Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

07 May 2010

Kuasa Duit Mengatasi

Zaman sekarang memang memerlukan duit dalam semua perkara. Sebut apa sahaja benda atau perkara, pastinya setiap sesuatu itu memerlukan duit. Makan, minum, belajar, melancong, qadha hajat, rumah, kereta, kesihatan, keselamatan, ibadat, dan sebagainya. Kepentingan duit tidak boleh disanggah lagi. Tanpa duit, kita tidak akan mampu berdiri dalam era mencabar ini untuk menongkah arus yang mendatang. Duit adalah SEGALA-GALANYA!

Oleh sebab itu, ada yang sanggup bekerja berbekalkan tulang empat kerat mereka mengangkat barang-barang yang beratnya berpuluh-puluh kilogram malah ratusan kilogram di pasar malam semata-mata mahu memperoleh RM 20 hingga RM 30 untuk anak isteri.

Ada juga wanita yang bekerja hingga larut malam mencuci tandas, membersihkan kawasan yang diberikan RM 500 semata-mata membantu suami yang tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarga.

Ada juga para suami yang bekerja kerani membantu isteri membuat kuih-muih seawal 4 pagi untuk dijual semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka membesar dengan sempurna.

Ada yang sanggup bersusah-payah semata-mata mahu menyara kos kehidupan yang tinggi.
Sungguh bernilainya seringgit sehingga ada yang sanggup menggadaikan keselamatan MALAH nyawa mereka!

Itulah lumrah dunia yang kita huni kini. Sememangnya itulah ujian yang kita kena hadapi. Bukan mudah untuk kita harunginya sekiranya kita bukanlah seorang hartawan melainkan kita memiliki iman yang mantap.

Iman yang mantap juga belum tentu mampu untuk menghadapinya sekiranya kita tidak memiliki ilmu yang mencukupi untuk menghadapinya.

Ilmu yang mencukupi itu pun belum mencukupi sekiranya ketaqwaan kita kepada Allah swt masih rendah sedangkan kita sendiri tahu Allahlah yang mengurniakan rezeki kepada kita. Jika Dia berkehendak, segala-galanya pastikan terjadi.

BAGAI BINATANG

Manusia saling bersaing antara satu dengan lain semata-mata mahu mendapatkan beberapa suap nasi buat anak-anak mereka. Kadang-kadang mereka akan bersaing dengan yang lain untuk merebut punca rezeki yang mampu memberikan anak-anak mereka cebisan makanan. Ada antara mereka yang sanggup membuat sehingga 5 kerja semata-mata mahu memperoleh sejumlah gaji yang cukup untuk menyara keluarga.

Keadaan bertambah rumit apabila graduan lepasan universiti semakin bersepah dan peluang pekerjaan yang tersedia pula tidak mampu menampung jumlah mereka yang berpuluh ganda lebih ramai.

Bagi jenis yang suka memilih kerja, biarkanlah mereka dengan sifat mereka sebegitu. Kepada mereka yang benar-benar memerlukan duit, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka memperolehnya. Walaupun satu peluang, mereka akan terkam dan cuba mengambilnya sebelum orang lain menyambarnya.

Kehidupan kita dalam zaman materialistik ini umpama haiwan, kadang-kadang bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan hidangan yang lazat dan kawasan yang luas. Barangsiapa yang lemah, maka dia akan terus tersisih dan disisihkan.

Persaingan ini kadang-kadang mengalahkan binatang. Semata-mata mahukan rezeki, ada yang sanggup suap-menyuap, ugut-mengugut, malahan berbunuhan! Rezeki yang asalnya halal menjadi haram akibat daripada tindakan tersebut. Semuanya menjadi tamak yang membutakan hati daripada mencari yang halal.

LANGKAH MULA YANG SILAP MEMBAWA KE ARAH MATLAMAT YANG SALAH

Kalau dunia yang dinanti, pastinya ia akan muncul tanpa akhirat mengiringinya.
Memang mencabar. Bagi mereka yang kononnya beriman, mereka selalunya mengatakan bahawa pekerjaan mereka itu ikhlas dibuat kerana Allah. Tetapi sejauh mana keikhlasan mereka itu? Ketika mereka belajar sebelum itu pun, mereka bermatlamatkan untuk mudah memperoleh pekerjaan dengan kelulusan mereka walaupun mulut munafik mereka menyaksikan ilmu itu dituntut kerana Allah.

Jika permulaan jalan rezeki itu sudah disasarkan hala tujunya ke arah keduniaan tanpa menjadikan matlamat utamanya kerana redha Allah swt, bagaimana pengakhirannya akan menuju ke arah Rabbnya yang Maha Agung? Matlamat keduniaan itu kita akan terima namun kita muflis ketika di akhirat kelak.

Kehidupan yang mendesak manusia mencari duit untuk menyambung kehidupan sebenarnya adalah satu bentuk ujian buat hamba-hamba-Allah, namun berapa ramai yang menerimanya dengan menjadikannya salah satu daripada bentuk pentarbiyyahan diri dan mengadaptasikan ujian tersebut kepada keredhaan Tuhan mereka yang melimpah-ruah?

Taman Permata, Hulu Kelang

No comments:

Post a Comment