Saya, dengan penuh kebingungan, akan memulakan tugas saya sebagai seorang tenaga pengajar di SRA Desa Putra. Dengan tiada langsung pengalaman mengajar, saya tertanya-tanya, bagaimana saya boleh berhadapan dengan murid-murid khususnya darjah lima yang agak hyperactive selain kurang mendengar arahan daripada saya?
Mudah-mudahan, Allah memudahkan tugas saya dalam membina sahsiah dan mengasuh anak bangsa dalam mengenal agama-Mu ini.
Mengajar, mengajar juga. Perancangan masa hadapan harus dipertimbangkan. Adakah saya harus terus menjadi seorang guru ataupun saya harus keluar daripada skop kerja makan gaji? Itu yang sedang difikirkan. Setelah apa yang pernah berlaku sebelum ini, saya harus lebih berhati-hati dalam memastikan perancangan masa hadapan akan lebih teratur dan yang paling penting, berada dalam landasan yang betul serta mengikut apa yang dirancangkan.
Bak kata Ustaz Ariffin [klik]: "Yang lepas tu lepas." Barang yang berlalu tak usah dikenang. Tindakan yang seharusnya diambil ialah menjadikan apa yang berlalu itu sebagai pengajaran dan guideline kepada kita dalam merencana kehidupan yang lebih sempurna.
Firman Allah swt:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.
AQ 29:2-3 [klik]
Ujian sebelum ini mengajar saya erti 'pengkhianatan' sebenarnya, walaupun apa yang berlaku bukanlah satu bentuk pengkhianatan secara kasar. Pentarbiyyahan yang Allah berikan mengajar saya agar tidak meletakkan kebergantungan kepada manusia kerana sesungguhnya manusia itu pastinya akan 'pergi', pergi dalam konteks mengkhianati perjanjian, pergi kerana mempunyai komitmen lain, pergi menghadap Ilahi, dan sebagainya.
Itulah manusia. Jika pemergian itu atas faktor tidak mempunyai apa-apa pilihan, itu boleh lagi dimaafkan. Bagaimana pula pemergiannya semacam memungkiri segala apa yang telah dipersetujui bersama?
Saya masih mengharapkan agar sebuah pintu dibuka dan segala bentuk 'pengkhianatan' dijauhkan. Semoga Allah mengabulkan permintaanku ini.
Ujian hidup sebenarnya baru bermula. Apa yang berlaku sebelum ini hanya peringatan daripada Tuhan agar saya lebih berhati-hati on making the right decision. Apa yang penting, saya perlu hadapi dahulu 'rintangan' anak-anak murid yang agak menyerabutkan otak. Harap-haraplah saya mampu menjadikan mereka bagai adik sendiri, tidak perlu ditengking-tengking, tidak perlu dimarah-marah.
Ujian sebenarnya baru sahaja bermula... Fikirlah bagaimana mahu menghadapinya.
Taman Permata, Hulu Kelang SDE
No comments:
Post a Comment