HMP Greenock di Scotland |
Seorang manusia yang dibuktikan oleh segala bukti bahawa dirinya tidak bersalah, tidak akan dihukum penjara.
Sebaliknya dia akan ditahan di dalam tahanan tanpa had masa.
Azabnya besar kerana tidak mempunyai had masa untuk dihitung.
Demikian penyeksaan yang dikenakan ke atas Yusuf, hasil konspirasi wanita berkuasa besar (Imra’ah al-'Aziz), isteri kepada Menteri Utama Mesir yang lemah lagi dayus itu.
Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (bahawa Yusuf terbukti tidak bersalah), mengkehendaki Yusuf dipenjarakan hingga ke suatu masa.
AQ 12: 35
SENTIASA BERGUNA
"Aku bermimpi yang aku memerah anggur," kata seorang banduan.
"Aku pula bermimpi menjunjung sebuku roti di atas kepala, kemudian roti itu dimakan burung dari atas kepalaku," kata seorang banduan yang lain.
Dua pekerja istana terhumban ke penjara.
Mereka berdua bersama-sama bertemu dengan Yusuf di dalam tahanan. Perancangan Allah yang amat teliti di sebalik musibah yang berlaku.
Yusuf menjadi tahanan tanpa bicara. Tetapi itu tidak mematahkan semangatnya. Beliau tidak menjadi murung. Jati dirinya tinggi dan kekal seperti biasa.
“Takwilkanlah mimpi kami, sesungguhnya kami melihat engkau sebagai orang yang baik-baik,” kata banduan berdua itu tadi.
Peribadi Yusuf meyakinkan. Justeru mereka meletakkan kepercayaan kepadanya.
Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur." Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan tadbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)."
AQ 12: 36
ASAS MELETAKKAN KEPERCAYAAN
Seseorang menampakkan kebergantungannya kepada kita, ia adalah satu peluang.
Peluang untuk menjadikannya hamba. Peluang untuk memperalatkannya atas kepercayaan yang diberi.
Tetapi Yusuf mahu mereka mempercayainya atas asas yang betul. Jangan mudah-mudah mahu percaya kepada sesiapa sahaja yang kelihatannya baik.
Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari Akhirat."
AQ 12: 37
"Permintaan itu tidak sukar buatku. Bukan sahaja mimpi itu, malah aku juga boleh menerangkan tentang nama dan jenis makanan yang bakal dihidangkan kepada kamu sebelum ia sampai," Yusuf menerangkan kompetensi yang ada dirinya untuk memenuhi permintaan dua banduan itu.
Dari manakah datangnya kemahiran itu?
Apakah ia sihir?
Atau silap mata?
"Demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku!" demikian Yusuf menjelaskan.
Mereka ber'tuhan'kan Raja yang memerintah Mesir.
Yusuf berTuhankan Allah.
Tuhan yang mengajarnya segala kelebihan ini. Tuhan yang disanggah oleh arus perdana.
"Namun aku berada di dalam tahanan ini, kerana sesungguhnya aku meninggalkan cara hidup dan kepercayaan kaum di luar sana yang tidak beriman dengan Allah dan dengan Hari Akhirat pula, mereka itu sangat mengkufurinya!" Yusuf memperkenalkan siapa dirinya.
Kamu adalah apa yang kamu percaya.
Jika banduan itu mahu mendengar takwil mimpi mereka daripada Yusuf, beliau adalah seorang insan yang begini latar belakang dan kepercayaannya.
BUKAN BENDA BARU
Jangan terkejut.
Apa yang Yusuf nyatakan itu bukan benda baru. Seruannya bukan kepada mengajak dua banduan itu mencuba sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah legasi yang kalian sendiri sudah melupakannya. Bahawa kita sebenarnya sebahagian daripada tinggalan itu.
"Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."
AQ 12: 38
"Agamaku bukan agama kaum di luar sana. Itu agama 'baru'. Agamaku adalah agama bapa dan datuk nenekku iaitu agama Ibrahim, Ishaq dan Yaaqub," Yusuf memberi penerangan.
Manusia boleh menepis hujah lain.
Tetapi manusia tidak boleh menyanggah sejarah. Jika terbukti ia berlaku di dalam sejarah, apa sahaja yang dicatat oleh sejarah, manusia perlu akur menerima.
Demikianlah Yusuf membentangkan 'track record' beliau kepada dua banduan itu.
Beliau meneruskan apa yang pernah dibawa oleh Ibrahim, Ishaq dan Yaaqub.
"Janganlah kita mensyirikkan Allah dengan segala sesuatu," itu intipatinya.
