Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang mengadakan demo membantah yuran KUIS yang dikatakan mahal dua minggu sudah memecah tempurung kongkongan mahasiswa KUIS yang selama ini terkenal dengan sifat kurang mengambil tahu dan tidak berminat tehadap pelbagai program dan acara yang diadakan.
Ini kali pertama mahasiswa turun sendiri bersatu hati mendokong satu usaha yang pada saya boleh dianggap 'murni'. Yang kaya, yang mendapat potongan yuran pun turut sama-sama memberikan satu sokongan buat gerakan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai GMS.
Tahniahlah saya ucapkan. Melalui demo yang diadakan ini seharusnya kedua-dua pihak meneruskan perbincangan yang ilmiah dan mencari jalan yang terbaik untuk kebaikan masa depan mahasiswa yang dikatakan dibebani masalah kenaikan yuran yang melampau.
Pada saya, kedua-dua belah pihak mempunyai sebab yang kukuh untuk mempertahankan tindakan masing-masing dan tiada siapa patut dipersalahkan buat masa sekarang.
Nama pun institut pengajian tinggi swasta (IPTS), pastinya kadar yuran yang dikenakan tinggi. Itu sepatutnya tidak perlulah dibahaskan panjang lebar.
Seharusnya kita sebagai mahasiswa menyelidik terlebih dahulu pusat pengajian yang bakal dimasuki sebelum mengambil keputusan mendaftar sebagai warganya. Ini boleh mengelakkan daripada berlakunya apa-apa kesulitan yang bakal berlaku pada masa hadapan yang mungkin mampu menjejaskan kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Pemerhatian difokuskan kepada pelbagai aspek asas dan tambahan dan juga bandingan terhadap mana-mana IPTS yang setaraf dengannya. Aspek asas yang sepatutnya dilihat ialah kadar yuran, fokus pembelajaran, dan sebagainya. Kemudahan dan keselesaan tergolong dalam aspek tambahan dan sampingan juga perlu diperhatikan. Kaitkan kesemuanya dan kemudiannya buat bandingan dengan IPTS yang lain. Pihak pengurusan KUIS yang mengenekan kadar yuran yang tinggi pastinya mempunyai alasan yang tersendiri. Jumlah yuran yang dikatakan tinggi itu juga membantu mengindahkan lanskap KUIS yang terkenal dengan kehijauannya. Ini menarik perhatian daripada pemerhati dari luar dan pihak-pihak lain untuk menjadikan KUIS sebagai medan diskusi dan sebagainya sekaligus menambahkan nilai (value) KUIS dan mempromosi di mata Malaysia dan dunia.
Tindakan segelintir penyokong GMS (walaupun cuba dinafikan pihak atasan GMS) yang menuduh pensyarah KUIS 'memakan' duit haram haram hasil daripada yuran tinggi yang membebankan sepatutnya tidak kedengaran. Kedudukan pensyarah sebagai seorang mursyid sewajarnya dihormati dan tuduhan yang tidak berasas seperti itu tidak sepatutnya terpacul daripada mulut mahasiswa Islam. Islam menghormati warga pendidik dan menyanjung kerjaya ini. Pensyarah KUIS langsung tiada kaitan dengan urusan kenaikan jumlah yuran mahasiswa yang dikatakan 'membebankan'. Ketika saya semesta 3, Ustaz Imran, pensyarah Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam (kini dikenali sebagai Akademi Islam) KUIS memberitahu bahawa gaji pensyarah-pensyarah KUIS dibayar sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggunakan wang zakat negeri. Oleh itu, tiada timbulnya masalah pensyarah memakan duit haram daripada tindakan kenaikan kadar yuran. Ingatlah, sesungguhnya tindakan seperti ini boleh mengundang kepada tindakan pensyarah menarik redha mereka terhadap ilmu yang dicurahkan selama ini. Tanpa redha, tiadalah keberkatan dalam ilmu yang dipelajari.
