Sejak 3 Mac (Selasa) sehinggalah hari ini, sudah tiga hari saya menjadi pemerhati yang mengobservasikan suasana murid-murid sesi petang pulang ke rumah, sama ada dengan menaiki bas, vas, kenderaan persendirian, dan berbasikal. Tidak pasti sama ada terdapat murid yang berjalan kaki pulang ataupun tiada.
Banyak benda dan perkara yang saya perhatikan dan mungkin boleh dikongsikan bersama di CTB ini.
* * * LIFESTYLE * * *
Kalau sudah namanya Sekolah Rendah Agama BANDAR Seri Putra, sudah tentu majoriti penduduk di sini adalah terdiri daripada golongan menengah atas yang mungkin sebahagian besar daripada golongan majoriti ini bekerja di Lembah Kelang, khususnya di kota metropolitan Kuala Lumpur.
Tempat kerja yang agak jauh daripada Bandar Seri Putra menyebabkan kebanyakkan daripada murid-murid di sini pulang ke rumah dengan menaiki perkhidmatan bas sekolah. Itu sekiranya kedua-dua ibu dan bapa mereka bekerja jauh daripada rumah di sini.
Walaupun begitu, terdapat juga ibu atau bapa yang mengambil anak masing-masing. Boleh tahan juga kereta yang masuk ke perkarangan SRA Bandar Seri Putra ketika Selasa (3 Mac) lepas disebabkan hujan. Ada yang menaiki Mercedes, Camry, City, Accord, Alphard, Vios, CRV, dan yang paling memukau mata, Alfa Romeo. Memang mewah kebanyakkan keluarga murid-murid di sini, satu nikmat yang patutnya disyukuri oleh mereka semua.
Murid-murid dapat menonjolkan kesyukuran ini dengan menjadikan ilmu agama yang mereka pelajari di sekolah ini sebagai satu pedoman hidup, bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan buat keluarga, khususnya ibu dan bapa mereka. Sekiranya ibu atau bapa mereka menggayakan fashion yang tidak selari dengan syariat seperti observasi yang saya lakukan kelmarin (3 Mac), diharapkan dengan keberkatan anak-anak mereka yang mempelajari ilmu yang berharga ini mampu meminpin mereka, sekurang-kurangnya mereka senang dengan penggayaan fashion yang hampir selari dengan tuntutan syariat.
Saya faham, mungkin sebahagian besar daripada ibu bapa terutamanya di kawasan bandar hanya memikirkan Islam itu berkisar kepada ritual keagamaan semata-mata. Namun begitu, peranan ustaz-ustazah juga diperlukan untuk mengubah persepsi ini sekurang-kurangnya terhadap murid-murid di sini.
Tidak mampu mengubah generasi lama, generasi yang baharu ini perlu dididik dan disuntik pemikiran yang baharu bahawa agama itu yang utama, bukannya hanya untuk upacara aqiqah, khatan, kahwin, puasa, dan mati semata-mata, tetapi melitupi seluruh ruang lingkup kehidupan.
Tentunya anak yang soleh itu berpegang kuat dengan agamanya. Siapa yang tidak mahukan anak yang soleh? Doa anak yang soleh buat kedua ibu bapanya itu yang paling berharga tika berada di dalam kubur.
Itu cerita Selasa (3 Mac) lepas...
* * * SAMPAH * * *
Adil dan Wafiq bergambar ketika sedang menunggu ibu bapa mereka. Kelihatan padang bersih selepas masing-masing bergotong-royong membersihkannya bersama-sama. |
"Siapa nak pahala free?" saya bertanya kepada sekumpulan murid lelaki yang sedang bermain bola di padang berhampiran pondok menunggu.
"Saya!" ramai yang mahukannya. "Okey, siapa nak pahala, sambil-sambil main bola tu, kutipkan sampah-sampah yang ada sekitar kamu..."
"Ala, tak naklah pahala..." ada yang mengeluh. "Kenapa tak nak pula? Free-free je pahala Allah nak bagi. Cuba kutip, nanti Allah bagilah pahala."
Sebahagiannya ada yang mengutip sampah-sampah yang berapa di kaki mereka.
Tak tahulah siapa punya kerja, murid sesi pagi ataupun sesi petang. Sampah bertaburan di sekitar dua buah pondok menunggu di belakang pos pengawal berhampiran pintu pagar. Sampah bertaburan sedangkan pihak sekolah sudah menyediakan sebuah tong sampah di situ. Di mana silapnya?
Alhamdulillah, dalam 10 minit sahaja, kawasan padang berhampiran pondok menunggu 70 peratus lebih bersih dari 10 minit sebelum itu. Kira baguslah. Cuma di bahagian cerun pondok yang menghadap jalan sahaja tidak disentuh kerana keadaan di situ agar berbahaya untuk membenarkan murid-murid mengutip sampah yang agak banyak terselit di celah-celah rumput yang tebal dan tinggi.
Tinta mencoret: Seronok juga memerhatikan gelagat murid-murid selepas sesi persekolahan.
Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP
No comments:
Post a Comment