"Ustaz, ustaz sokong Bersih tak?" "Bersih?
Kamu nampak tak saya 'bersih' sekarang nih.
Takkan saya nak pakai baju kotor pula..."
"Aaa... Ustaz sokong bersih ye..." (tak faham apa yang ustaznya cakap)
Pening kepala... Itu baru Solah, anak murid dari kelas 4 ar-Razi yang 'memerangkap' saya dengan soalan 'perangkap'. Banyak juga 'terjahan' berkaitan Bersih 2.0 daripada anak murid yang 'menerjah' ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.
Mahu tak mahu, terpaksalah saya mengelat untuk lari daripada menjawab persoalan yang dilontarkan mereka.
* * * INGAT-MENGINGATI * * *
Sesuatu perkara itu pastinya terdapat pro dan kontranya. Begitu juga dengan Bersih 2.0. Persoalannya, perlukah kita menyokong Bersih 2.0 ataupun menentangnya?
Sebelum saya melontarkan pendapat saya dengan lebih lanjut, mari kita sama-sama merenung firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam Surah al-Asr yang sering kita baca.
Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman, yang beramal soleh, yang berpesan dengan kebenaran, dan yang berpesan dengan kesabaran.
Allah mengingatkan bahawa sekiranya kita tidak beriman, tidak beramal dengan amalan yang soleh, dan tidak saling memperingati antara satu dengan yang lain, maka kita adalah manusia yang rugi serugi-ruginya.
Ingat-mengingati sesama kita adalah satu tuntutan selagi mana kita beriman dengan al-Quran dan mempercayai isi kandungnya,
"So, apa kena-mengenanya dengan Bersih 2.0?"
Tentu kita tidak dapat mengaitkan Bersih 2.0 dengan tindakan saling memperingati. Sebab apa? Sebabnya apa yang kita nampak, Bersih 2.0 adalah satu perhimpunan haram atau lebih sadis, demonstrasi haram. Bukan itu sahaja, apa yang tertanam dalam minda kita, Bersih 2.0 menimbulkan huru-hara, melumpuhkan pusat bandaraya, dan lebih parah lagi, Bersih 2.0 adalah mekanisme untuk MENJATUHKAN KERAJAAN!
Berminggu-minggu sebelum Bersih 2.0 berlangsung, kita 'dimomokkan' oleh media dengan pelbagai keburukkan berkenaan Bersih 2.0 tanpa ada timbal balas daripada pihak yang menganjurkannya. Kita digambarkan segala macam senjata dan bom dibawa masuk ke KL. Kita dikhabarkan bahawa cubaan untuk menggulingkan kerajaan. Kita diberitahu bahawa perhimpunan ini langsung tiada matlamat dan hanyalah membuang masa.
Terjadikah insiden kereta terbakar, kedai dipecah, ataupun trak FRU polis dibom oleh mereka yang berhimpun? Tergulingkah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib selepas lebih 2 jam peserta demonstrasi berhimpun di beberapa kawasan di ibu kota? Benarkan perhimpunan ini membuang masa tanpa sebarang matlamat yang jelas?
Hanya orang yang mendengar kenyataan sebelah pihak sahaja yang bersetuju 200 peratus dengan kenyataan di atas. Manakala mereka yang mendapatkan maklumat daripada kedua-dua belah pihak; baik daripada pihak Bersih 2.0 dan yang menyokong perhimpunan, mahupun daripada pihak kerajaan dan yang menentang perhimpunan, akan 'menghadam' maklumat-maklumat sebelum memilih sama ada menyokong ataupun tidak.
Itulah yang sepatutnya kita lakukan, mengambil maklumat daripada kesemua sumber sebelum membuat kesimpulan berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh selain daripada dipandu oleh iman.
Berbalik kepada perkara yang berkaitan dengan Surah al-Asr, Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengingatkan kita agar saling mengingati antara satu dengan yang lain. Mengingatkan tentang apa? Tentang kebenaran dan kesabaran. Jadi, ia bersesuaian dengan matlamat Bersih 2.0 yang membawa mesej untuk mengingatkan kerajaan yang memerintah agar berlaku adil dalam sistem pilihanraya. Adakah anda membaca lapan tuntutan Bersih 2.0?
Lapan tuntutan ini bukan sesuatu perkara yang tidak masuk akal. Semuanya bertujuan untuk menambahbaik sistem pilihanraya di negara kita agar ia berlangsung dengan lebih adil dan telus. Pengerusinya sendiri, Datuk Ambiga Sreenivasan adalah seorang peguam, pastinya beliau arif selok-belok perundangan di negara kita.
"Ambiga tu, dia tentang Islam! Dia sokong Lina Joy!
Kenapa pula kita perlu sokong penentang Islam?"
Banyak orang yang suka tukar topik bila berbicara berkenaan sesuatu perkara. Ya, saya tidak nafikan bahawa Ambiga menyokong Lina Joy menentang Perlembagaan untuk murtad beberapa tahun sudah. Tetapi itu tidak boleh menafikan setiap tindakan lain yang beliau usahakan. Kita sendiri tahu bahawa Ambiga sendiri bukanlah Islam dan mungkin beliau cetek dengan ajaran Islam itu sendiri. Tambahan pula, pihak kerajaan melalui lidah-lidah mereka gemar untuk memburuk-burukkan Islam dikhalayak orang bukan Islam selain menyuburkan program-program maksiat dan konsert yang merosakkan umat Islam. Apa yang kerajaan laksanakan, mereka akan menyangka, itu semua adalah amalan Islam...
Jadi, adakah kerana kejahilan Ambiga menyokong Lina Joy itu menghalang daripada kita menyokong beliau untuk melihat dan membaikpulih perjalanan pilihanraya lebih adil? Jawapan saya TIDAK.
Sekiranya kerajaan peka dengan lapan tuntutan Bersih 2.0, maknanya kerajaan sedia mendengar, mengkaji, dan menghalusi tuntutan tersebut. Dengan cara inilah, firman Allah yang menghendaki kita SALING MENGINGATI terlaksana dengan memberi dan menerima teguran tanpa sebarang prejudis antara satu dengan yang lain.
Dengan jawapan ini, tidak bermakna saya menyokong Bersih 2.0, cuma menyampah mainan politik parti pemerintah yang gemar berwayang...
Air Mawang, Johol NSDK
No comments:
Post a Comment