Pandangan saya tidak hanya tertumpu kepada sebelah pihak sahaja.
Pemerhatian saya, kenaikan kadar yuran mahasiswa berpunca daripada pemajakan asrama baru atau lebih dikenali sebagai asrama BOT. Pihak yang berkenaan ini (yang mengambil pajakan) kemudiannya melantik Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) untuk menguruskan bangunan asrama BOT yang terdiri daripada 10 parcels asrama 11 tingkat dan sebuah pusat pelajar yang menempatkan First Cafe dan Dewan Bankuet. Sebelum diarahkan berpindah keseluruhannya ke asrama baru, mahasiswa sendiri telah merasai 'tekanan' yang dikenakan RRSB dengan harga makanan yang mahal di First Cafe. Saya sendiri pernah melakukan 'boikot' terhadap First Cafe dan usaha itu diteruskan tanpa henti sehingga kini. Saya juga turut mengajak rakan-rakan terdekat supaya turut memulaukan cafe tersebut walaupun hanya seorang dua. Pemilik KUIS iaitu MAIS sepatutnya tidak memajakkan asrama yang bakal dibina (kini telah siap) kepada pihak lain kerana tindakan ini akan menyebabkan yuran berkenaan dengan apa yang diuruskan itu akan melonjak. Sepatutnya MAIS selaku pemilik KUIS tidak memajakkan pembinaan asrama tersebut sebaliknya menggunakan wang kutipan zakat negeri Selangor yang dikatakan kutipannya tertinggi di Malaysia. Perancangan seperti ini pastinya akan membebankan pihak ketiga semata-mata memenuhkan kantung kroni sendiri.
Pengurusan yang tidak profesional daripada pihak pengurusan terutamanya Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) sebagai sebuah jabatan hal ehwal mahasiswa sepatutnya tidak berlaku. Bagaimana memorandum yang diserahkan oleh Presiden GMS kepada Rektor boleh sampai ke tangan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM)? Dimanakah amanah pihak yang berkenaan? Sepatutnya butiran memorandum GMS tidak bocor kepada tangan yang bukan berkaitan. MPM sepatutnya menjadi orang ketiga antara GMS dan pihak pengurusan KUIS supaya satu mekanisme terbaik dapat dicapat antara kedua-dua pihak yang bertelagah dan bukannya menjadi barua pihak pengurusan yang cuba menafikan hak-hak mahasiswa untuk bersuara. Penubuhan Gerakan Keadilan Mahasiswa (GKM) dilihat satu cubaan pihak MPM untuk mematahkan usaha GMS untuk menurunkan kadar yuran yang tinggi dan juga memperlihatkan MPM seakan-akan diperkuda oleh JPM dalam mempertahankan kepentingan mereka dan kroni masing-masing.
Dikatakan MUAFAKAT yang ditubuhkan oleh MPM semacam tiada sebarang hebahan terhadap sebarang tindakan dan resolusi yang tercapai antara mereka dan pihak pentadbiran. Penubuhan MUAFAKAT juga tidak diketahui sebahagian mahasiswa dan hanya diketahui selepas peristiwa 7 November. Himpunan Siswa (HIMSIS) yang terbaru ini juga seakan menjadi medan MPM dan pihak pengurusan untuk terus meracuni pemikiran segelintir mahasiswa supaya tidak menuntut penurunan kadar yuran. Ia seakan-akan cuba menyekat percanggahan pemikiran dan kebebasan bersuara mereka yang menongkah arus.
Jalan terbaik (pada saya), pihak pengurusan perlu membuat satu pertemuan perdana dengan mahasiswa KUIS untuk menerangkan sebab dan aliran wang yang dibayar secara telus supaya mahasiswa tahu ke mana halanya pelaburan yang dibuat.
Seksyen 3, Bandar Bukit Mahkota, Bangi
No comments:
Post a Comment