Hasilnya, sebuah kehidupan yang berpaksikan Tauhid adalah kehidupan yang menganugerahkan 'sense of equality' yang tulen kepada manusia. Dalam suasana hidup bertunjangkan kesamarataan, manusia mengecapi peluang yang sama di dalam kendalian sosial, politik dan ekonomi. Ia adalah sebuah kehidupan yang bagus.
"Demikian itu adalah nikmat kurniaan Allah ke atas kita dan sekalian manusia. Tetapi kebanyakan manusia itu tidak bersyukur!" simpul Yusuf kepada dua banduan itu tadi.
PELUANG DAKWAH
Mereka terus setia mendengar dakwah Yusuf. Kesetiaan mendengar taujihat itu adalah di atas dua kekuatan.
Kekuatan pertama adalah kerana mereka berhajatkan kepada kemahiran Yusuf menakwilkan mimpi. Kemahiran yang menjadikan Yusuf itu diperlukan.
Penting sekali untuk pendakwah menjadikan diri mereka sebagai kelompok yang diperlukan oleh masyarakat. Di samping dakwah yang mahu disampaikan, kemahiran yang ada menjadikan masyarakat perlu kepada kehadiran mereka. Terjemahannya kepada kehidupan semasa, pendakwah jangan hanya mempunyai seruan dakwah, semata-mata. Mereka sepatutnya mempunyai kelebihan-kelebihan yang 'menimbulkan kebergantungan' masyarakat kepada perkhidmatan yang diberi.
Jika di kampus, hendaklah kelompok pendakwah itu menjuarai akademik agar bimbingan akademik dan strategi kecemerlangan perlu dipelajari daripada mereka. Pendakwah itu adalah kelompok penting dalam wujud di kampus. Justeru kehadiran mereka melegakan. Ketiadaan mereka menggusarkan. Kebergantungan itu membolehkan cakapnya lebih didengar.
Bayangkan jika pendakwah itu menyeru kepada sesuatu yang orang tidak suka, dalam masa yang sama pendakwah itu juga adalah liabiliti kepada masyarakatnya. Bukan aset!
Sukar sekali cakap kelompok liabiliti mahu didengar.
Jika di dalam masyarakat, pendakwah itu wajar menjuarai kerja-kerja kemasyarakatan. Memberi khidmat bimbingan. Mempelopori bantuan-bantuan kemanusiaan. Supaya kehadiran mereka menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan.
Dengan kelebihan itu, pendakwah melengkapkan strategi ini dengan menjadi manusia proaktif yang sentiasa mengambil peluang untuk berdakwah.
"Sebelum aku berikan kepada kamu apa yang kamu minta dan apa yang kamu perlu, dengarkan sedikit pesanan ini!" demikian bahasa seorang pendakwah.
Mungkin di hospital.
Mungkin di pusat-pusat khidmat masyarakat.
Di mana-mana sahaja.
Kekuatan yang kedua pada dakwah Yusuf pula, adalah pada integriti dan latar belakangnya. Segalanya diungkap dengan jelas bahawa banduan berdua itu tidak salah pada meletakkan kepercayaan kepadanya.
Seandainya kalian mahu mempercayai seseorang yang lain, hendaklah kalian memeriksa tentang dirinya pada apa yang telah Yusuf perjelaskan tentang kredibiliti dirinya.
PROVOKASI MINDA
"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang Tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?"
AQ 12: 39
Kita sudah tidak punya orang lain. Hanya kita di sini.
"Duhai rakan sepenjaraku!" demikian Yusuf memanggil dua rakannya tersebut.
Panggilan yang menimbulkan rasa kebersamaan. Senasib, sebumbung, sedinding.
"Memuja dan menyembah berbilang-bilang Tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?" demikian Yusuf melontarkan provokasi minda.
Bagaimanakah kehidupan yang bertuhankan ramai pihak yang saling berkuasa sama yang besar? Tuhan-tuhan yang saling membatalkan kehendak tuhan yang lain, tuhan yang berbantah-bantah. Mampukah kita bayangkan dunia ini punya tuhan lebih dari Satu?
Berdakwah dengan soalan, menyihatkan proses berfikir yang mungkin sekian lama sudah ditinggalkan.
SEGALANYA HANYA REKAAN MANUSIA
"Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
AQ 12: 40
Kamu biasa dengan nama-nama yang pelbagai itu.
Tuhan batu.
Tuhan palsu.
Hatta Raja yang dianggap Tuhan itu.
Semuanya adalah rekaan kamu sendiri.
Atau yang kamu warisi daripada nenek moyang kamu.
Sedangkan tidak pernah datang sebarang bukti tentang kebenaran sangkaan kamu terhadap tuhan-tuhan itu.
Seperti ungkapan Syair Arab:
أربٌّ يبول الثعلبان برأسه
لقد ذلَّ من بالت عليه الثعالب
Tuhankah yang si musang kencing di kepalanya itu?
Hinalah sesiapa sahaja yang menjadi mangsa kencingan musang!
Tuhankah dia jika dirinya mampu dihina oleh makhluk seperti musang?
"Sedang hakikatnya, yang berkuasa dan berhak diabdikan diri kepadanya, hanyalah Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul!" Yusuf merumuskan Tauhid sebagai intipati utama seruan dakwahnya.
"Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui," demikian realiti berbicara.
Pelbagai ilmu dicari.
Ilmu mengukuhkan Tauhid dan menjelaskan Ketuhanan ditinggalkan.
Lalu sesatlah kebanyakan manusia dalam sangkaan diri mereka.
Sangkaan yang diangkat menjadi kepercayaan.
TAKWILAN MIMPI
Setiap detik Yusuf manfaatkan untuk Tabligh.
Menyampaikan hakikat Tauhid ketika keadaan kondusif untuk ia disampaikan.
Dua anak muda itu setia mendengar, lalu Yusuf setia memperdengarkan.
Namun tanpa dileret-leretkan penjelasan, Yusuf segera memenuhi tujuan asal yang membentuk perbualan mereka.
"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): ada pun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan disalib, serta burung pula akan makan dari kepalanya.Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu."
AQ 12: 41
"Kamu yang bermimpi memerah angguh itu, akan terselamat. Dia itu akan kembali ke istana dan bekerja sebagai pemberi minum arak kepada 'tuhan'nya," jelas Yusuf.
"Ada pun yang seorang lagi, dia itu akan dihukum bunuh dan salib, lalu mayatnya di palang itu akan dipatuk burung yang akan memakan bahagian kepalanya!" sambung Yusuf lagi.
Berat sekali.
Tafsiran yang mudah-mudahan mampu dihadapi berbekalkan Tauhid dan hakikat kehidupan yang telah diajarkan tadi oleh Yusuf.
Demikianlah perbicaraan, mahkamah dan penjara dunia.
Ketidakadilan yang sering berlaku, adalah cara Allah memberitahu kita tentang kemutlakan Mahkamah Akhirat.
Bersabarlah wahai yang dihukum bunuh.
Beringat-ingatlah wahai yang terlepas dari hukuman.
Pemenjaraan tiga insan di tahanan Mesir itu memperlihatkan pelbagai rencam keadilan menurut resepi dunia.
Justeru berlakulah apa yang berlaku.
Seorang dibebaskan.
Seorang mati disalib.
TIDAK MENGALAH
Dua orang sudah ditentukan nasibnya.
Tinggal Yusuf dalam ketidak pastian.
Menghitung hari yang tidak berangka kerana tahanannya tanpa had masa.
Bisa sahaja manusia patah semangat dalam keadaan yang begitu.
Namun Yusuf adalah pejuang.
Putus asa tiada dalam kamus jihadnya.
Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”. (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh Syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.
AQ 12: 42
Yusuf tersumbat di penjara hasil perintah Menteri Utama.
Menteri yang dayus kerana bertindak di bawah pengaruh wanita jahat, isterinya (disebut sebagai Zulaikha) itu.
Tetapi Raja Mesir tidak tahu.
Kes Yusuf tidak dirujuk kepadanya.
"Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu," itu pesan Yusuf kepada rakan sepenjaranya yang terselamat.
Jawatannya besar.
Pemberi minum kepada Raja bermakna dia berada di posisi kepercayaan Raja yang amat tinggi. Justeru sampaikanlah berita tentang penahanan Yusuf kepada baginda. Mudah-mudahan ada penyelesaiannya di situ.
Yusuf tidak berputus asa. Beliau bukan manusia yang pasrah dengan keadaan dan menyerahkan segalanya kepada 'takdir'. Apa sahaja peluang yang ada, dimanfaatkan oleh Yusuf untuk melepaskan dirinya daripada penahanan yang zalim itu.
Tetapi Allah mempunyai perancangan-Nya yang tersendiri.
TIDAK BERHAJATKAN BELAS KASIHAN
Yusuf tidak layak dibebaskan hanya dengan pengampunan seorang Raja.
Yusuf tidak bersalah, mengapa perlu keluar dari penjara dengan pengampunan? Dengan belas kasihan? Nama Yusuf mesti dibersihkan.
"(Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh Syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun."
Lupa diri.
Kemewahan dan kehidupan berprestij telah menjadikan lelaki itu lupa kepada temannya bernama Yusuf di dalam tahanan.
Tinggallah Yusuf di situ untuk beberapa tahun lagi, dengan hikmah yang besar, di luar jangkauan manusia!
Itulah penjara, Madrasah Tarbiyah Yusuf!
Sumber:
Saifulislam.Com [klik]
SRA Desa Putra, Bangi SDE
No comments:
Post a Comment