Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

30 August 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432H


Ampun dan maaf kupohonkan andainya;
Terkasar bahasa;
Tersilap bicara;
Termarah tiada kenanya;
Tertanya tiada tentu hala;
Tersasul tanpa sengaja;
Terpukul mana-mana;
Terpekik menyakitkan telinga;
Terhantuk bengkak di kepala;
Terpinjam segala harta-benda;
Termoody tiada semena-mena;
Terumpat setiap masa;
Terpegang tanpa diminta;
Ter... segala macam TER yang tiada diterima;
Semoga susunan jari-jemari ini diterima.

Saya selaku penulis tunggal blog Coretan Tinta Berdakwat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432H, mohon kemaafan zahir dan batin. Juga diiringi doa "Taqabbalallahu minna wa minkum solihal-a'mal" (Semoga diterima setiap amalan soleh yang aku dan kamu semua lakukan).

Diharapkan 29 hari yang kita tempuh dalam Madrasah Ramadan akan menjadikan kita hamba Allah yang lebih bertakwa.

Isilah Aidilfitri kali ini dengan kehidupan yang Islami.

* * * ISLAMKAN AIDILFITRI ANDA * * *

Beberapa perkara yang perlu kita lakukan sebagai tanda kita meraikan hari kemenangan dan hari kembali kepada fitrah. Di sini saya senaraikan sebagai peringatan kita bersama.

Pertama sekali, jangan kita lupa untuk bertakbir raya. Takbir raya boleh dilaungkan bermula selepas kita berbuka puasa pada hari terakhir sehinggalah terbenamnya matahari pada keesokkan harinya. Kita besarkan Allah Ta'ala sebagai tanda kesyukuran kita.

Seterusnya, jangan dilupakan untuk bangun awal untuk melaksanakan solat Subuh kerana ia wajib didirikan. Jangan kita bangun semata-mata untuk solat hari raya yang sunat sedangkan yang wajib kita tinggalkan. Sia-sia sahajalah hari raya tanpa dilaksanakan amalan fardu.

Pastikan zakat fitrah sudah dilunaskan sebelum solat hari raya didirikan. Waktu yang afdhal adalah sebelum solat hari raya, tetapi jangan dinantikan waktu tersebut kerana kebarangkalian untuk kita membayarnya adalah tipis. Amil zakat pun nak pergi bersiap untuk raya, bukan kita je...

Bersarapan walau sedikit sebelum keluar ke surau-masjid atau mana-mana tanah lapang yang dilaksanakan solat hari raya berjemaah. Pastikan makanan atau minuman yang diambil tidak mendatangkan sebarang masalah kepada perut agar kita dapat bertakbir, bersolat, dan mendengar dua khutbah hari raya tanpa rasa perut memulas.

Pakai pakaian yang bersih (ops, bukan himpunan BERSPH tau), cantik, dan jika mampu, pakaian yang baharu. Bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi lebih kepada menzahirkan nikmat yang Allah kurniakan dan tidak kufur terhadap nikmat yang diperoleh. Pakaian tidak semestinya dikhususkan kepada serban dan jubah semata-mata tetapi pakaian yang mengikut 'uruf atau budaya setempat juga digalakkan.

Setibanya di surau atau masjid, pastikan kita bertakbir bersama-sama dengan jemaah lain. Sebelum duduk di masjid untuk bertakbir, pastikan didirikan solat sunat Tahiyyatul Masjid dan niat i'tikaf.

Berikan sepenuh perhatian terhadap dua khutbah hari raya yang disampaikan oleh khatib. Jangan 'terhangguk-hangguk' atau lebih teruk lagi, tidur berdengkur ketika khatib berkhutbah. Lagi parah jika bangun meninggalkan khutbah tersebut.

Selepas selesai khutbah hari raya kedua, luangkan sedikit masa untuk bertemu rakan taulan dan jiran tetangga yang bersama-sama berjemaah di surau-masjid tempat kita bersolat. Ketika bertemu, minta maaf atas segala kesalahan yang pernah dilakukan dan berdoa dengan doa yang Rasulullah Sallallahu Alayhi Wassalam ajarkan: "Taqabbalallahu minna waminkum."

Ketika pulang ke rumah, pastikan kita mengambil jalan yang berlainan daripada jalan yang kita gunakan ketika ke surau-masjid.

Setibanya di rumah, bermaaf-maafanlah seisi keluarga.

Gunakan sepenuhnya hari raya untuk menziarahi sanak-saudara dan rakan untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan ikat persaudaraan. Jangan dilupakan untuk menziarah 'tempat tinggal' saudara yang sudah pergi (kubur la, mana lagi).

Antara kesalahan yang sering
kita lakukan ketika lebaran.
Credit to Encik Khaireel.
Klik gambar untuk
paparan yang lebih jelas.
Bergembiralah ketika berhari raya. Tetapi ingat, jangan cemarkan Aidilfitri dengan perangai Iblis dan Syaitan la'natullahi alayhim ajma'een. Mentang-mentanglah tak jumpa sebulan.

Antaranya, tabarruj atau berlebihan dalam berhias atau melawa bagi wanita, bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, mengisi program hari raya dengan aktiviti kemaksiatan,  tidak melaksanakan ibadat wajib seperti solat lima waktu dan zakat fitrah, dan sebagainya. Pastikan perjalanan Aidilfitri penuh dengan kesederhanaan dan sebolehnya, elakkan perkara-perkara makruh, apatah lagi yang haram.

Tinta mencoret: Salam Lebaran.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment