Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

30 August 2011

Aidilfitri 1432H: Anak Derhaka



المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا
(Kaitan) seorang Mukmin kepada Mukmin (yang lain) umpama sebuah binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain.

Bila lagi nak jumpa saudara-mara kalau bukan pada Aidilfitri. Kalau hari biasa, masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing, sibuk dengan hal-ehwal duniawi, sebuk dengan business import export, sebuk dengan urusan kemasyarakatan, sehinggakan hal yang lebih penting, hal yang berkaitan ikatan kekeluargaan sendiri dilupakan.

Saudara yang rumah hanya beberapa kilometer pun payah nak jenguk. Bukan orang lain, pak saudara sendiri, sepupu sepapat sendiri.

Kekangan dari segi masa dan halangan urusan menyebabkan masing-masing terhalang untuk berziarah sesama ahli keluarga sendiri.

Aidilfitri menjadi ruang untuk umat Islam khususnya di Malaysia saling menziarahi dan bersua muka setelah setahun tidak bertegur sapa. Budaya ziarah dan kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri seharusnya dikekalkan dan tidak pudar dek zaman yang semakin moden dan maju.

Dalam sibuk menziarah sanak-saudara, jangan dilupakan keselamatan rumah yang ditinggalkan. Sebolehnya, main switch dioff bagi mengelakkan litar pintas. Laporkan kekosongan rumah kepada pihak polis bagi membolehkan mereka memantau sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku di rumah.
Polis membuat rondaan untuk memastikan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
* * * GOSIP KEKELUARGAAN * * *

Pastinya, setiap tahun, saya akan menerima beberapa berita yang sebelum ini ramai saudara terlepas pandang untuk menceritakannya kepada saya.

Berita tentang penyakit Allahyarham Pak Anjang yang berlaku pada pertengahan 2009 sebelum ini tidak sampai ke pengetahuan saya sehinggalah saya bertandang ke rumah beliau pada Aidilfitri1430H. Keadaan arwah yang kering menimbulkan banyak persoalan kepada saya. Mana tidaknya, kali terakhir saya bertemu dengan arwah, badannya 'sihat' dan 'bersemangat', jauh berbeza dengan keadaannya ketika itu yang 'kering'.

Selang beberapa minggu, arwah pergi meninggalkan kami. Sayu rasanya.

Mungkin ramai yang berhadapan dengan situasi yang hampir serupa dengan apa yang pernah saya hadapi ini.

Kini, ketika saya bertandang ke rumah Pak Teh di Dato' Keramat, Pak Teh menceritakan sebuah cerita yang berlaku kepada seorang saudara yang tidak terlalu hampir dengan saya yang tidak sedap didengar.

Atas dasar pengajaran, saya berkongsi sedikit kisah ini kepada pembaca sekalian.

Minah (bukan nama sebenar) sudah lanjut usia. Minah sudah lama kematian suami. Hasil perkahwinan dengan arwah suaminya, Minah dikurniakan 10 orang anak, dan kesemuanya kini berjaya dalam kehidupan dan bekerja dengan gaji empat-lima angka. Purata umur anak-anak mereka sekitar 40 ke 55 tahun.

Walau bagaimanapun, kehidupan Minah melarat, sakit, dan menumpang di rumah adiknya, Munah (pun bukan nama sebenar). Sehinggakan ke mana sahaja Munah pergi, pastinya Minah akan ikut bersama. Pernah juga Munah bersungguh, Minah melambatkan pergerakkannya, namun terkenangkan nasib Minah yang tidak dipedulikan anak-anaknya, Munah merelakan juga.

Minah juga menderita sakit, namun tiada seorang pun anaknya yang menghantarkan Minah ke hospital. Penyakit Minah kemudiannya bertambah parah akhirnya memaksa Munah mengejarkan Minah ke hospital.

Doktor yang merawat Minah mempersoalkan tindakan Munah. "Kenapa lewat hantar ke hospital? Penyakitnya kritikal. Jika di hantar awal, kebarangkalian untuk Minah sembuh adalah tinggi." Pihak hospital tidak dapat membuat apa-apa kerana kondisi penyakit Minah teruk, tunggu masa sahaja untuk dijemput Ilahi."

Ditakdirkan Allah, Minah menghembuskan nafas terakhirnya di hospital tersebut tanpa seorang pun anak-anaknya di sisi. Jenazah Minah diuruskan pihak hospital dan kemudiannya dihantar ke kampung halamannya di Kuala Selangor untuk disemadikan.

Anak-anaknya? Bukan kata batang hidung, bunyi tapak kasut pun tak kedengaran.

Tindakan Munah yang membawa Minah ke hospital langsung tidak dihargai anak-anaknya sehinggakan seorang daripada anaknya sanggup berkata kepada Munah: "Buat apa hantar orang tua tu ke hospital? Dia dah tak lama dah (dah nak mati)."

Astaghfirullah al-Azhim.

Tidak sedarkah anak-anak Minah, mereka juga akan melalui saat yang sama seperti yang dilalui ibu mereka? Tidakkah mereka sedar siapa di sisi mereka tika mereka berjaya menggenggam segulung ijazah di puncak menara gading?

Tapi, bila diberi madu, tuba pula yang dibalas.

Kejadian ini berlaku dua minggu sebelum Aidilfitri menjelang.

Tersentuh bila dengar Pak Teh menceritakannya.

Terfikir, selalunya kita tonton kisah-kisah anak derhaka begini di layar televisyen, ragu-ragu adakah ia suatu yang realiti atau sebaliknya. Namun, bila ia berlaku dalam kalangan kaum keluarga sendiri walaupun tidak terlalu hampir, ia membuka mata saya, betapa teruknya masyarakat kini.

Berjawatan tinggi, gaji berangka-angka, dihormati staf dan pekerja bawahan, namun gagal dalam perhubungan dengan keluarga, GAGAL UNTUK MENGHORMATI IBU SENDIRI.

Tunggu masa sahaja. Dosa derhaka terhadap ibu bapa, Allah akan segerakan balasan di dunia sebelum bertemu azab yang lebih pedih bermula di dalam kubur sehinggalah dipanggang di dalam neraka. Ini janji-Nya.

Sebusy mana kerja kita, seteruk mana keadaan kita, ibu bapa perlu mendapat perhatian daripada anak-anak lelaki mereka. Lebih-lebih lagi jika anak-anak lelaki mereka seorang yang berada, tiada sebarang alasan untuk membiarkan ibu bapa hidup menumpang dan mengemis mengharapkan ehsan orang lain.
Rumah anak Tok Busu, rumah kedua yang saya kunjung selepas bertamu di rumah Pak Teh pada 1 Syawal.
Tinta mencoret: Redha Allah bukan untuk anak derhaka.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment