Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

26 August 2011

Ramadhan 1432H: Girang Pra-Lebaran


Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat terdahulu, mudah-mudahan kamu bertakwa.

"Hari ni ustad pakai cermin mata hitamlah"

25 Ogos tahun lepas, mata saya kemerah-merahan tanda sakit. Tahun ini, dua hari sebelum tarikh yang sama, mata saya sakit, sakit yang sama dengan yang saya dihidapi setahun lalu. Masuk hari ini (Jumaat, 26 Ogos 2011), sudah hari yang keempat saya berkaca mata gelap berhadapan dengan tawa sinis anak murid yang melihat gurunya 'bergaya'.

* * * * *

Hari ini juga, sudah hari yang kedua puluh lima umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa yang difardukan kepada kita. Mengikut kaedah hisab, tahun ini bulan Ramadan hanya ada 29 hari sahaja, dan ia berbaki lagi 3 hari sebelum kita semua terkinja-kinja menyambut lebaran yang mulia.

Apa persiapan Aidilfitri yang sudah dibuat? Langsir sudah ditukar? Cushion baru sudah dibeli? Perabot sudah diganti? Rumah sudah dicat? Kereta sudah dibeli baru?

Itulah persepsi masyarakat Islam Malaysia. Lebaran yang hanya sehari itu dihadapinya dengan sebulan persiapan. Namun, Ramadan yang lebih mulia daripada seharian hari kebesaran itu tidak sungguh-sungguh untuk berhadapan dengannya, malah dilihat sebagai satu bebanan terutamanya pada amalan puasa itu sendiri.

Ramadan, bulan yang mengajar kita erti kesusahan. Ramadan, bulan yang mengajar kita erti kepayahan. Ramadan, mengajar kita erti kesabaran, mengajar erti kasih sayang sesama manusia. Ramadan juga memupuk sifat mujahadah dalam diri setiap Mukmin yang merebutnya. Dan yang paling penting, Ramadan menyemai sifat ketakwaan.

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wassalam pernah khabarkan, ramai manusia yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apapun manfaat daripada puasa yang dilaksanakannya melainkan hanya lapar dan dahaga sahaja.

Kita perhatikan, berapa ramai orang Islam yang benar-benar merebut nilai ketakwaan yang Allah janjikan menerusi Surah al-Baqarah, ayat 183. Semakin berada di penghujung Ramadan, semakin susut surau-masjid di seluruh negara. Masjid yang gah tersergam, sesetengahnya siap berair-cond lagi, selesa untuk kita beribadah, namun jumlahnya tetap berkurangan.

Mana perginya jemaah yang menghilang?

Nun di pasar-pasar, shopping mall, entah apa yang dicarinya sepanjang sepuluh hari terakhir Ramadan. Tidak cukup dengan checklist sebesar kertas A4, ditambah lagi dengan checklist lain. Bermula dengan baju raya, kasut raya, songkok raya, perabot raya, langsir raya, sehinggalah kereta raya, semuanya MESTI ditukar ganti.

Tidak salah kita menggunakan nikmat yang Allah kurniakan untuk perkara-perkara yang bagus, namun adakah ia menjadi awla atau priority untuk kita meninggalkan fasa terakhir Ramadan yang dijanjikan pembebasan daripada api neraka semata-mata untuk persediaan hari raya yang hanya sehari sahaja? Ada akal: fikir.

Stesen televisyen kini berlumba-lumba mengatur rancangan bersifat maksiat sepanjang Syawal, menyiarkan lagu-lagu raya yang bercampur-baur lelaki dan perempuan. Siaran radio pula liga memutarkan lagu-lagu raya tanpa mengendahkan seruan untuk terus beristiqamah dalam beribadah pada akhir Ramadan. Akhbar pula kita lebih memfokuskan ke arah persiapan lebaran lebih daripada persiapan menghadapi Lailatul Qadr

Ramadan yang kononnya kita mahu penuhi dengan seribu satu amalan kini dicemarkan dengan program kemaksiatan yang disusun oleh segolongan manusia yang gilakan habuan dunia. Sebahagian surau-masjid kini lengang berbanding kebanjiran jemaah pada awal Ramadan lalu. Para da'ie kesedihan melihat mad'u mereka semakin susut dan rela 'menjual' jiwa mereka kepada aktiviti yang bersifat sementara. Tawaran istimewa manusia lebih disukai daripada tawaran Allah yang tiada tolok tandingan.

Sedih...

* * * GENGGAM ERAT * * *

Tatkala Ramadan makin menjelma, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radiallahu 'Anhu keriangan menyambutnya. Beliau bertungkus-lumus untuk melipat kali ganda amalan agar kelebihan yang ada pada sepanjang Ramadan tidak dilepaskan dengan begitu sahaja.

Namun, bila Ramadan hanya tinggal sisa-sisa, beliau kesedihan. Beliau 'menggenggam' erat Ramadan bagai tidak mahu melepaskannya walaupun beliau tahu, seerat mana genggamannya, Ramadan pasti meninggalkannya. Beliau melupakan kehidupan dunia buat sementara waktu semata-mata mahu bersama Ramadan sebelum ia pergi.

Kita? Dengar sahaja Ramadan hampir habis, bertambah girang.

Pupuk anak-anak beribadah agar bila besar, taklah seteruk masyarakat kita sekarang.
Tinta mencoret: Jom rebut fasa ketiga Ramadan.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

1 comment: