Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

14 December 2011

Syoknya Jadi Anak Bongsu


"Mie anak yang ke berapa?"                       "Anak last."
"Ooo, bongsu. Anak manja la ni, anak mak..."

Bagi anak bongsu, gelaran seperti anak manja, anak mak, anak emas, dan yang sama waktu dengannya begitu sinonim.

Saya? Walaupun saya anak lelaki yang pertama, namun saya juga anak bongsu. Kiranya saya anak lelaki tunggallah, yang lain semuanya kakak.

Aduh, sejak saya kecil, saya begitu benci dengan gelaran sebegini yang merujuk kepada anak manja.

Saya manja ke?
Gambar keluarga. Diambil pada tahun 2003.
Dan gelaran seperti itu masih lagi melekat sehingga sekarang. Harap-harap, selepas kahwin, hilanglah semua gelaran tersebut daripada saya.

Beruntung ke jadi anak bongsu ni?

Pada pandangan umum, anak bongsu merupakan anak yang paling bertuah antara adik-beradiknya. Kenapa? Entah. Saya tak terasa bertuah pun...

* * * KEKURANGAN * * *

Anak bongsu sebenarnya terpaksa menyempurnakan sebarang kekurangan yang terdapat dalam keluarga. Sekiranya abang atau kakak gagal sama ada gagal dalam pelajaran atau gagal menjadi 'manusia', maka si adik akan ditekan habis-habisan oleh ibu bapa dengan harapan agar masih ada seorang di kalangan anak mereka yang masih berguna. Maka, si adik bongsu terpaksa berhempas pulas untuk memastikan harapan ibu ayah mereka.

Kehidupan anak bongsu dikawal ketat oleh keluarganya. Pengalaman ibu dan ayah dalam membesarkan abang kakak dijadikan sebagai panduan. Sekiranya ada abang atau kakak yang bersikap keras kepala, si adik bongsu akan 'diselia' sejak kecil agar tidak tidak menjadi seperti abang atau kakaknya yang keras kepala. Kiranya, abang atau kakak menjadi bahan ujikaji eksperimen manakala adik bongsu menjadi tempias hasil ujikaji tersebut.

Sekiranya abang atau kakak berjaya dalam pelajaran, si ibu atau si ayah mengharapkan si adik dapat kejayaan yang lebih baik berbanding si abang atau kakak tersebut. Kejayaan yang sedikit atau sama dengan si abang atau si kakak tidak akan dipandang, kalau pandang pun, sebelah mata.

Masyarakat Melayu melihat anak bongsu sebagai anak yang begitu manja dengan ibu dan ayah. Jadi, keyakinan mereka dalam memberikan tanggungjawab terhadap anak bongsu selalunya kurang. Mereka beranggapan anak bongsu amat sukar untuk melaksanakan sebarang tugas kerana kononnya anak bongsu tidak dididik untuk membuat kerja rumah. Tidak semua anak bongsu tidak membuat kerja rumah, itu hanyalah sebahagian kecil yang agak manja dan berat tulang sahaja.

Anak bongsu juga menjadi pelepas geram abang atau kakak mereka. Mana tidaknya, anak bongsu pada kebiasaannya selalu dimenangkan oleh ibu atau ayah mereka sekiranya terdapat 'konflik' antara mereka. Kiranya, si adik selalu menjadi 'mangsa buli' lah. Dan yang membuli adalah abang atau kakak yang lebih tua.

* * * KELEBIHAN * * *

Walaupun begitu, memang seronok jadi anak bongsu.

Firstly, kelebihan yang jarang ada pada si abang atau si kakak tetapi ada apa si adik bongsu; selalu dimenangkan oleh ibu atau ayah. Sekiranya bergaduh sebab berebutkan sesuatu, si abang atau si kakak selalu diajarkan agar beralah dengan si adik. Kiranya si adik bongsu akan menjadi juara dan memperoleh apa yang direbutkan itu. Si abang? Si kakak? Apa lagi, benganglah...

Bagi kebanyakkan keluarga yang berada, permintaan anak bongsu selalunya ditunaikan oleh ibu dan ayah ayah mereka. Kebiasaannya, taraf kehidupan keluarga agak senang ketika adanya anak bongsu berbanding ketika anak yang terawal. Selalunya, anak yang awal hidup pada waktu si ayah masih lagi baru dalam bidang kerjaya sedangkan anak yang hujung atau bongsu hidup selepas si ayah berada pada kedudukan yang kukuh. Banyak permintaan anak yang tua terpaksa dilupakan atas faktor kekangan kewangan akan tetapi permintaan anak bongsu ditunaikan kerana kesenangan hidup ketika itu.

Anak bongsu lebih cepat matang berbanding abang atau kakak mereka. Matang? Bukan matang 'benda tu' tau. Matang di sini dari segi pemikiran dan tingkah laku mereka. Anak bongsu lebih cepat matang kerana mereka melihat si abang atau si kakak mereka yang sudah tentu lebih matang. Ini biasa berlaku kepada anak bongsu yang mempunyai abang atau kakak yang 10 tahun lebih tua daripadanya. Jadi, apa sahaja yang si abang atau si kakak buat sebagai orang dewasa, si adik akan cuba menirunya. Tidak hairanlah apabila terdapat sebilangan anak bongsu berani melawan arahan orang tuanya kerana ingin menjadi 'bebas' seperti si abang atau si kakak. Natijahnya, ada yang tergelincir ke lembah kebinasaan akibat kesilapan yang mereka inginkan sangat itu.

Yang ini, saya dapat daripada seorang kenalan, Nasrul. Minggu lepas, Nasrul cakap, selalunya si adik lebih baik berbanding si abang. Entah. Yang ini saya tak dapat pastikan. Kalau si adik lebih baik berbanding si abang atau si kakak, Alhamdulillah. Siapa yang tak nak jadi baik kan...? Itulah fitrah manusia.

Yang terakhir, dengan keadaan taraf kehidupan keluarga yang lebih baik, biasanya majlis perkahwinan anak bongsu adalah yang paling meriah. Alasannya, itulah majlis terakhir yang dibuat, dan selalunya si ibu dan si ayah sanggup untuk berbelanja lebih bagi memastikan kemeriahan majlis tersebut. Eh, macam tak sabar je nak kahwin...

Tinta mencoret: Tengok kelebihan yang terakhir tu, makin tak sabar la nak kahwin...

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP

3 comments: