Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

25 February 2009

Tika Amanah Dirampas Kejam

قال الله سبحانه وتعالى في كتابه العزيز:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمـنـت إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا

Tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini membuatkan saya sebagai rakyat di bawah naungan Tuanku bertambah rasa hormat. Semoga Tuanku terus-menerus menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid selagi mana tidak bercanggahan dengan aspirasi rakyat jelata naungan Tuanku.

Pada hemah saya, tindakan Tuanku Sultan Selangor lebih bersifat professional berbanding dengan 'rakan sejawatnya' yang berada di sebelah utara. Baginda mengambil pendekatan mendengar dahulu penjelasan memanda Menteri Besar selaku ketua tadbir urus negeri. Tindakan inilah sebenarnya membuatkan daulat seseorang raja terutama Raja Melayu terus dijaga dan dipelihara rakyat jelata.

Jika dibandingkan dengan 'empayar' jirannya, Perak yang sanggup menghalang pengiring 'bekas' Menteri Besarnya yang terdiri daripada EXCO daripada turut menghadap baginda bertujuan untuk memberikan beberapa taklimat mengenai keadaan dan suasana negeri naungan baginda. Baginda Sultan Perak lebih suka mendapatkan maklumat daripada pihak yang lagi satu dengan membenarkan kesemua muka-muka peruntuh pentadbiran yang diketuai oleh seorang manusia yang dipilih baginda sendiri. Tindakan baginda inilah yang membuatkan 'empayar' naungan baginda sendiri kucar-kacir dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat baginda sendiri terhadap ketelusan penggunaan kuasa baginda bagi menjatuhkan memanda Menteri Besar.

Firman Allah swt dalam Kalam-Nya:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمـنـت إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا
بــأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله ورسوله إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر ذلك خير وأحسن تأويلا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.
AQ 4:58-59

Ayat ketaatan kepada pemerintah atau Ulul-Amri yang selalu dicanang-canangkan oleh ulama (baca: ulama' su') sebenarnya dijelaskan oleh Allah swt ciri-cirinya pada ayat sebelum dan rangkap berikut dalam ayat yang sama.

Dalam ayat 58, Allah swt awal-awal lagi menegur hamba-hamba-Nya yang benar-benar mengaku Allah sebagai Tuhan dalam aspek melaksanakan demokrasi dalam pemerintahan negara. Setiap pengundi yang beriman pastinya akan berpegang kepada ayat ini dengan memilih wakil-wakil mereka yang benar-benar berpegang kepada amanahnya.

Kepada pemimpin (baca: Sultan), mereka sepatutnya mendengar dengan teliti nasihat penasihatnya (baca: Menteri Besar), bukannya nasihat daripada pihak yang tidak sepatutnya (baca: Najib dan konco-konconya). Natijahnya, negeri naungannya menjadi kucar-kacir dengan tindak-tanduknya yang tidak Islamik yang menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih rakyat naungannya sendiri!

Kerajaan Ratu Balqis sendiri meminta pandangan daripada rakyatnya tentang surat utusan daripada Nabi Sulaiman as yang diterimanya. Walaupun ketika itu, Ratu Balqis belum menerima Allah swt sebagai Tuhannya, namun tindakannya ini dianggap Islamik dan dirakamkan dalam al-Quran oleh Allah swt tentang pendiriannya itu. Sikap Ratu Balqis itu sepatutnya diteladani oleh pemimpin-pemimpin di mana baginda mengutamakan pandangan pembesar, ketua kaum, dan rakyat jelata sebelum menitahkan sesuatu. Daulat sang ratu terletak di atas restu, suara, pendapat, pandangan rakyat yang mewakili jiwa, ruh serta pemikiran bangsa. Baginda tidaklah sesuka hati membuat keputusan tanpa merujuk orang-orang di sekelilingnya terlebih dahulu.

Kemudiannya, Allah berfirman:

فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله ورسوله إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
AQ 4:59

Selepas kesilapan Sultan dalam perintahnya, timbullah huru-hara. Masih ada pihak termasuk mufti lantikan baginda yang memihak kepada Sultan dengan hanya berdalilkan 'Taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul, dan Ulil-Amri' seperti yang terdapat pada pangkal ayat 58, surah an-Nisa' ini. Tetapi mereka sengaja menyembunyikan klausa-klausa yang mengapit klausa 'taat kepada Ulil-Amri' ini. Oleh sebab itu, saya nyatakan di atas ia dicanang-canangkan oleh ulama suk iaitu ulama' yang hanya pada nama tetapi hati sebenarnya terpaut dengan dunia termasuklah jawatan ulama' itu sendiri!

Mungkin Sultan kekurangan ilmu agama dalam membuat keputusan kerana baginda berkelulusan undang-undang. Tetapi apa tindakan ulama terutamanya yang dilantik baginda sendiri dalam menasihatkan baginda tentang Islam? Adakah mereka semua akur dengan tindakan baginda kerana Sultan itu 'maksum'?

Mujurlah saya bukan rakyat Perak yang mungkin membuatkan saya ter'hangguk' terhadap titah baginda itu. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor kerana tindakan baginda yang menyokong penuh memanda Menteri Besar, Tan Sri Khalid dalam isu lembu korban dan kereta Lexus dan juga memberikan kepercayaan 100% terhadap sebarang langkah Kerajaan Negeri Pimpinan Tan Sri Khalid terhadap isu perletakkan jawatan EXCO dan ADUN YB Elizabeth Wong.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi
090225W-2258

24 February 2009

Masalah Yang Sengaja Ditimbulkan

Apa sudah jadi dengan dunia ini? Apakah kita semakin hampir dengan waktu yang dijanjikan Tuhan, Hari Kiamat? (Yang sememangnya dijawab dengan ya!).

Bumi terus berputar, matahari terus membakar, bulan terus menyuluh kegelapan, semuanya masih menjalankan khidmat dan tanggungjawabnya demi Tuhan Yang Maha Kuasa untuk kegunaan khalifah-Nya sama ada yang benar-benar ikhlas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah mahupun yang sengaja memporak-porandakan dunia yang sedia kabut ini...

SELANGOR TERUS BERGELUT

Mari kita perhatikan apa yang telah digembar-gemburkan di Selangor dalam masa sebulan dua ini.
1. Isu penyalahguna kuasa Tan Sri Khalid dalam sumbangan lembu korban.
2. Isu 'pembelian' kereta Toyota Lexus yang akhirnya menjadi penyelenggaraannya yang menggunakan wang rakyat.
3. Isu gambar bogel ADUN Bukit Lanjan, YB Elizabeth Wong yang disiarkan di internet.
4. Campur tangan dalam pengambilalihan konsensi air

Saya cuba kupas 'kulit-kulit bawang' ini menurut Islam mengikut kefahaman saya dan diharap tiada siapa yang 'meleleh air mata kerana pedihnya kulit bawang yang dikupas ini'. Betulkan saya sekiranya terdapat fakta yang saya nyatakan tidak tepat supaya apa yang saya ulas tidaklah nampak berat sebelah.

MANUSIA BERPERANG LEMBU MATI TERSEPIT

Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mendakwa Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah 'memaksa' syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor untuk mengeluarkan belanja dalam menaja pembelian lembu-lembu korban yang akan diagihkan kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di mana beliau sendiri yang menjadi Ahli Parlimen (MP) di kawasan terbabit. Dakwaan ini kemudiannya ditepis oleh Tan Sri Khalid sendiri. Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (GERAK) yang dikatakan memiliki bukti-bukti yang menunjukkan kesalahan Tan Sri Khalid kemudiannya membuat laporan di SPRM dan menghantar memorandum kepada Tuanku Sultan Selangor agar Tan Sri Khalid digantung selama mana SPRM menyiasat kes terbabit.

Pada saya, sekiranya benar apa yang didakwa oleh YB Khir Toyo itu, saya bertanyakan kepada saudara sekelian. Apakah dikatakan jenayah sekiranya kita menggunakan wang tersebut untuk tujuan ibadah? Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut, mari kita lihat secara kasar tentang lembu-lembu yang 'terkorban' ditengah-tengah kemelut 2 orang tokoh Selangor ini.

Tan Sri Khalid dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada 6 buah syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor untuk menyumbangkan sebanyak 60+ ekor lembu kepada surau-surau dan masjid-masjid di dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di mana beliau merupakan MP di situ. Khalid kemudiannya membidas dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa itu adalah inisiatif syarikat-syarikat terbabit dalam memberikan bantuan kemasyarakatan yang menjadi tanggungjawab syarikat terbabit.

Yang menjadi persoalannya, mengapa Parlimen Bandar Tun Razak menjadi kawasan sumbangan? Secara kasarnya, sumbangan ini boleh dilihat sebagai beliau (Tan Sri Khalid) mempunyai beberapa kepentingan kerana diketahui umum bahawa Bandar Tun Razak sendiri bukanlah terletak di dalam negeri Selangor. Kes ini kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diharapkan SPRM dapat menyiasat dengan telus dan adil.

Itu pendapat orang yang mendakwa. Pada saya, hati budi dan keikhlasan seseorang adalah rahsia Allah swt. Kita tidaklah sama sekali mengetahui apa yang tersirat dalam hati dan perlulah kita menyerahkannya 100% kepada Tuhan sama ada yang terlibat itu benar-benar ikhlas dalam memberikan bantuan kebajikan ataupun derma tersebut.

Mengapa perlunya kita menuduh seseorang itu bersikap tidak ikhlas dan memanipulasikan kedudukannya dalam memberikan khidmat masyarakat walaupun kawasan tersebut berada di luar kawasan yang dikuasainya? Sekiranya ia menjadi kesalahan, maka menjadi kesalahan sekiranya wang-wang zakat especially zakat Selangor di hantar ke negeri-negeri miskin di Malaysia ataupun dihantar ke Palestin bertujuan untuk membantu masyarakat-masyarakat yang sepatutnya dibantu.

Pemberian lembu-lembu korban ini tidak boleh dikategorikan sebagai rasuah mahupun kesalahan jenayah sekiranya kita beralasan dengan pemberiannya bermotifkan atas kepentingan diri sendiri. Alasan ini walaupun dilampirkan sekali dengan bukti-bukti hitam putih dan arahan daripada beliau, ia sama sekali tidak bercanggah dengan Islam kerana hukuman terhadap pesalah hanya kepada mereka yang dibuktikan bersalah secara zahir, manakala kesalahan secara batin seperti tidak ikhlas, iri hati dan penyakit-penyakit hati yang lain hanya boleh dihukum Tuhan totally tanpa sebarang campur tangan manusia. Oleh sebab itu, سوء الظن (su-udzh dzhon - bersangka buruk) digolongkan dalam صفات مذمومة (sifat-sifat mazmumah, yang terkeji). Kita disuruh supaya tidak bersangka buruk terhadap tindak-tanduk seseorang yang secara zahirnya, secara terang-terangan tidak membuat sebarang kesalahan.

BAGAI BEKERJA TANPA GAJI
(klik disini)

Isu seterusnya berkaitan dengan kenderaan Tan Sri Khalid, Toyota Lexus yang telah diisytiharkan beliau sebagai kenderaan rasminya. Beliau pada asalnya didakwa telah mengunakan wang negeri untuk membeli kereta ini. Khalid kemudiannya membidas dengan mengatakan bahawa Toyota Lexus ini ialah kenderaan miliknya tetapi digunakan dalam urusan kerajaan. Beliau mempunyai kenderaan lain yang boleh digunakan sebagai kenderaan persendirian. Alasan beliau adalah kerana beliau lebih selesa menggunakan Toyota Lexus berbanding kereta berjenama lain.

Isu ini kemudiannya diubah menjadi seperti berikut: Tan Sri Khalid menggunakan wang kerajaan negeri untuk membiayai Toyota Lexus milik beliau.

Izinkan saya menggunakan bahasa yang lebih 'kasar' dalam mengulas isu ini. Faham dan kaitkan cerita yang saya tulis di bawah dengan isu ini.

Wajarkah seseorang yang bekerja outstation tidak dibayar dengan elaun OT (overtime), elaun makan, tempat tinggal, elaun perjalanan dan sebagainya yang berkaitan dengannya? Adilkah majikan yang tidak membayar sebarang elaun yang berkaitan dengan kerja pekerjanya kerana bekerja diluar daripada yang sepatutnya yang diterima daripada gaji pokok?

Oleh itu, salahkah kereta Toyota Lexus itu diserenggara oleh wang milik rakyat kerana berbakti kepada rakyat? Semestinya TIDAK! Zalimlah kita sebagai rakyat (majikan) yang membiarkan MB (pekerja) menyelenggara kereta beliau dengan wang sendiri (bagai tiada sebarang elaun untuk kerja outstation). Beliau tidak mempunyai sebarang elaun rasmi dalam menyelenggara kenderaannya sendiri tetapi menggunakan peruntukan khas bagi kenderaan rasmi MB untuk menyelenggara keretanya yang digunakan untuk urusan-urusan rasmi MB yang menggantikan kereta rasminya.

Beliau dilaporkan menggunakan RM 8,000 (angka sebenar RM7,800) untuk menyelenggarakan kereta Toyota Lexus miliknya dalam jangka masa hampir setahun. Bandingkan kos ini dengan kos penyelenggaraan Proton Perdana sebagai kereta rasmi EXCO di Terengganu yang dilaporkan oleh YAB Menteri Besar melebihi ratusan ribu ringgit untuk sebuah kereta dalam tempoh 4 tahun (sepenggal - 2004-2008)! Sekiranya dilihat, seorang EXCO menggunakan SEKURANG-KURANGNYA RM30,000 setahun untuk menyelenggara sebuah kereta. Penggunaan peruntukan EXCO di sebuah negeri yang diklasifinikasikan sebagai negeri miskin ini melebihi peruntukan yang digunakan orang nombor satu di negeri maju! Apa cerita?

Sepertimana yang saya pernah nukilkan, gunakan akal dan hati yang Allah swt kurniakan berpandukan syara' untuk menilai sesuatu perkara. Jangan kita cepat melenting dan mengeluarkan statement yang bukan-bukan. Keadaan ini lebih adil (meletakkan sesuatu perkara kena pada tempatnya) dan ia dilihat dapat mengurangkan penggunaan wang rakyat dalam urusan kerajaan yang mana akhirnya wang tersebut dapat dikembalikan kepada kepentingan rakyat.

DITEKAP SUPAYA LONDEH

Saya tidak tahulah bagaimana kes ini boleh terjojol keluar. Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan bahawa gambar separuh bogel (sebenarnya tiada istilah separuh bogel dalam Islam) ini menggunakan teknik pertindihan imej atau 'super impose' mengikut siasatan pihak polis.

Alhamdulillah, pelbagai pihak termasuk sebahagian orang Barisan Nasional sendiri yang bersimpati dengan pencerobohan kehidupan peribadi seorang ADUN terutamanya dalam perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri mereka sebagai seorang yang menjadi public figure.

Tiadalah mahu saya ulas tentang 'tikam-elak mulut-mulut yang menyerang-menepis', cuma saya terkilan dengan kenyataan MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan bahawa kehidupan seseorang wakil rakyat itu adalah milik rakyat, milik awam. Saya menyokong kenyataan ini TETAPI hanya kepada masa dan khidmat, bukan pada aibnya!

Kes ini berbeza dengan kes YB Datuk Seri Chua Soi Lek, bekas Menteri Kesihatan yang secara terang-terangan mengaku melakukan seks kepada seorang wanita yang bukan isterinya sendiri. Chua bersalah kerana hubungan seks itu, bukan kerana penyebaran video yang mengaibkannya. Dalam kes Chua, kedua-dua pihak, Chua dan penyebar video bersalah manakala dalam kes Elizabeth, beliau tidak melakukan kesalahan kerana beliau hanya 'tidak berpakaian' ketika berseorangan di rumah (sekiranya benar beliau berkeadaan begitu). Yang bersalah adalah penyebaran video & mereka yang mengubahsuai gambar tersebut menjadi 'terbogel'.

Islam tidak melarang seseorang membuka auratnya ketika bersendirian di tempat tertutup ataupun ketikda bersama pasangannya yang sah. Yang bersalah ialah penyebab dan penyebar gambar yang berunsurkan lucah itu.

TAMAK AIR

Air adalah kurniaan Allah swt kepada alam yang memerlukannya sama ada sebagai penyambung kitaran hidupnya atau kepada pelengkap kepadanya.

Manusia juga memerlukan air yang pada asalnya diberi Tuhan secara free tanpa sebarang bayaran wang ringgit.

Mengapa perlu dipertikaian pengambilalihan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid semua syarikat konsensi air di Selangor? Mengapa perlu ditingkatkan tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dilihat dapat menghapuskan pemberian subsidi 20 meter padu kepada rakyat Selangor? Baru-baru ini, Khalid menyelar Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Puncak Niaga meletakkan keuntungan syarikat kepada 300%. "Perniagaan apa yang dapat 300% setahun? Berjudi di genting pun belum tentu dapat keuntungan sedemikian," tegasnya. Survey yang dijalankan oleh Edisi 7 menunjukkan 80% daripada pengundi poll sms ini menyokong kenyataan Tan Sri Khalid.

Tindakan SYABAS dan Puncak Niaga ini menyalahi cara muamalah yang telah digariskan oleh Islam. Islam pada awal-awal lagi melarang kita berurusniaga dengan cara menindas pembeli atau orang yang menerima khidmat. Pihak SYABAS dan Puncak Niaga secara terang-terangan mengambil untung dengan menindas rakyat yang menjadi 'pembeli' air secara paksa! Adakah berkat gaji yang diterima pegawai-pegawai yang terlibat dalam urusan dasar syarikat SYABAS dan Puncak Niaga ini dengan membelakangkan adab-adab bermuamalah?

Kerajaan Pusat melalui SPAN seolah-olah cuba menekan Kerajaan Negeri dan rakyat dengan menyokong tindakan SYABAS dan menaikkan tarif air. Adakah ini bersifat politik untuk menekan Kerajaan Negeri daripada memberikan subsidi air? Wallahu a'lam bissowab. Bab politik bukanlah dalam bidang yang ingin saya kupas tetapi kita lihat isu ini lebih kepada cara muamalah yang ditetapkan oleh Islam. Apa-apapun, kita lihat dan berhujah kes ini berdasarkan fakta dan realiti, bukan seperti apa yang saya nyatakan sebelum ini, dengan bersangka buruk terhadap pihak yang lain.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi
090224E-1147

23 February 2009

First Time

FIRST TIME SEORANG MB DIGANTUNG DARIPADA MENGHADIRI SIDANG DUN

Cuba kita perhatikan lakaran pena seorang mantan ketua kerajaan kita.

TIMAH BUKAN PERAK
Kita sedang melihat banyak peristiwa yang pelik berlaku di Perak yang dahulu terkenal dengan timahnya. Tetapi tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang kerana apa-apa sebab? Dan ini kerap berlaku. Apakah ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa ke atas Speaker Dewan.

Memang ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Tuan Speaker tetapi menggantung seseorang ahli Dewan bukanlah antara jenayah yang boleh diambil tindakan oleh Polis.
Sekarang dilaporkan yang Dr Zambry akan hadir sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut aturan peraturan Dewan, Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan Yang Amat Berhormat Dr Zambry dari Dewan. Dapatkah pegawai berkenaan yang bukan terdiri daripada parti Pakatan Rakyat berbuat demikian?

Di mana pula tempat duduk YAB Zambry? Apakata kalau YB Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin duduk di tempat Menteri Besar? Apakah pegawai Dewan akan disuruh oleh Speaker untuk paksa Nizar kosongkan kerusinya? Apakah YAB Zambry akan berada di Dewan atau di luar Dewan setelah Speaker mengarah pegawai sekat YAB Zambry daripada berada dalam Dewan.

Bersama-samalah kita rakyat lihat akan peristiwa yang akan berlaku.
Tun Dr. Mahathir Mohamad

Persoalannya di sini, adakah Speaker Dewan (Yang Dipertua Dewan) yang menggantung YAB Zambry dan 6 EXCOnya yang lain dikategorikan sebagai satu jenayah sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak polis? Sekiranya ya, apakah peruntukannya dalam undang-undang?
Saya sendiri setelah membaca tulisan YBhg Tun sendiri berfikir panjang, adakah YAB Perdana Menteri selaku Presiden BN arif tentang undang-undang? Apakah beliau menyangka perbuatan Speaker Dewan Perak yang menggantung YAB Dr. Zambry itu sebagai 'menghina' ataupun 'derhaka' kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah?

Perlulah diketahui bahawa negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan di mana Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia (sebagai orang Islam,
statement ini jangan dipegang kerana Syariat Islamlah yang paling tinggi, bukannya Perlembagaan Persekutuan!). Walaupun dia seorang Raja, seorang Sultan, tetapi setiap tindakannya yang menyanggahi Perlembagaan (Persekutuan & Negeri), ia dianggap sebagai salah dan terbatal. Seorang Raja itu perlu mengikut Perlembagaan yang mana ia sendiri memberikan Raja itu satu kuasa dalam mengetuai sesebuah negeri.

Sekiranya apa yang di dakwa oleh kerajaan Barisan Nasional Perak bahawa mereka dilantik berlandaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak itu benar, tindakan Speaker Dewan tetap betul kerana Speaker Dewan mempunyai kuasa penuh terhadap perjalanan Sidang Dewan walaupun ada yang berpendapat bahawa Speaker Dewan perlu merujuk kepada Sidang Dewan untuk menggantung seseorang ADUN daripada menghadiri Sidang Dewan.
SEMBAH DERHAKA ATAU MENDERHAKA?

Mari kita singkap lembaran sejarah. Pada 1974, Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Mohamad Ghazali Jawi iaitu bapa bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri Tajol Rosli pernah enggan untuk melepaskan jawatan walaupun dititahkan oleh Sultan Idris Shah.

Ketika itu tidak ada satu 'suara' terutamanya daripada UMNO yang mengatakan bahawa keengganan Ghazali itu sebagai menderhaka kepada Sultan bahkan menyokong sebagai tindakan yang mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Sultan Idris Shah tidak berkenan dengan perlantikan Ghazali Jawi untuk menjadi MB buat kali kedua namun atas nasihat beberapa pihak, baginda melantiknya semula dengan syarat hanya selama dua tahun dan dipersetujui namun setelah 'tamat' tempoh, Ghazali tidak meletakkan jawatan.
Sultan ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana tertakluk kepada undang-undang negeri yang mana tidak ada kuasa memecat atau mengarahkan menteri besar meletakkan jawatan.
Malah ketika itu Pemuda UMNO mengadakan rapat umum mempertahankan tindakan Ghazali itu dan dilaporkan Pemuda UMNO pernah mengeluarkan kenyataan:
"Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar, ialah Presiden UMNO."
Gara-gara keengganan Ghazali itu menyebabkan Sultan Idris murka dan bernazar tidak akan mencukur janggut dan jambangnya selagi Ghazali tidak berhenti menjadi MB dan untuk beberapa ketika baginda tampil di khalayak dengan keadaan berjangut dan berjambang sebagai menzahirkan kemurkaan baginda.
Ghazali meletakan jawatan sebagai MB Perak hanya setelah dinasihati oleh Presiden UMNO ketika itu (Tun) Hussein Onn pada 1977.
Sejurus lepas perletakkan jawatan tersebut, barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak.
Sekiranya tindakan Datuk Seri Nizar itu dikatakan sebagai 'derhaka' berikutan daripada suratnya kepada Tuanku Sultan yang menyebut 'sembah derhaka' (istilah istana yang sebenarnya membawa maksud tidak bersetuju), tindakan Tan Sri Ghazali dan juga Pemuda UMNO sepatutnya dikategorikan sebagai 'maha derhaka' kerana menyebabkan Sultan murka dan bernazar supaya Ghazali berhenti daripada menjadi MB Perak ketika itu.

RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH

Memang adat orang Melayu yang menyanjung tinggi Raja-raja Melayu, tetapi mesti kita ingat, Raja juga seorang manusia seperti kita, yang mana makan pakainya (gaji & elaun) diterima daripada hasil negeri (senang cerita wang rakyat). Baginda bukanlah seorang yang maksum yang perlu diturut segala titahnya. Perlu diingatkan, Allah swt memberikan kita akal dan hati untuk kita menilai sendiri kewajaran menjadi pak turut 100% terhadap institusi beraja sekiranya sesuatu situasi itu berlaku bagai dianaktirikan oleh mereka.

والله أعلم بالصواب

Bandar Seri Putra, Bangi

090223M-1629

21 February 2009

Rancang Sebelum Berjalan

"Rancanglah perjalanan anda. Semoga selamat tiba ke destinasi"

Pesanan seperti ini acap kali dipesan, diiklan dan diungkapkan setiba menjelangnya musim pulang ke desa. Tetapi berapa ramaikah di kalangan kita yang merancang setiap perjalanan kita?Sebelum barat mengeluarkan atau mencipta teori berkaitan dengan masa, Islam terlebih dahulu mendidik umatnya menguruskan masa dengan lebih teratur. Salah satu methode yang digunakan ialah solat. Seorang Muslim yang berdisiplin dengan masa akan cuba mengawalkan solatnya setiap kali masuknya waktu solat dan berasa bersalah sekiranya cuba melengah-lengahkannya tanpa alasan yang munasabah.

Allah s.w.t. sering bersumpah di dalam al-Quran dengan masa; وليال عشر (demi 10 malam), واليل إذا سجى (dan demi malam yang sunyi sepi) dan menukilkan nama-nama masa sebagai nama surah; الدهر (nama lain bagi surah الإنسان-masa), الواقعة (peristiwa besar), العصر (masa), الفجر (waktu fajar), الضحى (waktu dhuha). Ini menunjukkan Islam sememangnya menekankan soal pengurusan masa.
Tetapi pernahkah kita perhatikan;
ADAKAH KITA MENGAMBIL BERAT TENTANG MASA KEHIDUPAN KITA?

Di sini saya mengambil satu skop pengurusan masa, melalui pengurusan perjalanan. Bagaimana kita menguruskan perjalanan kita supaya kita dapat tiba ke satu tempat yang dituju dengan memenuhi beberapa kretiria di bawah:
1. tiba on time, ataupun sebelum waktu yang telah ditetapkan;
2. perjalanan yang dilalui tidak tergesa-gesa;
3. pemanduan yang berhemah (sekiranya memandu atau menunggang sendiri);
4. dapat berhenti rehat di beberapa checkpoint seperti RnR (sekiranya berkenderaan sendiri) atau di mana-mana pusat rehat (seperti restoran sekiranya menggunakan pengangkutan awam);
5. meminimakan seminima mungkin belanjawan untuk perjalanan;
6. tiba dengan selamat.

Cuba perhatikan contoh yang diberi ini. Abu ingin pergi ke Kompleks Kerajaan di Jalan Duta daripada Bandar Seremban. Dia berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan awam sebagai medium perantaraan ke sana.

Setibanya di stesen komuter Seremban, Abu membeli tiket ke stesen Putra kerana pernah ketika dahulu, kawannya, Ali menghantarnya ke situ daripada Jalan Duta.

Setibanya di Stesen Komuter Putra, Abu kemudiannya terpinga-pinga. Dia kemudiannya ternampak bangunan PWTC dan berfikir mungkin ada bas transit ke Jalan Duta yang berhenti di sana. Tanpa berlengah, dia terus melangkahkan kaki ke sana.

Setibanya di hadapan PWTC, Abu terus menunggu bas dengan harapan banyak bas ke Jalan Duta yang melalui hadapan bangan PWTC itu. Sangkaannya hampa. Daripada jam di tangan menunjuk angka 10 sehingga melewati waktu zohor, dia langsung tidak melihat walau sebuah bas yang menuju ke Jalan Duta. Akhirnya Abu terpaksa menahan sebuah teksi kerana tidak lagi sanggup menunggu bas bagai menunggu kucing bertanduk.

Perhatikan keadaan ini. Abu sememangnya tidak mengetahui selok-belok keadaan di Kuala Lumpur. Bagaimana dia boleh terus yakin yang dia boleh tiba di Kompleks Kerajaan Jalan Duta awal sedangkan dia tidak pernah ke sana dengan public transport?

Pada saya, terdapat route yang lebih mudah. Abu sepatutnya turun di stesen KL Sentral dan kemudiannya mengambil bas ke Kompleks Kerajaan Jalan Duta di Level G. Bas ke sana juga tidak sesekerap bas-bas transit lain di mana Abu perlu mengetahui kekerapan masa perjalanan bas itu.

