Sudah 3 hari saya tidak ke mana-mana, hanya terperap di rumah, melayari laman maya yang semakin membosankan saban hari.
Kini menantikan hari esok (Selasa, 4 Disember 2012), rombongan 25 orang murid cemerlang PSRA ke Melaka, juga selepas itu, saya akan pulang ke kampung sebelah keluarga mak saya atas urusan keluarga.
Menantinya kunjungan hari esok, saya menyelak lembaran entry lama dalam blog CTB ini, saya tertarik dengan satu ayat yang pernah saya nukilkan:
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Setiap percaturan-Nya terselit seribu satu macam perkara. Yang paling utama, redha atas setiap ketetapan yang mungkin tidak kita sukai.
Ketika ini, saya masih lagi baru di SRA Bandar Seri Putra (SRABSP), selepas menyerahkan seluruh jiwa dan raga berkhidmat di SRA Desa Putra (SRADP).
Setiap kenangan dalam berbakti kepada anak murid di SRADP sememangnya tidak dapat dilupakan.
Selepas menerima surat daripada JAIS yang menempatkan saya di SRABSP, saya sedikit terkilan kerana tidak ditempatkan di sekolah sedia ada.
Setiap kali saya bertugas di tempat baru, kepala saya masih lagi terbayangkan bayangan tempat lama.
Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, saya ikhtiar untuk
mencari pelbagai 'penawar', pelbagai kaedah untuk membuatkan hati saya lekat di tempat baharu. Walaupun sukar, namun alhamdulillah, akhirnya Allah membantu saya dalam proses tersebut.
Bergambar dalam gambar. |
Selepas beberapa bulan, saya mampu menyesuaikan diri di tempat baru. Saya bertindak melaksanakan pelbagai perkara yang boleh meninggalkan kesan terhadap sekolah juga terhadap kepuasan diri.
Mereka design tag nama bagi Mesyuarat Agung PIBG Kali Kedua adalah tugasan khas yang pertama diamanahkan kepada saya. Seperti mana yang semua maklum, saya bukanlah seorang designer jauh sekali pakar komputer, namun amanah yang diberikan kepada saya ini dilihat sebagai satu penghormatan terhadap pengetahuan yang saya miliki walaupun pada hakikatnya tidak saya mempunyai asas dalam designing.
Dua draf rekaan terakhir stiker kenderaan yang diserahkan kepada pihak pentadbiran. Walau bagaimanapun, terdapat masalah teknikal yang menyebabkan ia tidak dapat dikeluarkan. |
Bermula dengan tugasan inilah, saya menetapkan hati untuk menghasilkan lebih banyak perkara untuk diabadikan dalam sejarah perjalanan sekolah.
Kemudian, saya diamanahkan untuk mengelola Facebook dan blog sekolah yang selama ini diuruskan oleh PIBG. Pada awalnya, saya menolak namun setelah pihak pentadbiran bersetuju dengan cadangan seorang ahli jawatankuasa PIBG yang akhirnya memberikan sebahagian tugas tersebut kepada saya.
Tugas-tugas berkaitan komputer kebanyakkannya diserahkan kepada saya, walaupun saya bukanlah seorang yang selayaknya memikul tugas berkenaan. Namun, ilmu yang sedikit ini dijadikan sandaran untuk saya diberikan tugas yang berkaitan dengannya. Saya menjadi rujukan tidak rasmi khususnya perkara berkaitan komputer termasuklah perkara-perkara yang saya tidak tahu langsung.
Di sini juga, saya diberi ruang yang terlalu besar untuk menghasilkan sesuatu idea dan cadangan, termasuklah penghasilan beberapa buah cerita pendek yang entah apa-apa ntah.
Saya berasa puas dengan setiap apa yang saya berikan walaupun tidak mendapat pulangan kebendaan. Kepuasan inilah yang menjadikan hati saya dapat meleraikan pautan terhadap tempat lama yang tidak langsung mengambil sedikit kelebihan yang ada pada diri saya untuk diserapkan di dalam pentadbiran dan perjalanan sekolah.
Meja saya di tempat lama yang tersusun, dikategorikan sebagai bersemak. Pelik... |
Memang benar, perancangan Allah itu sentiasa terbaik. Kita pastinya tidak menyukai apa yang berlaku, namun Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.
Kini, saya menerima dua tawaran; satu daripada SPA, baru lepas temuduga yang keputusannya akan diberitahu seawal Januari nanti; dan satu lagi tawaran kerja daripada seorang sahabat untuk bekerja di syarikatnya.
Saya masih menyayangi kerja yang saya lakukan kini. Namun, segala-galanya tertakluk kepada keadaan. Mudah-mudahan Allah membantuku untuk memilih yang mana lebih sesuai, dan yang paling penting, mampu menaikkan syiar Islam sama ada melalui tenaga, ilmu, ataupun harta.
Tinta mencoret: Kita mempunyai perancangan. Namun, sebaik-baik perancangan adalah perancangan yang dibuat oleh-Nya.
Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
No comments:
Post a Comment