roket! Sehingga ke hari ini, bukti tersebut tidak pernah dikemukakan.

Tahanan ISA terpaksa melalui proses penyiasatan polis yang tidak berperikemanusiaan! 60 hari pertama sahaja, ada antara mereka mendakwa dibogelkan, dipukul dengan objek keran, diberi makanan yang sudah basi, dan sebagainya. Ini terbukti dengan kemenangan kes perbicaraan saman Malek Hussin yang mana beliau telah ditahan di bawah akta yang zalim ini!

Proses penyiasatan yang digelarkan oleh Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara sebagai satu proses pemulihan diteruskan dan tahanan dipindahkan ke Kem Tahanan Kamunting. Di sana, tahanan terus diseksa. Contohnya bekas tahanan ISA, Sanjeev Kumar yang ditahan awal 2008 telah lumpuh beberapa bulan beliau disumbatkan ke Kem Tahanan Kamunting. Mereka ditahan tanpa pernah diberikan keadilan buat mereka! Dr Abdullah Daud, seorang bekas pensyarah di sebuah universiti yang ditahan sejak Disember 2001 masih belum dibebaskan. Bagaimanakah nasib anak bininya?

Apakah membelasah tahanan separuh mati dan memenjarakan mereka sehingga bertahun-tahun lamanya tanpa perbicaraan dan tanpa bukti termasuk dalam pendekatan pemulihan akhlak seperti yang didakwa Tan Sri Ismail Omar? Apakah menyoal siasat mereka selama berhari-hari tanpa tidur yang mencukupi sebahagian daripada pemulihan? Apakah mendesak mereka membuat kenyataan dan pengakuan palsu juga kaedah pemulihan akhlak? Adakah membelasah mereka sehingga lumpur dapat memulihkan akhlak? Apakah memisahkan isteri dan anak-anak dari mereka serta memecahbelahkan rumah tangga termasuk dalam tafsir pemulihan akhlak? Apakah kemasukan anak-anak mereka ke dalam wad psikiatri akibat sakit jiwa bukan satu penganiayaan? Apakah ini juga sebahagian daripada pendekatan pemulihan akhlak? Sila nafikan jika perkara ini semua tidak berlaku di bawah ISA!

Kenyataan ini tidak lengkap jika tidak disertakan dengan pelbagai kisah kesukaran ibubapa, isteri dan anak-anak mangsa ISA. Isteri terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan bapa pada anak-anak. Selain terpaksa bekerja untuk mencari rezeki bagi keluarga, isteri terpaksa bermusafir beratus kilometer dari tempat kediaman mereka ke Kem Tahanan Kamunting untuk bertemu suami. Isteri juga menghadapi pelbagai gangguan mental dan fizikal daripada polis cawangan khas (Special Branch) yang dibayar khas untuk memastikan mangsa ISA dan keluarga mereka akan berdiam diri dan menyembunyikan segala pengalaman buruk mereka sebagai mangsa ISA.

Terdapat empat orang tahanan ISA yang telah bercerai dengan isteri masing-masing ketika mereka masih dalam tahanan. Bukan setakat perceraian, ada anak-anak tahanan ISA yang telah disahkan menghadapi masalah mental dan masih mendapatkan rawatan psikiatri disebabkan tidak mendapat bimbingan dan kasih sayang daripada seorang bapa dalam jangkamasa yang terlalu lama!

Berdasarkan fakta di atas, penggunaan ISA lebih banyak mendatangkan mudarat dan penyeksaan kepada orang yang dijadikan mangsanya berbandingkan dengan propaganda bahawa akta itu adalah untuk tujuan pencegahan dan pemulihan semata-mata. Tan Sri Ismail Omar perlu menyemak faktanya. ISA bersifat SANGAT ZALIM dan KEJAM! Kepentingan rakyat dan negara amat penting dijaga tetapi bukan dengan jalan menyeksa, menganiaya dan mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara. Langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan ketelusan.

Wahai kerajaan, sekiranya benar apa yang dilaungkan selama ini:
Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan

Masa inilah sesuai untuk dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang jelas bertentangan dengan Islam kerana kezalimannya. Apa bezanya penyeksaan sebegini dengan penyeksaan yang dilakukan oleh tentera Amerika dan Britain ketika menjajah bumi Afghanistan dan Iraq serta layanan terhadap tahanan Guantanamo? Mereka dibogelkan, diseksa, dan pelbagai bentuk penyeksaan yang melanggar norma-norma kemanusiaan.

Sekiranya kerajaan masih berdegil mengekalkan akta yang ZALIM ini, eloklah mereka menggunakan tagline ini:
Menindas rakyat didahulukan
Pencapaian kuasa mutlak diutamakan

Sebagai orang Islam, kita diingatkan akan ayat-ayat Qur’an:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمــنــت إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
AQ 4:58


والله أعلم بالصواب

isa-challenge

Bandar Bukit Mahkota

No comments:

Post a Comment