Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

08 July 2011

Denda


"Syahmi, penggunaan 'di' yang mana perlu dijarakkan, yang mana perlu dirapatkaan?"
"Errr..."                            "Di yang mana perlu dirapatkan?"
"..." (blur)
"Dicubit..." (sambil mencubit dipinggang)
"Adoi..."                "Kalau 'dicubit' (sambil cubitan dikuatkan sedikit), perbuatan tu berlaku dekat ke jauh?"
"Dekat, cikgu."
"Jadi, ejaan 'DICUBIT' perlu dieja dengan DE-KAT. Kalau 'di rumah'? Dekat tak rumah kamu dengan sekolah?"
"Jauh cikgu."            "Jadi, ejaan 'di rumah' kena eja dengan JA-UH. Faham?"
"Faham, cikgu."

SK Taman Permata
Lebih kurang begitulah dialog antara saya dengan Cikgu Zalina yang mengajar pelajaran Bahasa Melayu semasa kelas tambahan pada Disember 1999 di SK Taman Permata. Cikgu Zalina adalah guru kelas saya semasa saya darjah 6 Intan di SK Taman Permata pada 2000.

Cubitan Cikgu Zalina ketika itu membuatkan saya mampu mengingat isi pelajaran yang beliau sampaikan, perbezaan antara 'di' yang dirapatkan dan 'di' yang dijarakkan. Begitu juga dengan perbezaan antara 'dari' dan 'daripada', juga 'ke' dan 'kepada'.


Teringat juga saya pernah dipanggil Penyelia Petang ketika darjah empat, gara-gara 'membuli' kawan saya yang ketika itu (kalau tak silap) kalah bertaruh dengan saya. (Kawan-kawan, jangan diikut perangai buruk ni tau!)

Saya juga kerap didenda oleh cikgu bahasa Inggeris, Puan Santa Kumari yang ketika itu terkenal dengan panggilan Miss Santa. Berdiri di luar kelas adalah kebiasaan bagi saya ketika itu.

Kiranya, saya antara murid 'bermasalah' ketika saya bersekolah rendah dahulu.

Itu kisah berbelas tahun lampau.

Atas desakan saya sendiri, saya kemudian dihantar ke sekolah berasrama di Bangi.

* * * SEKOLAH MENENGAH * * *

Ketika di sekolah menengah, didikan 'ala-pondok' diperkenalkan oleh guru-guru saya. Boleh dikatakan kebanyakkan daripada kalangan guru-guru lelaki ketika itu adalah 'kaki pukul'. Lebih-lebih lagi ketika saya menjadi senior. Kami sebagai pelajar tidak dibenarkan melakukan kesalahan. Sekiranya ditangkap, kami akan 'dibelasah' cukup-cukup oleh kebanyakkan guru-guru lelaki di situ.

Guru lelaki yang mempunyai belas-ehsan hanyalah Cikgu Latif selaku Pengetua. Gayanya yang tawadhu' dan bersederhana dalam berhadapan dengan masalah yang kami sendiri timbulkan membuatkan kami memberikan penghormatan yang terlalu tinggi buat beliau. Beliau juga mampu menghafal nama-nama kami selaku senior walaupun tidak mengajar dan jarang pula bertemu dengan kami.

Sebab itulah kebanyakkan daripada kami especially batch awal sekolah membantah mana-mana individu yang sanggup merendah-rendahkan kredibiliti beliau sebagai Pengetua Sekolah!

Lihat sahajalah ketika beliau berhadapan dengan kecaman masyarakat akibat insiden yang berlaku ke atas Aqil dan Aizuddin ketika program orientasi pelajar tingkatan satu dahulu. Sebuah media massa ketika itu secara bias melaporkan kes tersebut dengan hanya memetik tuduhan yang dibuat oleh salah sebuah daripada bapa pelajar tersebut sedangkan pihak sekolah dinafikan hak memberi penjelasan kepada stesyen televisyen tersebut. Namun begitu, Cikgu Latif mampu menghulurkan sepuluh jari kepada bapa pelajar dan membuka pintu rundingan tatkala majoriti guru sudah sumpah-seranah dengan tindakan bapa pelajar yang bongkak itu.

