Sejak Pilihanraya Umum ke-13 8 Mac 2008, negara kita bagaikan dilanda satu fenomena 'berpilihanraya'. Bermula dari satu pilhanraya kecil ke pilihanraya kecil yang seterusnya, rakyat Malaysia bagaikan tidak henti-henti menghadapinya.
Bermula dengan perletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi memberi laluan buat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda '16 September'nya yang bermatlamatkan untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara melalui 'pembelotan' 30 orang BN Backbenchers. Agenda ini tidak lain hanyalah satu mainan politik semata-mata, tiada apapun yang menjadi realiti. Setelah berjaya memenangi kerusi Permatang Pauh, Anwar terus dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Negara.
Pesta pilihanraya bagaikan tidak terhenti apabila Timbalan Menteri Pelajaran merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail meninggal dunia ketika bermain badminton. Pilihanraya seterusnya diadakan pada awal tahun 2009 di mana calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas di tangan ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endot yang juga Bendahari PAS Negeri.
Kejayaan ADUN Wakaf Mempelam merampas kerusi Parlimen daripada genggaman BN merupakan satu-satunya kejayaan manis Pakatan Rakyat daripada kesemua pilihanraya kecil yang diadakan sejak Mac 2008.
Setelah penat berkempen di Kuala Terengganu, jentera parti-parti politik kemudiannya berhadapan dengan 3 pilihanraya kecil yang diadakan serentak bagi 3 kerusi, kerusi Parlimen Bukit Gantang, kerusi DUN Bukit Selambau, dan kerusi DUN Batang Ai.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong kerana kematian Ahli Parlimen PAS, Roslan Shaharum akibat serangan jantung pada 9 Februari. Kerusi DUN Bukit Selambau pula kosong akibat perletakkan jawatan wakil rakyat PKR, V. Arumugam yang mendakwa menerima banyak ugutan sepanjang menjadi ADUN, juga pada 9 Februari. Pembantu Menteri Sukan Sarawak, Datuk Dublin Unting kemudiannya meninggal dunia pada 24 Februari akibat strok, lalu terkosonglah kerusi DUN Batang Ai yang disandangnya.
Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang yang terletak di Perak berkebetulan seiringan dengan Krisis Perlembagaan Perak yang berlaku ketika itu dengan pengisytiharan 2 orang ADUN dari PKR dan seorang dari DAP yang keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan menjadi wakil rakyat bebas yang 'menyokong BN' (sungguh aneh kenyataan ini). Ramai politician dan penganalisis politik berpendapat bahawa Pilihanraya Kecil di Bukit Gantang ini menjadi ukuran terhadap sokongan rakyat Perak terhadap Kerajaan Barisan Nasional Perak yang ditegakkan atas dasar mengkhianati hasrat dan pilihan majoriti rakyat Perak itu sendiri. Undi terhadap calon PAS di Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Besar kesepuluh yang digulingkan oleh BN meningkat hampir 2000 undi. Kempen BN ketika itu, "Memohon Restu Rakyat" bagaikan tidak direstui pengundi-pengundi di Bukit Gantang dan rampasan kuasa itu ibarat tidak mendapat 'berkat' rakyat. Wallahu a'lam.
Tiga pilihanraya ini tidak langsung merubah kedudukan Ahli Parlimen dan DUN yang terlibat.
Pilihanraya Kecil di Penanti dan Manek Urai menyusul kemudiannya. Kedua-duanya dimenangi oleh parti yang menyandangnya, PKR dan PAS.
Di Manek Urai, di mana ia dibawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui agensi KESEDAR dikatakan berjaya memberikan suntikan moral kepada penyokong BN kerana berjaya mengurangkan jumlah undi PAS yang banyak dan hampir berjaya menawan kerusi DUN tersebut. Ini membuatkan Tan Sri Muhyidin terharu kerana pertama kali diucapkan 'tahniah' kerana kalah pilihanraya. Pada saya, sebahagian besar pengundi di Manek Urai memiliki akal yang panjang. Mengapa saya berkata demikian? Lihatlah sendiri janji yang ditabur UMNO, sekiranya mereka menang pilihanraya ini, akan dibina satu jambatan menggantikan jambatan usang lama pada keesokkan harinya. Jika diundi PAS, pastinya mereka tidak dapat jambatan tersebut. So, apa salahnya diundinya calon UMNO, Tuan Aziz Tuan Mat yang juga merupakan bekas (kalau tak silap saya) pegawai KESEDAR di mana beliau selalu bersama penduduk Manek Urai (maklumlah, Manek Urai di bawah seliaan KESEDAR) daripada mengundi calon PAS, seorang pemborong ikan. Apa yang ada pada seorang pemborong ikan berbanding seorang pegawai KESEDAR yang memiliki taraf pendidikan yang tinggi (inilah kempen yang dijalankan oleh UMNO yang mana menyerang peribadi calon lawannya).
Yang terbaru, Pilihanraya Kecil Permatang Pasir di Permatang Pauh. Permatang Pauh menyaksikan tiga pilihanraya kecil sejak Mac 2008 bermula dengan PRK Permatang Pauh diikuti PRK Penanti dan yang akan menyusul PRK Permatang Pasir pada bulan Ramadan ini.
Selamat berpilihanrayalah kepada semua calon dan parti politik. Ingat tatasusila dalam berkempen. Adab-adab sebagai seorang Muslim hendaklah dipelihara, terutama ketika berpuasa di bulan Ramadan. Jangan ponteng puasa semata-mata kerana penat berkempen. Sekiranya itu yang berlaku, ingatlah bahawasanya Allah swt sesekali tidak akan meredhai mereka yang demikian dan pastinya azab seksa-Nya amatlah berat buat si pemonteng puasa.
Saya bukan seorang yang suka berpolitik, cuma ada segelintir yang mengatakan saya seperti itu. Saya cuma mengambil tahu hal ehwal politik dan perjalanan pentadbiran negara, itu sahaja. Mahu tidak mahu, aspek politik juga perlu dilihat dari perspektif yang neutral.
Sekiranya ada yang mengatakan Barisan Nasionallah yang layak memerintah, itu hak dia. Sekiranya ada yang mengatakan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR-DAP-PAS yang benar dan layak memerintah, itu juga hak dia. Sekiranya ada yang mengatakan jangan asyik sebuk berpolitik nanti lupa akan kebajikan rakyat, itu juga hak dia. Yang penting, tidak lupa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia, memilih wakil mereka yang benar-benar layak untuk duduk di kerusi. Mereka yang dipilih tidak semestinya mereka yang berpendidikan tinggi, tetapi mereka hendaklah memiliki pendidikan agama yang tinggi dan berpegang teguh dengannya serta tidak menggadaikan Islam (bukan menggadaikan Melayu). Setidak-tidaknya mereka yang cenderung kepada Islam, tidak semestinya hanya Muslim sahaja. Jika terdapat percanggahan wakil rakyat, mereka sepatutnya menggunakan pertimbangan akal yang waras yang berpandukan wahyu yang Allah swt turunkan.
Cumanya ada segelintir manusia yang menjatuhkan hukum kufur terhadap sistem demokrasi di Malaysia ini. Memang benar sistem demokrasi ini diadaptasi daripada sistem pentadbiran Barat yang mana rata-rata mereka berpegang kepada sistem kapitalis. Mereka sememangnya kufur kepada Allah swt. Tetapi adakah kita tidak boleh mengadaptasi apa-apa yang datang daripada mereka?
Sekiranya apa-apa yang berasal daripada kuffar Barat haram digunapakai, maka kita juga langsung tidak boleh bertapak di Malaysia. Mana tidaknya, kebanyakkan sistem di negara kita ini dasarnya adalah dasar Barat! Sekiranya kita terikat dengan perjanjian jual beli dengan pihak bank, dasar perjanjian itu adalah dasar daripada Barat, hanya yang Islamik pada nama dan sebahagian daripada pengamalannya. Sekiranya terdapat konflik, maka kita masih tertakluk kepada Common Law. Common Law inilah yang ditiru oleh kita daripada penjajah, British. Sekiranya begitu, bolehkah kita membuat 'pinjaman Islam' atau kaedah jualbeli? Secara kasarnya, TIDAK!.
Sebagaimana fatwa haram dikeluarkan oleh sesetengah puak dan pertubuhan terhadap demokrasi, begitu juga haramlah membeli kereta atau rumah dengan sistem jualbeli. Begitu juga dengan penggunaan wang kertas yang jelas bercanggahan dengan sistem dinar emas yang diamalkan ketika zaman hayat Baginda saw.
Akhirnya, mereka yang mengharamkan sistem demokrasi kuffar (pada mereka) turut menuduh UMNO sebagai sebuah parti sekular, asobiah, dan sebagainya (saya mungkin setuju dengan ini). PKR pula dituduh mereka sebagai parti sekular juga. MCA, MIC, dan DAP (serta parti yang lebih kurang dengan mereka) sebagai parti kuffur (ini saya setuju melalui dasar yang mereka gunakan).
PAS YANG BERGELUMANG DENGAN SEKULAR DAN KUFFAR
Apa pula pandangan mereka terhadap PARTI ISLAM SE-MALAYSIA, PAS?
Mereka berpandangan bahawa PAS sama sahaja dengan mereka. Mengapa? Sebab PAS berkomplot dengan mereka yang sekular dan kuffar. Penyertaan PAS ke dalam ruang lingkup politik tanah air tidak lain hanya untuk melukut di tepi gantang, tiada fungsi.
Mereka juga menuduh PAS Kedah kerana tidak mampu mengangkat pentadbiran Islam dan undang-undang Islam seperti hudud dan qisas (hanya ta'zir semata-mata walaupun ke atas jenayah hudud!). Pada saya, mereka ini jumud! Kerajaan PAS Kedah sebenarnya tiada kuasa untuk menguatkuasakan enakmen undang-undang hudud dan qisas kerana masih terikat dengan Perlembagaan Persekutuan di mana tiap-tiap hukuman dalam mana-mana enakmen dan ordinan hendaklah denda tidak melebihi RM 500 atau 6 bulan penjara. Lihatlah Kerajaan PAS Kelantan dan Kerajaan PAS Terengganu sebelum ini yang telah meluluskan enakmen hudud negeri di mana enakmen itu akhirnya dimuziumkan oleh Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dan ada juga kalangan munafik dan fasiq yang mahu menyaman Kerajaan PAS Terengganu kerana meluluskan enakmen tersebut!
Mereka menuduh PAS tidak mampu menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan arak kerana campurtangan parti-parti sekular dan kuffar ini (ini saya tak mahu ulas sebab pernah diutarakan sebelum ini, klik sini untuk ke artikel tersebut).
Kita ketepi dahulu halal-haram menyertai sistem demokrasi di Malaysia ini.
Kosongkan minda kita daripada fakta-fakta yang menyetujui atau menentang pengamalan sistem demokrasi ini.
Kali ini kita gunakan logik akal, apakah yang akan berlaku sekiranya tiada pihak khususnya pihak yang berdakwah tidak menyertai arus demokrasi 'kuffur' ini. Ia adalah menjadi satu kewajipan kepada kumpulan dakwah melalui jalur politik masa kini. Sekiranya dibiarkan, maka tiadalah walaupun satu tiang syariat yang dapat ditegakkan dalam dasar pentadbiran negara, hanya yang bersifat kosmetik semata-mata.
Sekiranya ada ulama yang benar-benar ikhlas berdakwah dalam jalur politik, maka mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menempatkan diri mereka ke dalam kumpulan penggubalan perlembagaan, undang-undang, dan dasar-dasar dan seterusnya menjadi majoriti dalam kumpulan tersebut kerana berdirinya kerajaan berasaskan demokrasi berdasarkan daripada keputusan dan sokongan majoriti. Akhirnya negara akan terus bergelumang dengan kemaksiatan hasil daripada kegagalan umat Islam itu sendiri menggunakan saluran yang 'agak selamat' untuk merubah dasar dan pentadbiran kerajaan sesebuah negara.
