Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

22 February 2012

Denda Part 2

Fikree ketika ujian saringan bagi acara Khutbah Jumaat. Boleh tersenyum lagi...?
Hari ini (Rabu, 22 Februari 2012)adalah hari pemilihan peserta bagi mewakili firqah Ibrahim ke Ujian Kemahiran Amal Islami (KAMIL) peringkat sekolah. Agak bersungguh-sungguh melihat Ustazah Azira dan Ustazah Albania dalam memilih peserta, tidak seperti saya yang mungkin boleh dikatakan 'lepas tangan', hanya mahu menghandle bagi acara Azan dan Iqamah, Khutbah Jumaat, Pidato, dan Hafazan dan Tafsiran sahaja.

Bukan mahu lepas tangan, tetapi dek kerana keterlibatan saya bersama Guru Penolong Kanan (GPK) Ko-Kurikulum dalam menguruskan keseluruhan program ini, maka saya tidak mahu dilihat di kaca mata murid sebagai seorang guru yang mungkin menggunakan kedudukan dalam jawatankuasa program untuk memenangkan kumpulan sendiri. Jadi, kehadiran saya hanya sebagai sokongan kepada firqah yang berada di bawah kelolaan saya bersama tiga orang guru lain.

Dalam ramai-ramai, saya memilih Wafir untuk mewakili firqah Ibrahim
dalam acara Khutbah Jumaat.
Satu hari yang diperuntukkan dirasakan tidak mencukupi bagi saya, mungkin juga guru-guru lain dalam memberikan taklimat dan latihan kepada para peserta. Pada asalnya, dua hari diperuntukkan. Namun, bila Rancangan Pengajaran Tahunan diterima, program ini bertembung dengan Ujian Prestasi I yang dijadualkan bermula minggu hadapan (27 Februari 2012).

Mahu tidak mahu, program yang direncanakan lebih awal ini terpaksa juga diteruskan.

Dan nampaknya keadaan dilihat agak kucar-kacir.

Dan, maklumat yang baru sebentar tadi saya baca di facebook sekolah kebangsaan, ujian bulanan mereka akan diadakan seminggu sebelum cuti penggal pertama, juga bertembung dengan minggu pertandingan bagi KAMIL peringkat sekolah.

Nampaknya, terpaksa saya berbincang dengan Guru Besar dan GPK Ko-Kurikulum bagi meminda jadual asal yang banyak bertembung dengan beberapa perkara.

*  *  *  *  *

Ketika saya sibuk-sibuk menguruskan beberapa orang peserta bagi acara Khutbah Jumaat, saya ke pejabat untuk mengambil tongkat yang akan digunakan ketika khutbah. Entah macam mana, ada satu 'wahyu' yang sampai ke telinga saya daripada 'pemberi wahyu' yang mengatakan bahawa ada parent yang datang berjumpa dengan Guru Besar dan membuat laporan anaknya didenda oleh guru.

Lagi mendebarkan, anaknya ditempatkan di kelas 4 Ibnu Bathutah, kelas jagaan saya.

Wah... Dub dab jantung. Adakah saya?

Ya, saya ada mendenda murid. Namun, denda saya lebih bersifat pembelajaran. Jika murid saya tidak dapat menghafal ayat hafazan, saya akan menyuruh mereka menghafaz sehingga dapat time tu juga. Itu pun mereka masih lagi tidak dapat. Jika murid saya tidak membawa al-Quran, saya akan menyuruh mereka meronda satu sekolah mencari al-Quran untuk dibaca. Jika murid saya tidak membawa pensil khat, saya akan menyuruh mereka mengasah satu pensil supaya menjadi pensil khat atau meminjamnya dari rakan di kelas lain. Sekiranya mereka tidak menyiapkan kerja sekolah atau nota, saya akan menyuruh mereka menyiapkannya.

Dan kadang-kala denda saya bersifat jenaka, seperti mendenda 'mengahwinkan' mereka dengan pasangan berlainan jantina secara olok-olok, membuat senaman mengikut arahan yang betul, atau pelbagai lagi bentuk dendaan yang menimbulkan suasana yang happening, penuh dengan gurau senda.

Rotan? Ada, cuma saya lihat tidak terkesan jika kaedah ini diguna pakai ke atas mereka. Ada yang lebih sanggup dirotan daripada didenda untuk menghafaz, sedangkan saya mahu mereka menghafaz. Buat apa saya mengenakan denda berbentuk rotan jika mereka lebih suka di rotan daripada menghafaz?

Kami, guru-guru tahun 4 berdebar kerana tidak mengetahui siapakah yang mendenda murid tersebut. Namun saya boleh menarik nafas lega bila si 'pemberi wahyu' ini mengatakan bahawa murid tersebut di denda oleh 'ustazah'.

"Saya (sebagai) ustaz ye, bukan ustazah..."

Itulah ungkapan yang terungkap dari bibir saya bila mendapati ia dilakukan oleh ustazah.

Kebanyakkan ustazah tahun 4 ada mendenda murid. Dan denda mereka juga iras-iras denda yang saya lakukan yang mana ia lebih bersifat pendidikan, menyuruh mereka menghafaz dan sebagainya. Saya juga ada melihat mereka mendenda murid yang enggan menghafaz pelajaran, tetapi bukan dengan merotan, tetapi dengan menyuruh mereka memegang buku dan menghafaz sehingga mereka berjaya menghafaznya.

Dan seperti yang saya katakan, denda berbentuk kesakitan tidak lagi terkesan ke atas mereka.

Jadi, jika denda berbentuk pendidikan seperti inilah yang dimaksudkan oleh parent tersebut, ada antara ustazah tersebut yang berang dengan aduan yang dibuat. Saya juga. Kalau sifat garang dan tegas dilarang dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, eloklah mereka mendidik sendiri anak mereka dengan cara lemah lembut.

Untuk rekod, Secara kasarnya, setiap kelas tahun 4 2012 memiliki murid tidak kurang daripada 40 orang. Kelas di bawah jagaan saya sendiri, 4 Ibnu Bathutah mempunyai 43 orang murid, 21 orang lelaki dan selebihnya perempuan. Adakah mampu seorang guru yang mengajar itu mengawal 40 orang dan mengubah mereka menjadi pandai? Dua orang anak yang dijaga oleh dua orang, ibu dan ayah boleh rosak, apa lagi bila 40 orang murid yang dijaga HANYA SEORANG GURU.

Itu tidak termasuk kes yang berlaku di sekolah kebangsaan yang turut diheret ke sekolah agama.

Walaupun saya salah seorang pentadbir fanpage untuk sekolah saya, namun setiap kenyataan atau maklum balas yang saya keluarkan tertakluk kepada pengesahan Guru Besar. Jadi, saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak sekolah untuk mempertahankan organisasi saya di fanpage sekolah kebangsaan. Nak tak nak, saya terpaksa 'bersuara' atas kapasiti individu bagi mempertahankan maruah guru-guru di sekolah agama.

Profesyen perguruan kini tidak lagi disanjung tinggi oleh masyarakat, sebagaimana masyarakat terdahulu menyanjung tinggi warga pendidik. Mereka kini lebih melihat guru tidak ubah bagai bibik yang boleh dibeduk, yang boleh dimarah, yang boleh dikenakan tindakan sekiranya anak mereka 'disentuh'. Dahulu, saya masih lagi merasakan guru ini dihormati oleh masyarakat setempat walaupun saya tidak bersekolah di kampung pendalaman. Pernah juga saya nukilkan dalam CTB ini.

Saya tidak menyatakan bahawa guru itu maksum, guru juga melakukan kesalahan. Namun, bukankah dengan penyelesaian secara mesra itu lebih baik daripada membuat tuduhan secara umum?

Juga peringatan kepada guru, bertanggungjawablah bila tindakan kita itu membahayakan keselamatan murid. Jika mereka ketinggalan bas, eloklah guru yang menjadi penyebab itu sendiri yang menghantar murid tersebut ke rumah agar keselamatan mereka terjamin.

"Saya Sayang Ustad Sahmi."
Ooo, kecik-kecik dah pandai membodek saya ye... Hehehe.
Selagi mana tindakan mereka baik, dan bertanggungjawab apabila sesuatu perkara itu berlaku, selagi itulah saya akan sentiasa berada di belakang guru-guru yang setia mendidik murid, baik guru sekolah agama mahupun guru sekolah kebangsaan.

"Eh, mana pautan ke aduan tuh?"    
     "Maaf, sengaja tak nak letak. Cari le sendiri ek..."

Tinta mencoret: Kebetulan, murid yang menjadi mangsa di sekolah kebangsaan tersebut amat saya kenal, dan antara murid yang selalu menjadi sasaran 'usikan' saya di dalam kelas, tahun lepas.

1 comment: