Semalam, saya baru sahaja menonton filem terbaru keluaran Columbia Pictures, The Karate Kid arahan Harald Zwart. Cerita yang durasinya lebih dua jam ini banyak diselitkan nilai-nilai murni dan moral, sesuai ditonton bukan sekadar untuk bersantai dan berhibur malah sarat dengan pengajaran.
Cerita The Karate Kid bermula apabila Sherry Parker dan anak lelakinya, Dre berpindah kerja ke China dari Detroit. Dre yang berumur 12 tahun lebih selesa tinggal di Detroit kerana menyangka kehidupan di China mundur dan prasarana yang kurang selain mempunyai ramai kenalan di Detroit.
Setibanya Dre dan ibunya tiba di Beverly Hill Luxury Apartment, kediaman barunya di China, Dre jatuh cinta dengan seorang budak tempatan, Mei Ying ketika sedang bermain di sebuah kawasan riadah berhampiran rumah barunya. Keadaan tersebut membuatkan seorang budak lelaki, Cheng yang juga seorang penuntut kungfu berang lalu membelasah Dre.
Dre sering dibuli Cheng dan kawan-kawannya. Kali terakhir Dre dibelasah, Dre diselamatkan oleh seorang tukang penyelenggara, Han. Han menumpaskan Cheng sehingga mereka semuanya berundur. Dre pernah bertemu Han sebelum ini tetapi tidak menyangka orang tua tersebut adalah seorang yang mahir dalam berkungfu.
Untuk membantu Dre, Han bersua dengan guru kungfu Cheng, Master Li bertujuan untuk berdamai, tetapi malangnya Master Li mencabar untuk bertarung dengan anak didiknya. Han pada asalnya menolak tetapi terpaksa menerima dengan syarat, perlawanan tersebut digantikan dengan penyertaan Dre dalam Kung Fu Tournament.
Mahu tidak mahu, Han terpaksa mengajar Dre ilmu kungfu yang dimilikinya, sesuatu yang belum pernah dia lakukan sebelum ini.
Dre berhadapan dengan beberapa siri kesusahan dan kepayahan selain daripada kaedah yang pelik (pada asalnya) ketika mempelajari kungfu daripada Han.
Akhirnya, Dre memasuki kejohanan tersebut dan bertemu Cheng pada peringkat akhir. Sebelum itu, Dre dibelasah teruk oleh seorang anak murid Master Li sehingga kakinya cedera teruk. Walaubagaimanapun, Dre tidak patah semangat untuk terus berhadapan dengan satu bentuk ketakutan dalam dirinya dan berusaha bangkit bagi membuang ketakutan tersebut dengan cara menewaskan Cheng. Dengan cara itu, Dre pasti tidak akan lagi menjadi mangsa buli terutamanya daripada dibuli Cheng.
Dengan semangat yang dimilikinya, Dre akhirnya berjaya menjuarai kejohanan tersebut. Pasukan Dragon Fighting yang dididik Master Li kemudiannya memberi penghormatan kepada Han kerana satu-satunya anak murid didikannya berjaya menjuarai kejohanan tersebut sambil diperhatikan oleh Master Li dengan penuh kekecewaan dan geram dari jauh.
Banyak moral dalam filem ini. Antaranya, Han mengajar Dre tentang penggunaan kungfu adalah untuk kedamaian, bukannya untuk bergaduh seperti yang diajar Master Li. Sebaik-baik mereka yang terlibat dengan pergaduhan adalah mereka yang berusaha menghindarkannya.
Selain itu, mereka yang gagal diberi dua pilihan, sama ada mahu terus terbaring kegagalan ataupun berusaha untuk bangkit dari kegagalan.
Kalau ada kesempatan, tonton sendirilah cerita ini, perjalanan kehidupan Dre bermula dari berpindah sehinggalah menjuarai kejohanan kungfu.
SRA Desa Putra, Bangi SDE
No comments:
Post a Comment