History is written by the winners.
Begitulah lumrah kehidupan. Sesiapa yang kuat, sesiapa yang berkuasa, pastinya merekalah yang mengatur segala-galanya. Dan kebanyakkan mereka pasti bertindak bagi memastikan cengkaman penguasaan mereka benar-benar kukuh.
Sebelum itu, saya mengucapkan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432H. Kalau boleh, biarlah Syawal tahun ini membuka tirai pada Rabu ini sebagaimana yang diramalkan ahli falak dari Arab Saudi.
* * * KEMERDEKAAN * * *
31 Ogos 2011, negara kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke lima puluh empat.
Untuk rekod, penjajahan kuasa Barat ke atas Tanah Melayu bermula selepas Alfonso de Albuquerque bersama 1,200 orang tentera dengan berbelas kapal berjaya menawan Kota Melaka pada April 1511 yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Melaka yang terakhir, Sultan Mahmud Shah.
Selepas beratus tahun pejuang kemerdekaan yang sebahagian besarnya mengangkat senjata melawan penjajah seperti Rosli Dhobi (Sarawak), Tok Kenali (Kelantan), Haji Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Tok Gajah (Pahang), Dato' Bahaman (Pahang), Dol Said (Naning), Dato' Maharaja Lela (Perak), Tok Janggut (Kelantan), Mat Salleh (Sabah), Rentap (Sarawak), Mat Kilau (Pahang), dan lain-lain, akhirnya Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia terbentuk walaupun ia dibentuk bukan disebabkan kekalahan pihak penjajah terhadap penentangan bersenjata pejuang kemerdekaan.
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu seterusnya pembentukan Persekutuan Malaysia adalah berpaksikan kepada rundingan bersama pemerintah British dan survey terhadap rakyat Sabah dan Sarawak.
Lagi untuk rekod, KEBANYAKKAN negara penjajah memerdekakan tanah jajahan mereka adalah disebabkan oleh kerugian yang terpaksa mereka tanggung pasca Perang Dunia Kedua (WWII).
Tak mustahil Tanah Melayu mudah mendapatkan kemerdekaan hanya dengan rundingan, sedangkan berpuluh, malah beratus termasuk yang tidak tercatat dalam lembaran sejarah yang menjadi korban penjajah British semata-mata mahu menghalau mereka dari sini.
* * * KOMUNIS * * *
Baru-baru ini, Utusan Malaysia kecoh dengan laporannya yang mendakwa kononnya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengangkat Muhammad Indera sebagai seorang pejuang kemerdekaan negara. Muhammad Indera bersama-sama Goh Peng Tun dan lebih kurang 200 anggota Parti Komunis Malaya menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong yang mengorbankan 25 orang anggota polis berserta keluarga yang mendiami balai polis berkenaan.
Cumanya, berbalik kepada tarikh berlakunya tragedi Bukit Kepong ini: 23 Februari 1950. Bermaksud, secara umumnya polis ketika itu berkhidmat untuk British.
Amatlah tidak adil sekiranya kita secara melulu melabelkan sesuatu pihak atau parti yang bertentangan dengan ideologi dan prinsip kita dengan labelan yang negatif secara keseluruhannya tanpa melihat kepada sisi yang berlawanan.
Bukan saya bermaksud menyokong dengan laporan Utusan Malaysia yang menyatakan bahawa Mat Sabu mengangkat Muhammad Indera, seorang ahli komunis berbangsa Melayu sebagai wira, jauh sekali menyokong komunis yang masih berterusan mengangkat senjata walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan, namun adalah tidak wajar kita berterusan berhujah dengan fakta sejarah yang 'ditulis oleh pihak yang menang'.
Polis, tugas mereka sememangnya mulia, menjaga keamanan setempat, walaupun mereka berkhidmat kepada British.
Dan niat komunis KETIKA ITU juga baik, mengangkat senjata sehingga Tanah Melayu merdeka, walaupun mereka berterusan bersenjata sehinggalah 1980-an.
Komunis menjadi SALAH kerana terus berjuang melawan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Malaysia walaupun sebelum ini mereka berjanji untuk meletakkan senjata selepas British memberikan kuasa pemerintahan kepada masyarakat tempatan.
Dan Parti Komunis Malaya sudah dilabel oleh pihak British sebagai sebuah kumpulan ektrimis berhaluan kiri yang memberikan banyak masalah kepada mereka.
Dan mereka tetap bermasalah walaupun kita sudah melangkah ke arah berkerajaan sendiri.
* * * PARTI MELAYU * * *
Ibrahim Yaacob, pengasas KMM |
Ingat lagikah kita kepada KMM, Kesatuan Melayu Muda yang ditubuhkan pada 1938, 4 tahun sebelum Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Sedangkan UMNO yang ditulis oleh pakar sejarah yang digaji kerajaan sebagai sebuah kumpulan pejuang kemerdekaan, pula ditubuhkan pada Mei 1946, 8 tahun selepas KMM ditubuhkan.
Slogan yang dilaungkan KMM juga keramat: "MERDEKA" berbanding UMNO: "HIDUP MELAYU".
Namun, pendekatan KMM yang keras terhadap British dengan tuntunan kemerdekaan, KMM telah dilabel sebagai kumpulan berhaluan kiri dan kebanyakkan daripada ahlinya dipenjara.
Oleh sebab itu, KMM terpaksa bersekutu dengan pihak Jepun bagi berhadapan dengan British dengan harapan, Jepun dapat mengalahkan British sekaligus memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Walaupun Jepun berjanji memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu selepas British ditundukkan, namun janji tinggal sekadar janji...
Selepas tamat WWII, KMM berpecah kepada beberapa kumpulan seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).
Diketahui bahawa KMM merupakan kumpulan terawal yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada British, namun kenapa fakta ini dilihat seakan-akan cuba untuk disembunyikan kerajaan? Mengapa kita masih menganggap KMM sebagai sebuah kumpulan radikal sebagaimana yang dilabel British suatu ketika dahulu?
Benarlah kata-kata Napoleon Bonaparte, "History is written by the winners." Segala-galanya adalah kerana kuasa.
Tinta mencoret: I'm not supporting Communist, but I'm supporting those who fight for independence.
Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
Bacaan lanjut: Mat Indera, Pejuang atau Pengkhianat? [UPDATE 31 OGOS 2011]
No comments:
Post a Comment