Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

24 March 2010

Islamnya Mereka Yang Berpendidikan Islam Part 3

Terlepas Part 2?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjLZRNB6C9vcp4AAXOdeq8iEd1M7Nsz6Pk082DzLJ-Jylh9G0XVZpGUMqI9NZ6czDoMesGw45M2od01SKc01fCGAEdCYi85Mh995OrjPSSRocsTAGgxkqJy4VSjuQluBHmDMzFR04aHU-Ay/s320/ulama_panutan.jpg
Pada tulisan saya yang lalu, saya menekan akan aspek ikhlas dalam menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ketika menuntut ilmu agama. Tanpa ikhlas, pastinya pembelajaran agama tidak akan sampai kepada matlamat asalnya, iaitu memberi petunjuk atau al-huda kepada sekelian manusia, bukan sekadar kepada yang mempelajarinya, bahkan ia mungkin boleh disebarluaskan kepada orang lain.

Sebelum saya meneruskan tulisan saya pada kali ini, teringat saya pada kegusaran baginda Rasulullah saw tentang satu perkara yang bahayanya lebih bahaya daripada al-Masih ad-Dajjal. Siapa dia yang baginda gusarkan itu? Siapa lagi kalau bukan ulama-us-suk (العلماء السوء - ulama yang jahat atau berniat jahat atau yang sama waktu dengannya).

Kegusaran baginda jelas kelihatan dewasa ini. Ramai ulama-us-suk ini muncul bak tumbuhnya cendawan selepas hujan. Mereka yang diberi title ulama atau ustaz atau tok guru atau apa-apa sahaja title yang seumpama dengannya oleh masyarakat secara automatiknya akan dihormati dan disanjungi (pada awalnyalah).

PENGANUGERAHAN TITLE

Penganugerahan title sebegini oleh masyarakat kepada segolongan manusia yang dikurniakan ilmu-ilmu ketauhidan (dan mungkin juga dikurniakan kepada mereka yang jahil tetapi buat-buat pandai) tetapi hati mereka tidak langsung memusatkan anugerah tersebut agar dapat menghampirkan diri kepada-Nya adalah satu perkara yang amat berbahaya (seperti mana sabda baginda saw). Masyarakat hanya melihat ketokohan mereka sedangkan dalam hati hanya Allah swt sahaja yang mengetahui hakikat yang sebenar.

Diulangi, penghormatan terhadap ulama yang memanipulasikan ilmu yang dikurniakan Allah swt seperti ini adalah satu tindakan yang sangat-sangat berbahaya. Ulama yang menggunakan ilmu hanya untuk kepentingan peribadi atau sekelompok sedangkan terdapatnya mereka yang sepatutnya diberikan hak dibiarkan tanpa pembelaan yang sewajarnya tidak dapat dikesan secara kasar dan mungkin tindakan mereka ini begitu licik kerana menggunakan nas-nas dan hujah-hujah daripada al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri. Saya sendiri mungkin terpedaya pada mulanya sekiranya mendengar hujah-hujah mereka yang kononnya berlandaskan daripada sumber utama Islam.

Kehadiran ulama-us-suk ini telah diramalkan oleh Rasulullah saw melalui wahyu daripada Allah swt dan ramalan yang diberikan baginda sepatutnya menjadikan kita supaya lebih berhati-hati dalam menapis ilmu-ilmu yang turun kepada kita lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan ini.

Kehidupan seorang ulama yang benar-benar menginfakkan diri mereka kepada jalan dakwah dapat dinilai melalui keseluruhan kehidupan mereka, bermula daripada bangun pagi sehinggalah dipenjamkan semula mata untuk menempuh hari yang berikutnya.

SIFAT ASAS ULAMA

Sifat-sifat seorang ulama sepatutnya terisi dengan kesemua sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat yang dipuji). Menurut Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali rahimahullah anh dalam kitab beliau, "Arbain Fi Usuliddin" menyenaraikan 10 sifat mahmudah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap mereka yang bergelar Muslim iaitu:
  1. Taubat
  2. Khauf (خوف - takut)
  3. Zuhud
  4. Sabar
  5. Syukur
  6. Ikhlas
  7. Tawakal
  8. Mahabbah (محبة - kasih sayang)
  9. Redha (ريضا - reda)
  10. Dzikrul Maut (ذكر الموت - mengingati mati)
Insya-Allah, saya akan huraikan secara ringkas tiap-tiap satu daripada sifat-sifat mahmudah ini pada masa yang akan datang.

Kehadiran ulama yang tidak menginfakkan diri ke jalan Allah sebenarnya mencalarkan wajah Islam. Mereka yang non-Muslim melihat ulama Islam sebagai satu ketua agama dalam institusi keagamaan dan setiap tingkah-laku mereka secara automatiknya dianggap sebagai bayangan Tuhan oleh mereka seperti mana mereka sendiri melihat ke arah paderi-paderi, sami-sami, dan tokoh keagamaan mereka. Umat Islam pula melihat ulama itu sebagai tempat rujukan terhadap segala permasalahan kehidupan dan menyandarkan seratus peratus taklid kepada ulama kerana kejahilan mereka. Mereka pastinya terkeliru sekiranya terdapat ulama yang mengeluarkan "fatwa" yang jelas bercanggahan dengan ulama yang lain meskipun perbezaan pendapat itu adalah sesuatu yang "agak biasa" dalam perbahasan ilmu Islam.

Jika perbezaan pendapat itu berlaku, maka kata-kata tuduhan liar, fitnah, dan segala macam kata-kata nista dan kotor dilemparkan oleh ulama-us-suk ini.

Itu ketika ulama-us-suk mengeluarkan "fatwa".

KEHIDUPAN

Jika dilihat dari sudut kehidupan pula, hidup ulama yang berada di landasan dakwah penuh dengan Qana'ah, penuh dengan kesederhanaan, penuh dengan reda terhadap kehidupan dan ketentuan Tuhan, penuh dengan kesyukuran. Mereka langsung tidak tertarik dengan segala macam tawaran dan sogokan untuk menggunakan agama demi kepentingan individu. Mereka menanamkan rasa khauf atau takutkan Allah swt sebagai Tuhan dan mereka juga bimbang sekiranya mereka menerima tawaran bersifat duniawi sedangkan perkara tersebut jelas haram kerana memanipulasikan agama atau untuk menghalalkan sesuatu yang jelas haram, keberkatan hidup mereka akan ditarik, ketengangan pula hilang, dan seterusnya yang paling mereka takut, keredhaan Allah swt yang didambakan itu tidak akan diperoleh. Kehidupan mereka hanyalah bersandarkan apa yang mereka ada.

Kehidupan seperti ini tidak terdapat terhadap kebanyakkan ulama-us-suk. Mereka menyapu semua peluang yang terbentang di depan mata. Yang haram mereka halalkan demi memenuhkan poket. Mereka langsung tidak menghiraukan apa yang sepatutnya mereka hiraukan. Dalam jalan dakwah pula, mereka memilih jalan yang agak senang sedangkan Tuhan telah janjikan jalan dakwah itu penuh dengan onak dan duri sebagai ujian buat hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Mereka lebih gemar duduk di atas kerusi empuk di dalam pejabatnya yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan siap dengan air-cond. Mereka goyang kaki sahaja. Apabila ada undangan untuk "berceramah", mereka memilih yang menawarkan bayaran yang tinggi. Apabila berucap, mereka bukan sekadar menafsirkan al-Quran dengan penafsirannya yang tersendiri atau memanipulasikannya, bahkan turut melemparkan kata-kata dusta dan nista. Na'uzubillahi min zalik.

Bersambung...

Taman Permata, Hulu Kelang

No comments:

Post a Comment