Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

31 May 2011

Semuanya Baik, Tuanku!


Kisah ini diadaptasi serta diubahsuai berdasarkan cerita yang pernah diceritakan oleh Ibnu Taimiyyah radhiyallahu anh.

Kota yang makmur. (Gambar sekadar hiasan)
Pada zaman dahulu, di sebuah kerajaan yang luas dan makmur diperintah oleh seorang raja bernama Raja Azhari. Pentadbiran baginda yang cemerlang dibantu oleh seorang menteri kanannya, Aizat.

Suatu hari, Raja Azhari mengadakan sebuah majlis makan-makan bersama rakyat baginda. Tatkala Raja Azhari memotong buah-buahan, tanpa disengajakan, baginda tertoreh sedikit jari telunjuk. Raja Azhari berasa kesakitan.

Baginda bertanya kepada menteri kanannya, Aizat mengenai kejadian yang baru sahaja menimpa baginda;

"Wahai memanda menteri, apakah pendapat tuan hamba mengenai tangan beta yang baru sahaja tertoreh ini?"
"Baik, Tuanku." (tanpa ragu-ragu)
"Apa? Ulang semula kata-kata tuan hamba tadi!"
"Baik, Tuanku."
"Apa?! Katamu tangan patik tertoreh ini suatu yang baik?"
"Ya, Tuanku."
"Argh...!" (geram + marah)

Raja Azhari begitu murka dengan jawapan yang diberikan menteri kanannya itu. Bagi baginda, mana mungkin tangannya yang tertoreh itu adalah sesuatu perkara yang baik seperti yang dikhabarkan menterinya itu. Maka, dengan itu, Raja Azhari memerintahkan Aizat ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara.

Selang beberapa ketika, Raja Azhari datang mengunjungi Aizat di penjara.

"Kini, tuan hamba berada di dalam penjara. Apa pula pandangan tuan hamba tentang keadaan tuan hamba di dalam penjara ini? Adakah tuan hamba mahu terus berada di dalam penjara seperti ini?"
"Keadaan patik baik, Tuanku."
"Pergi jahanamlah! Sakit hati beta mendengarnya."

Jawapan memanda menterinya itu dirasakan jelek oleh baginda. Baginda terus beredar meninggalkan menterinya keseorangan di sebalik tirai besi. Baginda berasakan bahawa menterinya itu begitu bodoh dan bengap serta keterlaluan dalam memberikan pendapat.

Beberapa hari kemudian, Raja Azhari keluar memburu di dalam hutan sambil ditemani oleh dua orang menterinya yang lain kerana menteri yang selalu menemani baginda telah dipenjarakan.

Raja Azhari begitu cekap menunggang sehinggakan kedua-dua orang menteri yang menemani baginda tertinggal jauh di belakang. Mereka terpisah dan Raja Azhari kemudiannya sesat.

Lebih malang lagi, baginda ditangkap oleh sekumpulan manusia penyembah berhala yang tinggal di dalam hutan tersebut.

Baginda ditangkap kerana para penyembah berhala mahu menjadikan baginda sebagai korban untuk berhala yang mereka sembah. Para penyembah berhala mengadakan upacara penyembahan selama tujuh hari sebelum dipersembahkan raja tersebut untuk dikorbankan.

Puak penyembah berhala. Klik di sini untuk baca berhala pada masa kini.
Pada hari yang ketujuh, mereka mengheret raja tersebut ke hadapan berhala mereka untuk dikorbankan. Sebelum raja tersebut dikorbankan, salah seorang daripada mereka terlihat jari raja tersebut yang tertoreh lalu ragu-ragu untuk mengorbankan raja tersebut kepada berhala mereka.

"Eh, jari dia ada kesan lukalah!"
"Ye ke? Mana?"
"Ni ha..." (sambil menunjukkan kesan luka)
"Ya lah. Kalau macam tu, kita tak boleh mempersembahkan dia kepada tuhan kita."
"Betul. Kita tak akan persembahkan korban yang tidak sempurna. Hanya yang sempurna sahaja yang kita korbankan."

Dengan itu, baginda dilepaskan semula ke dalam hutan yang kemudiannya diselamatkan oleh sekumpulan tentera baginda yang dikerahkan untuk mencari raja yang hilang oleh dua orang menteri yang menemani baginda semasa baginda hilang. Baginda kembali ke kerajaannya dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi korban.

Dua tiga hari berlalu, Raja Azhari teringatkan kata-kata menteri yang telah membuatkan baginda menjadi murka ketika jarinya tertoreh. Baginda bergegas ke penjara untuk berjumpa dengan menterinya itu.

"Apa khabar?"
"Baik, Tuanku." (Raja Azhari tersenyum dengan jawapan yang diberikan)
"Apa yang tuan hamba khabarkan tentang jari beta yang tertoreh tempoh hari sememangnya benar. Itu memang hal yang baik buat beta."
"Benarkah, Tuanku?"
"Beta... bla bla bla..."

Raja Azhari menceritakan pengalamannya yang ditangkap sekumpulan manusia penyembah berhala yang mana kemudiannya dibebaskan hanya kerana jarinya yang tertoreh.

Aizat, menterinya itu tersenyum lebar seraya berkata:
"Patik berada di dalam penjara ini juga hal yang baik kerana sekiranya patik tidak dipenjarakan, tentunya patiklah yang menemani Tuanku pergi berburu, dan pada hari itu, tentunya patik di tangkap dan juga dijadikan korban kerana anggota patik masih lengkap sempurna."

Konklusinya, setiap sesuatu yang ditetapkan Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah baik walaupun kita mungkin tidak atau belum mengetahui kebaikan yang ada di sebalik ketentuan tersebut.

Tinta mencoret: Ada hikmah di sebaliknya.

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

No comments:

Post a Comment