Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

06 January 2013

Nur Hidayah Dan Amril

Kebiasaannya, setiap malam Ahad, saya menonton Cerekarama TV3 bersama mak dan abah kalau tidak ke mana-mana. Tapi malam tadi (Sabtu, 5 Januari 2013), saya menontonnya keseorangan sebab mereka balik kampung, tengok kebun yang baru nak gugur durian.

Lambatkan gugurnya. Tempat lain dah licin.

Cerekarama malam tadi bertajuk "Nur Hidayah", menceritakan berkenaan keluarga Amril, lakonan Pierre Andre yang kucar-kacir angkara bekas isteri pertamanya, Kamalia.

30 minit pertama saya tak sempat tengok sebab saya berada di luar.

Tak tahu macam mana dia boleh berjumpa dengan Nur Hidayah yang kemudiannya dijadikan isteri kedua. Tidak seperti Kamalia yang mata duitan, Nur Hidayah seorang yang baik dan warak (rasanya), sanggup setia bersama suaminya walaupun suaminya disahkan menghidap kanser kelamin yang membawa kepada kematiannya.

Perkahwinan Amril bersama Nur Hidayah ditentang ibu Amril walaupun bapanya bersetuju.

Ibu Amril telah dipengaruhi Kamalia agar memusuhi Nur Hidayah dan membuang anaknya sendiri. Kamalia berbuat demikian adalah untuk mengikis harta orang tua tersebut yang akhirnya menyebabkan ayah Amril meninggal dunia akibat sakit jantung manakala ibu Amril menjadi gila.

Cerekarama: Nur Hidayah.
Kamalia akhirnya ditahan di Amerika Syarikat atas tuduhan gubahan wang haram.

Kisah ini sebenarnya terlalu banyak berlaku dalam masyarakat kita. Mungkin juga berlaku dalam diri kita. Try check kot-kot ada. Kita seringkali menyangkakan bahawa wang ringgit dan harta mampu membeli segala-galanya termasuk kasih sayang dan kesetiaan. Memang benar dengan wang ringgit, kita boleh memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik, tetapi ia tidak mampu menjadikan segala-galanya sesempurna yang kita sangka.

Tidak dinafikan, semua ibu dan ayah mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Namun ini bukanlah tiket untuk mereka mengongkong anak-anak dengan memutuskan apa yang seharusnya anak-anak mereka lakukan. Ibu Amril terlalu mengawal keputusan anaknya sehinggakan kepada soal perkahwinan. Oleh sebab itu, ayah Amril merestui perkahwinan Amril tanpa memberitahu ibu Amril.

Kebanyakkan keluarga yang punah-ranah adalah berpunca daripada salah seorang daripada mereka yang bersikap pemutus tanpa mengajak ahli keluarga duduk semeja untuk berbincang. Ibu atau bapa menyangka bahawa agama telah memberikan mereka kuasa mutlak atau 'veto' dalam memutuskan semua perkara berkaitan anak-anak mereka.

Mereka juga menyangka bahawa ke'redha'an Allah tertakluk kepada redha mereka.

Tidak dinafikan bahawa Islam meletakkan ketaatan kepada kedua ibu bapa melebihi daripada berjihad fi sabilillah, namun itu bukanlah alasan untuk menjadikan anak-anak semacam hamba, perlu melaksanakan setiap keputusan mereka tanpa sedikit pun diberikan ruang untuk memilih.

Pemilihan berat sebelah hanya berdasarkan pemerhatian ibu bapa tanpa diberi ruang kepada si anak menentukan hala tuju kehidupannya tidak sepatutnya berlaku. Keadaan zaman kini yang semakin kompleks sebenarnya memerlukan perbincangan semua pihak yang berkenaan.

Walaupun kita berada pada kedudukan tertinggi sekalipun, Islam mengajarkan kita agar bermesyuarat untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Lihat dalam peristiwa Perang Khandaq, Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam sendiri bermesyuarat dengan para sahabat bagi mendapatkan buah pandangan bagi berhadapan dengan tentera Musyrikin Makkah.

Rasulullah sendiri berbincang. Takkan kita tak mau nak bincang. Cakap orang lain dengar, tapi permintaan anak sendiri dibakul-sampahkan.

Kita tidak boleh memutuskan semua perkara kerana kita tidak mengetahui segala-galanya. Apa yang terbaik, duduk berbincang. Jangan menggunakan wang ringgit dan ilmu sihir untuk kita terus tetap 'berkuasa' menentukan hala tuju keluarga kita.

Selepas membuat keputusan berdasarkan perbincangan, hasilnya kita serahkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta`ala agar keputusan tersebut adalah keputusan yang terbaik diputuskan.

Ulasan ini tiada kaitan dengan drama, dah lari isi. Huhuhu...

Keluarga 'bahagia'. Hehehe...
Tinta mencoret: Wang ringgit belum mampu membeli kebahagiaan.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

1 comment: