Walaupun pihak kerajaan, termasuklah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, telah berkali-kali memberikan amaran dan nasihat supaya setiap pengguna jalan raya, sama ada yang memandu ataupun yang melintas jalan, sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Perkara yang paling menyedihkan ialah, masyarakat kita bukan sahaja tidak mengambil berat tentang penggunaan jalan raya yang lebih selamat, malah mereka yang bermotor tidak prihatin tentang keselamatan diri mereka sendiri dan juga orang lain. Ini menyebabkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita terus meningkat dari setahun ke setahun terutama menjelang musim-musim perayaan. Pernah suatu ketika dahulu Malaysia mencatatkan kadar kemalangan jalan raya yang ketiga tertinggi di dunia.
Entahlah. Sejak kebelakangan ini, ramai pula kenalan saya yang terlibat dengan kemalangan jalan raya. Minggu ini sahaja dua orang daripada kalangan keluarga dan sahabat terlibat dengan kemalangan ketika menunggang motosikal. Sebelum itu pula ada juga yang dikejarkan ke hospital juga kerana musibah yang hampir serupa.
Jalan raya seolah-olah tidak selamat lagi. Masing-masing memandu dan menunggang kenderaan masing-masing mengikut cara yang tersendiri dan membelakangkan undang-undang sedia ada. Terkadang saya juga hampir terlanggar dengan kenderaan lain hanya kerana mereka memasuki laluan yang menjadi hak saya untuk melaluinya dahulu. Mereka bergerak bagai jalan raya adalah milik mutlak mereka.
Oleh sebab itu, statistik kemalangan jalan raya di Malaysia antara yang tertinggi di dunia!
Faktor utama kemalangan jalan raya yang berlaku di Malaysia adalah berpunca daripada sikap pemandu dan penunggang itu sendiri. Seperti yang saya nyatakan di atas, kebanyakkan daripada mereka tidak mengendahkan malah sebahagiannya bagai berani mencabar undang-undang. Jika had laju yang ditetapkan adalah sebanyak 80 km/j, ada yang memandu sehingga 120 km/j. Oleh sebab itulah, Pihak Bukit Aman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada maut akibat daripada pemanduan yang tidak berhemah.
Ini menunjukkan betapa tidak beretikanya kebanyakkan pemandu di sini!
Jangan kita menyalahkan pihak berkuasa khususnya polis dalam menangani masalah kemalangan ini. Walau seberat mana sekalipun undang-undang yang digubal, walau seketat mana sekalipun penguatkuasaan, walau sekerap mana sekalipun operasi dan pemeriksaan, kadar kemalangan tetap tidak akan menurun bahkan akan meningkat sekiranya kita sebagai pengguna jalan raya tidak bermuhasabah diri sekaligus gagal untuk berubah. Apakah kita mahu menunggu sehingga melayang nyawa daripada jasad sebelum berubah? Tatkala itu, semuanya bagai nasi sudah menjadi bubur.
Sebagai seorang Islam, kita seharusnya lebih sabar ketika berada di jalan raya. Tetapi jika dibandingkan dengan kadar kemalangan jalan raya yang semakin meningkat saban tahun yang kebanyakkannya berpunca daripada sikap pemandu dan penunggang, adakah dapat dikatakan kita lebih bersabar ketika memandu atau menunggang?
Memandu di lorong kecemasan ketika kesesakan menunjukkan pemandunya tidak memiliki sifat sabar ketika memandu. |
Firman Allah swt:
Wahai orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan (ketika menghadapi susah-payah dalam melaksanakan perintah Allah) dengan bersabar dan (menunaikan) solat. Sesungguhnya Allah bersama (membantu) orang-orang yang sabar.
AQ 2:153
Walaupun sifat sabar penting, tetapi semasa memandu, ia amat berbeza sekali. Ada juga pemandu yang kita kenal bersikap lemah lembut, sabar, dan baik tetapi bertukar serta-merta kepada agresif, ganas, bengis, dan tergesa-gesa apabila memandu. Hal ini menimbulkan tanda tanya, kenapakah sifat sabar seorang Muslim boleh berubah-ubah mengikut keadaan? Bukankah sepatutnya, kesabaran yang telah ditanam di dalam jiwa tetap kekal sifatnya dalam apa jua keadaan.
Pemanduan yang hanya mengikut hawa nafsu dengan membuang sifat sabar adalah satu tindakan yang kurang bijak.
Saya doakan kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya agar cepat sembuh. Tabahlah menghadapi ujian Tuhan yang mana ia menjadi kaffarah dan mudah-mudahan dapat menambahkan lagi keimanan dan nilai ketakwaan kepada-Nya, Ameen.
Bagan Lalang, Sepang SDE
No comments:
Post a Comment