Islam agama rahmat. Ajarannya memandang tinggi setiap usaha untuk membina kehidupan yang lebih terurus, lebih selesa, lebih lebih harmoni, serta membela manusia yang dianggap perlukan perhatian daripada masyarakat.
Keindahan ajaran Islam terserlah dikebanyakkan negara-negara Barat dan negara bukan Islam yang mana saban tahun, berduyun-duyun manusia tertarik dengannya yang bersifat universal, tidak kurang juga yang mengambilnya sebagai agama anutannya.
Awal tahun ini, sebuah media dari Britain melaporkan bahawa lebih kurang 5,000 rakyat negara Union Jack itu memeluk Islam sepanjang 2010, 1,400 daripadanya adalah penduduk London. 4,000 daripadanya terdiri daripada rakyat Britain berkulit putih.
Tinjauan yang dibuat menunjukkan bahawa mereka yang memeluk Islam mengambil agama tersebut sebagai pegangan hidup disebabkan oleh budaya Barat yang agak 'kosong' daripada segi pengisiannya. Pengambilan alkohol, rendahnya adab dan moral, dan pengamalan seks bebas antara penyebab kepada penukaran agama.
Sebuah masjid dan gereja bersebelahan di Beirut, Lubnan. |
Jumlah ini dikatakan meningkat dengan mendadak dalam masa 10 tahun selepas peristiwa 9-11 di WTC, New York, Amerika Syarikat.
Laporan ini hanya di Britain, bagaimana pula di negara-negara Barat yang lain?
Mereka yang menganut Islam di negara Barat memilih Islam kerana ketenangan yang bakal mereka peroleh dengan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam Islam. Mereka sanggup untuk berhadapan dengan pelbagai onar, keluarga yang menentang, serta kecaman masyarakat semata-mata demi mendapatkan secebis pengisian jiwa mereka yang selama ini dirasakan kosong.
Keindahan Islam terserlah di tanah yang tidak mengamalkan Islam.
* * * NEGARA ISLAM * * *
Secara logik, sekiranya Islam itu mampu menarik ratusan ribu penganut agama lain untuk memeluk Islam, seharusnya di negara umat Islam sendiri, jumlah itu lebih besar, atau sekurang-kurangnya memperlihatkan kesyumulan Islam itu sendiri. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Keindahan Islam di negara umat Islam pudar kerana tindakan umat Islam itu sendiri.
Baru-baru ini, kita digemparkan dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah jamuan di Gereja Damansara Utama (Damansara Utama Methodist Cathedral - DUMC) atas aduan orang ramai kerana jamuan terbabit dihadiri oleh orang Islam. Selang sehari, akhbar arus perdana melaporkan bahawa terdapat umat Islam yang menerima bantuan kewangan daripada pihak gereja akibat daripada kesempitan hidup yang mereka alami.
Tidak dapat dipastikan mengapa ada orang Islam yang menghadiri jamuan tersebut. Tetapi kita boleh membuat andaian bahawa mereka hadir disebabkan mereka mendapat bantuan daripada pihak gereja DAN mungkin juga jamuan tersebut bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membantu sesiapa yang memerlukan; dan golongan yang menerima bantuan ini secara lazimnya MESTI hadir sebagai tanda penerimaan bantuan tersebut.
Kekecohan isu serbuan ini akhirnya menjadi perbualan hangat sehingga turut dibincangkan dari sisi politik.
Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat al-Fadhil Ustaz Wan Ji berkenaan isu ini. Isu ini sepatutnya dilihat secara lebih terbuka, bukan sekadar pada serbuan yang dibuat semata-mata.
Kita gemar menuding jari ke arah orang lain sekiranya berlaku sebarang perkara walhal dalam pada masa yang sama, kita tidak pernah bermuhasabah, adakah perkara yang terjadi itu benar-benar luar daripada apa yang kita ketahui?
Media banyak melaporkan bahawa terdapat segelintir umat Islam di negara kita yang dinafikan hak mereka mendapatkan bantuan zakat gara-gara karenah birokrasi jabatan agama yang berkaitan. Jika mendapat bantuan sekalipun, bantuan tersebut tidak setimpal, sekadar ratusan ringgit sahaja sedangkan hakikatnya mereka memerlukan lebih daripada itu untuk meneruskan kehidupan.
Saban tahun, pihak zakat mengeluarkan laporan kutipan zakat mereka mencecah puluhan juta ringgit malah ratusan juta di negeri yang kaya. Di Selangor sahaja, kutipan zakat mencecah RM 336.8 juta pada tahun lepas. Itu baru kutipan zakat, bagaimana pula aset dan pelaburan yang dibuat atas nama pihak zakat atau baitulmal yang menggunakan dana zakat? Di mana keuntungannya dilaburkan?
Tahun ini, negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-54. Seharusnya, biah solehah (suasana yang Islami) sudah diterapkan dalam masyarakat Islam di sini, atau sekurang-kurangnya lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang Islam mengamalkan kehidupan yang digariskan syarak. Namun begitu, akibat daripada kerakusan kita untuk mendapatkan kuasa, pangkat, dan harta, kita sangguh ketepikan segala-galanya.
Dalam isu penerimaan bantuan oleh golongan kurang berkemampuan daripada pihak gereja ini, punca sebenar bukan pada mereka yang menerima bantuan, bukan pada pihak gereja yang memberi sumbangan, tetapi faktor utama berlakunya penerimaan tersebut adalah disebabkan kita sendiri; kerajaan, jabatan agama, masyarakat, malah kita selaku individu Muslim.
* * * 'UMAR IBN ABD AL-AZIZ * * *
'Umar ibn Abd al-Aziz |
Menurut sejarah, selepas baginda mengambil alih tampuk pemerintahan, kutipan zakat berjaya diagihkan kepada golongan yang memerlukan sehingga suatu masa dalam pemerintahannya, tiada siapa yang boleh lagi menerima zakat kerana bukan lagi menjadi fakir dan miskin. Harta zakat ketika itu mencari orang yang boleh menerima zakat, bukan orang yang menerima zakat mencari orang yang mengeluarkannya.
Kejayaan Umar ibn Abdul Aziz hanya dalam lingkungan 2 ½ tahun, bandingkan dengan kita; UMNO berkuasa sejak merdeka, hampir 54 tahun; Najib mentadbir Malaysia sejak 2009, dua tahun; Tan Sri Khalid bersama Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008, tiga tahun. Adakah kehidupan kita bertambah baik atau sebaliknya?
والله أعلم بالصواب
Tinta mencoret: Kita suka menuding jari telunjuk, sedangkan jari yang lain 'mengatakan' kitalah yang salah.
Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
Bacaan lanjut:
No comments:
Post a Comment