Pilihanraya masih belum lagi reda. Ingatkan Manek Urailah yang terakhir, rupanya tidak. Permatang Pasir kemudiannya menyusul. Bukan mahu menghalang demokrasi, tetapi saya sendirilah tidak tahan membaca beribu perkataan beserta hamburan fitnah, caci maki, kutukan, dan tidak ketinggalan juga ada yang menggunakan bahasa kesat dan lucah.
Saya tidak tuding jari arah siapa, baik pihak Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, ataupun pihak yang berkecuali. Saya menuding jari ke arah mereka yang benar-benar melakukannya.
Bermula daripada fitnah, dan seterusnya kata-kata kesat dan lucah pula dikeluarkan.
Sudah kehabisan hujahkah sehinggakan terpaksa memaki hamun? Ada kalanya, mereka yang tidak terlibat, tidak bersalah terpaksa menerima akibatnya.
Melalui kata-kata dan penulisan inilah, pembaca dapat mengetahui sejauh manakah keperibadian diri kita. Jika selalu menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya, adalah boleh seseorang itu dikatakan baik moralnya, baik akhlaknya? Secara kasarnya, TIDAK. Adakah seseorang yang suka menabur fitnah itu amanah, adil? Secara kasarnya, TIDAK.
Jadi, di manakah kedudukan kita. Tidak kira sama ada kita orang awam, student, jemaah surau, imam, penghulu, ketua masyarakat, tokoh korporat, ahli politik, pemimpin negara, dan sebagainya, kita tetap tidak boleh bersikap seperti itu, tabur fitnah, berkata nista, menipu, mencarut, dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi jika kita menghina Islam. Saya sendiri tidak akan membiarkan apatah lagi menyokong mereka-mereka yang menghina Islam SECARA JELAS. Ini pendirian. Biarpun mereka itu nampak alim dan warak pada zahirnya. Bukan sekadar mereka yang non-Muslim, mereka yang Muslim juga saya akan 'cantas'.
Memang lumrah bagi non-Muslim itu menghina Islam. Yang peliknya, ada juga di kalangan yang mengaku Islam sanggup menggadaikan maruah Islam! Bukan sekadar tidak mahu menegakkan panji Islam, hukum Islam, akhlak Islam, kehidupan secara Islam, bahkan turut bertindak supaya mereka yang bukan Islam memandang serong terhadap Islam! Kita sendiri sengaja membiarkan mereka tidak memahami Islam yang sebenarnya. Apa yang mereka nampak, Islam itu terrorist, Islam itu memaksa, Islam itu menindas wanita, Islam itu ekstrimis, Islam itu menyekat hak, Islam itu menyekat kebebasan, Islam itu..., Islam ini... Kesannya, wajah Islam itu akhirnya bagai diconteng arang, gelap, dan tidak berseri dengan nur kesucian.
Jangan disalahkan mereka yang bukan Islam secara keseluruhannya jika mereka memijak Islam. Puncanya daripada diri kita sendiri.
Kita sepatutnya berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu. Sama ada ia manis bak madu atau pahit ditelan, pastikan ia adalah satu kebenaran. Menyampaikan sesuatu maklumat kepada umum hendaklah dilakukan dengan penuh adab, tatasusila, dan etika. Terdapat beberapa adab yang mesti dipatuhi dalam menyampaikan sesuatu maklumat.
Pertama, seseorang itu hendaklah ikhlas dalam menyampaikan apa juga bentuk maklumat. Ingat, jika kita bermula dengan niat yang buruk, ketahuilah bahawa Allah swt itu memerhati dan akan memberikan apa yang setimpal dengannya.
Kedua, jangan berkata nista atau berbohong. Jangan menyembunyikan fakta yang sebenar lalu mengungkap atau menukilkan sebarang andaian atau cereka yang penuh dengan dusta dan hasad. Walaupun niat 'ikhlas', tetapi jika berdusta, ia tetap menjadi kemurkaan Allah. Ingatlah! Mereka yang berdusta, secara 'logiknya' tempat akhirnya adalah neraka, na'uzubillah min zalik.
Ketiga, berbudi bahasa dalam bertutur atau berkarya. Ingat, kebenaran yang disulami kata-kata kesat, celupar, dan fitnah itu akan ternoda, pastinya ia akan ditolak si penerima.
Keempat, setiap penyampai berita, terutamanya kepada mereka yang berkarya sama ada melalui makalah, blog, atau seumpama dengannya, hendaklah bertanggungjawab atas tulisannya. Setiap tulisan yang bertanggungjawab mestilah diketahui siapa penulisnya.Penulis misteri hanya meletakkan tulisannya setaraf surat layang yang tidak memiliki kredebiliti untuk dipercayai dan diyakini.
Kelima, seperti yang saya katakan di atas, gaya pertuturan dan penulisan menggambarkan keperibadian seseorang.
Dewasa ini, ramai antara kita yang gemar menyebar luaskan berita-berita berisi fitnah. Ada juga dikalangan penabur fitnah ini tidak mempunyai matlamat khusus melainkan untuk mendapatkan habuan dan jawatan tanpa rasa ditemani Tuhan di sisinya. Mereka seolah-olah bebas berbuat apa sahaja tanpa memikirkan natijah atau risiko yang bakal mencetuskan kekacauan akibat keceluparannya. Mereka sendiri tidak peduli kadang-kala sahabat mereka sendiri remuk hati memendap perasaan angkara perbuatannya.
Mereka yang suka menyebarkan berita atau maklumat atau fakta, ingatlah! Asas yang perlu dipegang ialah tanggungjawab, tanggungjawab terhadap kata-kata atau tulisan yang disebarkan dan ia hendaklah bertunjangkan kebenaran berdasarkan fakta dan nas. Berjiwa besarlah agar kata-kata atau tulisan kita akan membentuk persepsi masyarakat terhadap apa jua isu yang kita bawa, jika tulisan yang kita paparkan adalah tulisan yang meyakinkan bukan menjengkelkan. Oleh itu, berkatalah perkara yang baik nescaya kita akan dapat natijah yang baik.
Walaupun begitu, bersabarlah! Terkadang yang benar itu akan diserang oleh musuh dan difitnah atau ditohmah kerana mereka tidak senang dengan kebenaran yang dibawa dan mereka cuba mengheret kita menjadi seperti mereka yang penuh dengan hasad, fitnah, kata-kata kesat, dan celupar serta sumpah seranah. Itu semua lumrah dunia.
والله أعلم بالصواب
Bandar Bukit Mahkota, Bangi
Bandar Bukit Mahkota, Bangi
No comments:
Post a Comment