Perkara ini sebenarnya boleh dirancang dengan bertanya kepada mereka yang mengetahui selok-belok perjalanan pengangkutan awam di ibu kota ini. Sekiranya Abu lebih terkehadapan, dia sepatutnya terlintas untuk surf ke http://www.rapidkl.com.my untuk mendapatkan sedikit maklumat perjalanan di KL.

Dalam hal ini, kesalahan Abu mungkin boleh dimaafkan kerana dia sendiri tidak mengetahui bagaimana cara untuk ke Jalan Duta. Cuba kita perhatikan contoh berikutnya.

Ahmad perlu menghadirkan diri ke satu temuduga jawatan kosong di Bandar Tampin. Dia kini menetap di Selayang dan mahu ke Tampin dengan memandu sendiri kereta Kancilnya.

Ahmad sememangnya mengetahui lokasi temuduga itu kerana kerap ke Tampin. Dia begitu yakin mampu tiba 30 min sebelum waktu temuduga yang bermula tepat jam 9 pagi.

Malangnya, Ahmad tiba lewat 2 jam dan dia secara otomatiknya direject permohonannya kerana dikatakan tidak menepati waktu.

Dalam perjalanan, kita usah berfikir yang kita mampu tiba tepat pada waktu yang kita bayangkan. Sekiranya perjalanan mengambil masa 2 jam, kita tidak boleh bertolak tepat jam 2 petang sekiranya kita mahu tiba sebelum jam 4 petang, walaupun kita memecut laju daripada selalunya!

Cuba kita lihat kebarangkalian yang berlaku sepanjang perjalanan kita.
1. Kesesakan lalulintas akibat daripada kemalangan, penutupan jalan, bencana alam seperti ribut (pokok tumbang) dan banjir (jalan tenggelam) dan sebagainya.
2. Tren atau bas delay bagi yang menggunakan public transport. Ini selalu berlaku kepada perkhidmatan KTM Komuter yang kita sendiri tidak mengetahui penghujungnya.
3. Kecuaian kita sendiri kerana tersalah jalan atau tersalah naik tren/bas.

Kita sendiri perlu mengatur masa perjalanan kita agar kita tidak lewat ataupun tergesa-gesa dalam perjalanan kita. Sikap tergesa-gesa ini boleh menjadikan kita lebih agresif dan akhirnya boleh menyebabkan diri kita terdedah kepada kebarangkalian untuk terlibat dengan kemalangan jalan raya (نعوذ بالله من ذلك).

Pengurusan masa perlu dalam mengatur perjalanan perjalanan yang santai. Kita sendiri sememangnya ingin ke sesuatu tempat dan mempunyai masa yang panjang sebelum masa akhir. Kita sepatutnya meluangkan sedikit masa untuk merancang perjalanan dengan memikirkan beberapa perkara yang mungkin terjadi dan menyiapkan seberapa banyak backup terhadap perkara-perkara yang difikirkan itu supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

Kecewa, perancangan kawan silap...

Hulu Klang, Gombak
090221A-1343

15 February 2009

Ujian Buat Ilmu

Minggu ini masuklah minggu pertama final exam. Masing-masing sibuk mula bersiap dengan study masing-masing, menyiapkan assignment yang tertunggak atau yang masih berbaki, berjumpa dengan lecturer masing-masing untuk sesi konsultasi dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan peperiksaan. Saya pula sibuk mencari duit untuk membayar yuran yang agak mahal.

Berbicara pasal exam, saya teringat semula artikel yang saya terbitkan sebelum ini, 'CGPA 4.00 Hanya Atas Kertas'. Sebelum itu, mari kita sama-sama membetulkan niat kita dalam menuntut ilmu, lillahi Ta'ala.
Ya Allah! Bagaimana mahu ditetapkan hati agar tidak leka dengan mainan dunia melalui ilmu? Sejak dulu lagi, kita dididik dengan metarial sehinggakan kita dimomokkan dengan kata-kata ini: "Belajar tinggi-tinggi. Bila dah besar, dapat kerja bagus-bagus." Saya turut tidak terlepas daripada sistem didikan sebegini. Alhamdulillah. Apa yang saya peroleh kemudiannya membetulkan pemikiran supaya belajar kerana ilmu-Nya, belajar kerana barakah-Nya. Insya-Allah, Dia pasti akan membantu kemudiannya.

Ucapan terima kasih kepada tok-tok guru saya yang seringkali mengingatkan saya tentang bahayanya ujian terhadap ilmu ini. Terutamanya Ustaz Imran, Ustaz Shaharuddin Saad, Ustaz Shaharuddin Pangilun, Ustaz Ramly dan yang lain. Mereka seringkali mengingatkan saya agar tidak terpengaruh dengan dunia yang bersifat fatamorgana, yang hanya bayang-bayang!

Cuma masih lagi sukar untuk diubah cara tersebut, walaupun kita sebagai seorang penuntut ilmu agama! Dalam era metarialistik ini, memang sukar untuk kita mengubah cara pemikiran sebegini. Sehinggakan kita terpaksa menjadikan matlamat dunia itu sebagai alat dalam kita menetapkan qasad kita belajar 'lillahi Ta'ala'. Walaupun ia dibenarkan, ia sebagai alasan kita belajar mengikut arus sistem pembelajaran kini, tetapi ini menunjukkan betapa lemahnya pegangan kita sehinggakan terpaksa menjadikan matlamat dunia itu sebagai jambatan kepada Tuhan!

Tidak saya tujukan kepada mana-mana pihak sedangkan secebis daripada pemikiran ini turut meresap dalam diri saya sendiri. Cuma ia sebagai satu jenis kesedaran buat kita agar lebih menumpukan usaha menuntut ilmu itu bermatlamatkan Tuhan, bukan bermatlamatkan dunia.

والله أعلم بالصواب

Buat sahabat-sahabatku, semoga berjaya menjawab exam dengan cemerlang dan jangan diabaikan Allah sebagai pemilik ilmu-ilmu yang kita peroleh selama ini. Amien.

Masih bertuhankan Tuhan...

Bandar Seri Putra, Bangi
0132 090215

09 February 2009

Lambaian Port Dickson III - Perpisahan

Ahad petang, ada sedikit sukaneka. Geli bebenar rasa di hati. Ada ke patut saya diklasifikasi sebagai kanak-kanak? Dua acara saya masuk dan satu daripadanya saya mendapat tempat ketiga, acara 'Mak Minah Pulang Petang'. Caranya mudah, kepit belon berisi angin dicelah-celah kelangkang, kemudiannya berjalan sehingga ke penghujung. Selepas sampai, belon tersebut diarahkan supaya dipecahkan.
Memang dilepaskan sehabis-habisnya. Mood pada asalnya 'mendung' menjadi 'cerah' menjadi kesan daripada menyertai acara ini.

Mulut tak henti-henti ketawa apabila melihat gelagat Pak Cik Rahim. Dia suka mencalit-calitkan tepung jagung ke muka-muka peserta, terutamanya peserta kanak-kanak, anak Pak Cik Azhar, anak Pak Cik Sarbini, semua sekalilah. Saya juga tidak terkecuali. Reaksi mereka pelbagai. Ada yang geram dan ada juga yang buat counter-attack. Memang tidak kering dengan tawa melihat gelagat masing-masing.

Sukaneka kemudiannya disudahi dengan acara penyampaian hadiah oleh Encik Sarbini sendiri selaku orang yang paling besar, Encik Bakri yang paling senior, dan Encik Yusuf, mantan ketua jabatan. Masa ini turut menggelikan hati melihat pak cik-mak cik yang mengambil hadiah. Nama pun sukaneka, pastinya masing-masing menyerlahkan kegembiraan masing-masing dalam mengambil peluang dalam penyertaan aktiviti.

Jam kemudiannya menunjukkan jam 1730. Hati ini masih dalam delima, ke swimming pool ataupun tidak. Akhirnya, saya pergi juga 'mencelup-celupkan' kaki dalam air biru itu. Kolam itu memang dalam, sedalam 5 kaki. Saya masuk ke dalamnya, hanya kepala sahaja di atas air manakala dari leher hingga ke kaki, semuanya tenggelam. Saya lihat anak-anak Pak Cik Azhar dan Pak Cik Sarbini, semuanya tidak ketinggalan daripada mandi dan berenang-renang dalam swimming pool itu. Cuma satu sahaja, mereka dah kali ketiga berenang, saya baru cuba masuk merasainya petang itu.

Malam itu, kami sekeluarga keluar jalan-jalan melihat sekitar Pekan Batu 8, Teluk Kemang sambil-sambil berjalan-jalan mencari makan. Memang banyak kereta lalu lalang sekitar jalan besar. Kami kemudiannya singgah ke sebuah restoran seafood. Memang ramai orang yang datang menjamu selera. Pada mulanya, kami sangka makanan di situ sedap-sedap belaka, rupa-rupanya tidak. Kami tertipu dengan jumlah pelanggannya sahaja.

Esok paginya, Isnin, kami sambung aktiviti 'physical fitness' dengan aktiviti 'Rimau Tangkap Kambing'. Macam mana cara mainnya? Tidak perlulah saya nak detailkan. Yang pastinya, Pak Cik Rahim masih dengan gelagatnya, menggelikan hati. Ketika dia menjadi rimau yang mahu melepasi 'pagar-pagar', dia bagaikan kering akal. Dia menggunakan cara yang agak 'melampau' tetapi menggeletek hati kami semua. Pak Cik Azhar sebelum itu menggunakan keupayaan melompatnya dalam melepasi 'pagar-pagar' yang mengawal keselamatan 'kambing' di dalamnya.
Aktiviti 'Physical Fitness' ini bukan sekadar menyihatkan badan tetapi juga memberikan kami input-input dalam bermasyarakat.

Dalam saki-baki masa yang berbaki, saya menghabiskan masa bergurau dengan Along, Angah, dengan Fakhrul. Angah seorang yang nakal dan panjang akal. Ada suatu ketika itu, dia kenakan 'ibik'nya, menakut-nakutnya. Geli hati dibuatnya. Dan sebelum kami berpisah atau dalam erti kata lain, pulang ke rumah masing-masing, kami sempat bergambar tanda kenang-kenangan. Memang lumrah kehidupan, setiap yang bertemu pasti akan berpisah. Insya-Allah, bak kata Ustaz Hamzah dalam kuliahnya ketika family day ini, Semoga kita menjadi keluarga yang senantiasa menolong ahli keluarganya yang lain ketika dalam kesusahan.

Dalam kenangan...
Batu 7 ½, Teluk Kemang, Port Dickson
1325 090209

08 February 2009

Lambaian Port Dickson II - Hari Kedua

Malam tadi, ada sedikit tazkirah selepas solat jama' Maghrib-Isyak oleh Ustaz Hamzah, Pengerusi Surau at-Taqwa Sentul. Tazkirah ringan-ringan je. Kemudian makan malam. Fuh, memang seronok, meriah dan kecoh!

Habis makan, apa lagi, balik rumah masing-masinglah. Family kami share rumah dengan Pak Cik Azhar. Asalnya kami share dengan Pak Cik Rahim, tetapi ada seorang ni minta family dia dengan Pak Cik Rahim. Tidak mengapalah. Sesiapa pun boleh. Pak Cik Azhar pun saya rapat, family saya rapat. Kalau tidak pun boleh dirapat-rapatkan.

Kemudiannya, esoknya seperti biasa, kami Subuh berjemaah. Ada yang tanya, Subuh jama' ke? Nak jamak pukul berapa? Pukul 8 pagi? Tidak tahulah sama ada sengaja bergurau ataupun tidak. Husnuz zhon sahajalah.

Pagi, sekitar jam 9, kami ada sedikit apa yang dipanggil 'fizikal fitness'. Kemudian ada sedikit aktiviti yang menguji minda kita dan memberikan sedikit pengajaran kepada kita tentang perpaduan melalui game itu. Yang pastinya, kedua-dua game tersebut, kumpulan lelaki kalah... Hehehe... Buat malu sahajalah.

Tengah hari kemudiannya, aktiviti bebas. Anak Pak Cik Azhar terus salin baju untuk dive. Saya ni, masih dalam dilema memilih untuk ke swimming pool ataupun tidak... Hanyutan dilema itu akhirnya membuatkan diri terlena...

Dalam dilema...

Teluk Kemang, Port Dickson
1519 090208

07 February 2009

Lambaian Port Dickson I - Ketibaan


Alhamdulillah. Hari ini saya ke Teluk Kemang, Port Dickson. Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki saya ke daerah ini. Pelik bukan? Tetapi itulah realitinya. Saya tidak pernah menyampuk borakan sesiapa yang berbicara tentang keindahan dan keistimewaan mahupun kekurangan Port Dickson. Apa tidaknya, suasananya jauh dari pandangan apatah lagi tanahnya daripada dipijak.

Bukan saya berseorangan, bukan hanya sekeluarga, tetapi secara rombongan. Manakan mahu ayah keluar melancong, tetapi disebabkan penginapan ini mendapat 'tajaan', maka diikutkan sahaja. Saya sendiri pada asalnya berfikir panjang. Saya sebenarnya telah mengisi nama untuk menghadirkan diri ke seminar 'Islam Hadhari' di Universiti Malaya. Bukan kerana saya menyokong Gagasan Islam Hadhari itu, tetapi saya melihat kepada tajuk pembentangan kertas kerja itu yang bersifat global dan menyentuh isu-isu semasa.

Rombongan kami berkumpul di RnR Seremban. Dari situ, kami bergerak secara konvoi. Alhamdulillah, kami akhirnya tiba di tempat penginapan kami, Kemang Indah, 5 minit jalan kaki dari pantai.

Badan rasa kurang selesa. Khuatir sebab takut demam seperti yang berlaku ketika PKBM (Program Kembara Bersama Mentor) minggu sudah. Moga-moga Allah memberikan kesihatan sehingga selesai final exam minggu hadapan, Amien.

Seperti biasa, saya suka benar mengambil bahagian dalam perbincangan. Pak Cik Sarbini (bekas boss ibu saya dulu), Pak Cik Rahim, Pak Cik Azhar, yang selebihnya saya tak tau nama... Kalau masing-masing dah bertemu, alamatnya berbicara tentang KTMlah, apa lagi.

Daripada isu kepincangan pengurusan, sehinggalah dikaitkan pembinaan sistem double-track di Perak oleh MMC, YTL, Gamuda dengan anakanda Sultan Perak yang kemudiannya dikaitkan dengan rampasan kuasa, semuanya dibincangkan. Entah macam mana, daripada isu kehilangan tanah KTM di Singapura yang sepatutnya menjadi hakmilik KTM dan Kerajaan Malaysia selama 900 tahun lagi kini tinggal 2-3 tahun untuk dirampas oleh kerajaan Singapura, kemudiannya menjadi perbincangan politik, khususnya di Perak.

Cerita pasal Perak, sebenarnya ada seorang sahabat saya, seorang ahli UMNO. Mungkin Putera UMNO kot. Dia tanya, kenapa saya tidak menulis tentang isu di Perak? Tidak tahulah hasratnya di hati sama ada mahu menyindir ataupun bukan. Saya tidak gemar menyelak apa yang terjadi di negeri jiran. Biarlah saya menulis apa yang terjadi di negeri tempat saya menuntut dan menetap sahaja dan menyerahkan kepada kepimpinan yang bijaksana menyelesaikan setiap kemelut yang berlaku.

Rasa saya tidak perlulah saya mendetailkan apa yang dibincangkan. Eloklah sekadar saya sahaja yang tahu. Kalau ditulis, ada yang tidak setuju. Saya tidak faham apa yang tidak disetujuinya, bukankah ini blog saya? Saya berhak mengarang apa yang saya rasa patut dikarang, bukan?

Sekarang saya sedang tunggu, apa program yang akan saya lakukan selepas ini? Nak mandi swimming pool, seganlah pula. Ramai kanak-kanak daripada orang tua. Biarlah saya bermandi dalam mimpi sahaja...

Masih menunggu...

Teluk Kemang, Port Dickson
1845 090207

01 February 2009

PKBM - Melabuh Tirai

Alhamdulillah. Selesai juga program ini. Walaupun hati ini bercampur-baur antara suka, duka dan sebagainya, tetapi yang paling penting, kekalkan tali persahabatan antara kita. Mudah-mudahan kita akan bertemu lagi.

Bermula daripada pagi, 'Slot Bersama Mentor' yang banyak memberikan pengajaran terhadap kami, disusuli dengan 'Aktiviti Flying Fox', kemudiannya 'Tazkiyyatun Nafs', diikuti '1001 Kemesraan, 1001 Kenangan' yang banyak menyentuh hati budi masing-masing, dan aktiviti yang terakhir pada sebelah pagi keesokan harinya, 'Jungle Trekking', saya puas menghabiskan sisa-sisa masa bersama sahabat-sahabat semua. Di sini jugalah saya meluahkan kebolehan dan kemampuan saya meng-conduct biro protokol, tetapi saya tidaklah sesempurna manusia lain yang mampu memimpin dan membawa kepimpinan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Maafkanlah diri sekiranya terdapat sebarang kesulitan dan kesilapan.
Semoga Allah 'Azza Wa Jalla merahmati kamu semua. Ingat diriku dalam doa kalian.

Sungai Chongkak, Hulu Langat