Zaman ini, mahu tidak mahu, kita terpaksa juga menerima palitan najis maksiat daripada 'Asi (عاصي) sama ada suka ataupun tidak. Adakah kita berdakwah apabila lalu di hadapan kedai nombor ekor? Adakah kita menjelaskan keharaman riba apabila berhampiran dengan mereka yang terlibat dengan transaksi tersebut? Adakah kita mampu mengarahkan pramugari Muslim agar mengenakan pakaian menutup aurat? Adakah kita berupaya meruntuhkan empayar ekonomi Barat dengan agenda 'boikot' kita yang penerimaannya agak suram? Adakah kita mampu menggertak dunia dengan idea Daulah Islamiyyah seperti yang dilaksanakan ketika zaman hayat Rasulullah saw dan Khulafa-ur-Rasyidin dahulu? Adakah kita mampu? Adakah kita...?
DAULAH ISLAMIYYAH ATAU MIMPI INDAH?
Saya menyokong penubuhan Daulah Islamiyyah seperti yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah saw di Madinah al-Munawwarah dan Khulafa-ur-Rasyidin dahulu. Cuma, kita kini masih terikat dengan sistem demokrasi yang mereka gelarkan sebagai 'kuffur' itu. Apa cara lagi selain penglibatan dalam kancah 'peperangan' demokrasi. Mahu mengangkat senjata untuk menegakkan 'Daulah Islamiyyah'? Lihatlah Islamifobia yang masih menyelubungi masyarakat antarabangsa dan kaitan Islam dengan keganasan. Bagaimana pula menggunakan propaganda 'angan-angan' untuk menegakkan 'Daulah Islamiyyah'? Adakah ia berjaya menggerakkan umat Islam negara ini dalam merubah sistem dengan menggantikan Perlembagaan Persekutuan kepada 'Perlembagaan Syariah Islamiyyah' yang menjadi teras Daulah Islamiyyah yang diidam-idamkan? Kedua-duanya tidak akan mampu merubah (melainkan dengan izin Allah, tetapi ia pasti mustahil pada akal manusia). Satu-satunya cara, kita terpaksa berhadapan dengan musuh di medan demokrasi, di situlah pergerakan dan pasukan dakwah akan berhadapan dengan serangan bertubi-tubi pihak yang mahu menggagalkan usaha memartabatkan syariat.
Bagaimana pula isu PAS berkomplot dengan parti sekular (PKR) dan parti kuffar (DAP)? Itu hanyalah taktik peperangan. Dalam peperangan, kita perlu menggunakan segala peluang yang ada (asalkan ia tidak berlaku zalim) demi mencapai kemenangan dengan memacakkan kibaran bendera syariat di atas puncaknya. Saya yakin, sekiranya PAS gagal mendaulatkan syariat setelah berjaya menawan puncak pemerintahan di Malaysia bersama-sama pakatan PKR-DAP, pastinya mereka akan keluar daripada pakatan tersebut (seperti apa yang pernah dijanjikan oleh kepimpinan ulama' sebelum ini ketika memutuskan untuk bersama-sama PR). Ingatlah, PAS adalah parti pembangkang terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia, bukannya PKR mahupun DAP. Kerajaan yang dibina atas pakatan PAS dengan PKR-DAP pastinya runtuh sekiranya PKR-DAP menghalang hasrat PAS untuk mendaulatkan undang-undang Islam.
Tugas kita, bersama-sama dengan mereka yang berdakwah dalam bidang politik ini, bukan menyalahkan mereka.
Politician berperanan dalam politik. Hakim berperanan dalam kehakiman. Aktivis kemasyarakatan berperanan dalam isu sosial dan kemasyarakatan. Polis dan tentera berperanan dalam pertahanan. Penulis berperanan dalam penulisan. Usahawan dan tokoh korporat berperanan dalam ekonomi dan muamalat. Masing-masing ada peranannya yang tersendiri. Yang penting, kita bertindak sesuai dengan kedudukan kita. Sekiranya ia langsung tidak mendatangkan hasil yang dicita-citakan, maka hendaklah kita bertukar posisi kepada kedudukan yang sepatutnya supaya kita mampu merai kejayaan mencapai matlamat.
Bukannya cok cek berderai-derai, tapi tiada hasil. Eloklah dikuburkan sahajalah idea 'Daulah Islamiyyah' yang langsung tiada visi dan misi. Dan hentikan jualah menyalahkan pihak lain sekiranya kita sendiri berpeluk tubuh tanpa tindakan.
والله أعلم بالصواب
Parcel 9, KUIS, Bandar Seri Putra, Bangi
No comments:
Post a Comment