"Ustaz, eja nama saya bukan macam ni," seorang murid mempersoalkan ejaan namanya yang saya eja. "Betullah tu," saya membenarkan apa yang telah saya eja. "Tapi, mak saya kata ejaannya macam ni..." sambil menunjukkan ejaan lama yang diejanya kepada saya. "Mak kamu rujuk di mana ejaan tu?" saya mempersoalnya kembali. "Mak saya ustazah," seolah-olah tidak mahu mengalah.
Betul ke maknya ustazah? Lulusan mana? Setakat title ustaz atau ustazah, mereka masih boleh melakukan kesalahan ketika mengeja dalam jawi. Lainlah kalau ustaz atau ustazah yang berkelulusan dari Timur Tengah, masih boleh dipercayai lagi.
"Mana 'ustazah' rujuk ejaan tu?" saya cuba nak menang juga. Dia semacam mengalah. Saya kemudiannya menyuruh dia kembali ke tempat duduknya semula kerana persoalan yang dilemparkannya melambatkan kerja saya.
Saya menyambung semula kerja saya sebelum itu, menyerahkan buku latihan yang baru sahaja selesai disemak dan ditanda.
"Terima kasih ya Ustaz Syahmi! Selamat pulang ya Ustaz Syahmi! Assalamualaikum ya Ustaz Syahmi!" ucapan terima kasih diterima daripada murid kelas 5 Umar yang bagai terpaksa kerana baru sahaja lepas didenda ditahan 15 minit di kelas kerana melanggari arahan saya.
Selepas kesemua murid keluar dari kelas, saya ditahan sebelum saya menuruni tangga. Murid yang sama yang mempertikaikan tindakan saya mengeja namanya berlainan daripada apa yang diejanya.
Aduh, bagaimana mahu berhadapan dengan murid sebegini? Kalau mahir dalam ilmu Mantiq, mudahlah bagi saya mematahkan hujahnya. Bukan kata ilmu mantiq, ilmu nak berhujah pun tiada.
Adoyai...
Itu apa yang terjadi kelmarin (Rabu, 23 Jun 2010). Semalam, saya menyerahkan fail-fail kepada murid kelas kelolaan saya, 5 Umar. Setiap fail itu siap saya tulis dengan nama mereka masing-masing. Seperti sebelum ini, saya mengeja nama mereka mengikut senarai nama yang sudah saya kemaskini sebelum ini dan mengikut ejaan saya (yang saya yakin ia adalah betul).
Macam semalam juga, murid yang saya datang berjumpa dengan saya mengatakan ketidaksetujuannya mengenai ejaan namanya yang saya eja. Astaghfirullah, beristighfar banyak-banyak. Macam mana lagi perlu saya terangkan kepada mereka? Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan saya ini. Mahu tidak mahu, saya tetap mengatakan yang saya akan mengeja namanya sebegitu selepas dariapada ini, melainkan kalau dia dapat menunjukkan mana-mana sumber yang mengatakan ejaannya betul.
Mungkin benar dia kata, dan mungkin juga salah...
Tetapi yang sememangnya salah jika mengeja nama yang dikaitkan dengan Tuhan tidak mengikut yang sepatutnya. Terdapat juga yang mengeja "Abdul Rahim" dengan ejaan alif-ba-dal-wau-lam ra-alif-ha-ya-mim (ابدول راهيم) sedangkan ejaan yang sepatutnya adalah 'ain-ba-dal alif-lam-ra-ha-ya-mim (عبد الرحيم). Ejaan Humaira pula sesuai dieja dengan ejaan ha-mim-ya-ra-ta marbuthah (هميرة) yang mana ia membawa maksud kemerah-merahan. Nazaruddin pula bukan dieja nun-alif-dzal-alif-ra-wau-dal-ya-nun (ناذارودين) tetapi ia terdiri daripada dua kalimah yang berasingan. Nordin pula sepatutnya dieja nun-wau-ra alif-lam-dal-ya-nun (نور الدين) yang membawa maksud cahaya agama, sesuai dengan hukum Nahu.
"Mereka lebih pandai daripada kita," itu pesanan Ustaz Ariffin [klik]. Nak buat macam mana. Saya boleh sahaja memberikan hujah-hujah, tetapi intelektual kanak-kanak masih belum boleh menerima penghujahan yang saya ada. Sedangkan saya memberikan sedikit ilmu Qiraat, mereka ternganga mulut tanda tidak faham, bagaimana pula saya mahu menerangkan perkara yang mereka bagai mahu menjuarainya?
Ya Allah, Kau bantulah aku berhadapan dengan mereka. Petahkanlah hujahku, siramilah hatiku dengan air kesabaran, mudah-mudah aku dapat mendidik anak bangsaku mengenal agama dan terserap nur al-Islam dalam kehidupan mereka, Ameen!
Seksyen 4, Bandar Bukit Mahkota, Bangi SDE
No comments:
Post a Comment