Peribadi Cikgu Latif yang tersemat di hati kami, anak muridmu.

* * * BARAKAH * * *

Selain digertak dengan sifat guru yang garang, kami diasuh dan dididik supaya menerapkan unsur barakah ataupun berkat ke dalam kehidupan kami selaku pelajar sekolah agama.

Sekecil-kecil perkara sehingga ke masalah yang lebih besar, kami disuruh mengaitkan setiap permasalahan tersebut dengan keberkatan dalam menuntut ilmu. Kesalahan saya yang kecil, mungkin kecil pada pandangan saya ditegur Teacher Sharifah Suhaila selaku kaunselor sekolah dengan mengaitkan kesalahan maha kecil itu dengan keberkatan dalam pelajaran. Itulah teguran terakhir beliau selepas berpuluh kali teguran sebelum itu yang saya sendiri mengambil sikap acuh tak acuh, teguran terakhir yang merubah diri saya agar tidak lagi menjadikan kesalahan tersebut sebagai satu tabiat.

* * * TAHFIZ * * *

Lain pula halnya ketika saya menuntut dalam bidang tahfiz di sebuah institusi tahfiz di Selangor.

Setiap hari, saya disuruh untuk menghafaz sekurang-kurangnya dua muka surat di hadapan ustaz selaku pentasmi' bacaan saya. 

4 bulan pertama, prestasi hafazan saya agak teruk. Saya kemudiannya ditukarkan kepada seorang ustaz yang lebih dahsyat kegarangannya; Ustaz Imran. Hafazan saya kemudiannya meningkat akibat kegerunan memandang wajah beliau. Namun begitu, hafazan saya menjunam selepas tidak lagi ditempatkan dalam kelas beliau ketika tahun kedua pengajian.

Pernah saya didenda ketuk ketampi 180 kali dek kerana kemalasan saya untuk menyempurnakan tugasan Ustaz Imran agar menghafal ayat baru sebanyak 20 muka surat. Saya hanya mampu menghafal hanya 2 muka surat sahaja sepanjang tempoh seminggu yang diberikan.

Selama seminggu kaki kejang dan kesakitan akibat denda yang beliau berikan!

* * * PENGHORMATAN * * *

Walaupun begitu, tidak sekali-kali saya menyimpan dendam dengan semua guru-guru saya walaupun saya 'diperlakukan' dengan bermacam-macam bentuk dendaan dan deraan.

Saya tahu, tanpa mereka, saya tidak boleh menjadi manusia yang berguna, tidak mampu menjadi insan yang mengenal Penciptanya.

Bayangkan, sekiranya saya dididik oleh guru-guru yang berlemah-lembut, tidak langsung mengenakan denda yang agak 'dahsyat' kepada saya, agak-agaklah, apa yang akan berlaku pada saya? Mungkin jadi penyamun kot...

Saya amat menghormat guru-guru saya. Apapun tindakan yang mereka lakukan kepada saya, saya menerimanya dengan redha. Pendidikan yang saya terima terutamanya bermula dari alam sekolah menengah sehingga ke pengajian di peringkat tinggi bagaikan ada zuk ketika menuntut ilmu. Sebab itulah, kami menghormati guru-guru kami walaupun mereka  mempunyai pelbagai personaliti dan kekadang ia agak menjengkelkan!

Keadaan itu tidak lagi berlaku kini.

Gara-gara mendenda, ada guru dikecam hebat oleh ibu bapa. 

Ops... Denda tak dibenarkan ye.
Apalah nasib guru tu ek?

Tinta mencoret: Guru wajar dihormati walaupun mereka tidak pinta untuk dihormati.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
Bacaan tambahan: Ben Ashaari [UPDATE: 12 OGOS 2011]

No comments:

Post a Comment