Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita sentiasa beroleh rahmat Allah S.W.T, bahagia hidup didunia dan diakhirat.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk mencari harta di dunia ini, tetapi jangan kita lupa, Islam juga mengalakkan umatnya menginfaqkan sebahagian daripada harta yang dimilikinya dengan cara berzakat, berwakaf dan bersedekah.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Qasas ayat 77:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah dan janganlah engkau melakukan kerosakan dimuka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".
Harta adalah salah satu perkara yang sangat diperlukan untuk hidup didunia ini, akan tetapi sifat manusia yang tidak pernah mengenal erti cukup telah membuat seseorang individu itu menjadi tamak haloba dan bimbang harta yang dimilikinya akan berkurangan, sekiranya ia disedekahkan kepada orang lain.Namun Allah S.W.T menyangkal perkara tersebut dan Allah S.W.T berjanji harta yang disedekahkan akan diganti oleh Allah S.W.T dan ianya tidak akan musnah sama sekali. sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 261:
"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah maha luas (kurnianya) lagi maha mengetahui."
Sidang jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Ayat diatas menerangkan bahawa betapa maha pemurahnya Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang tidak bakhil terhadap sesama hambanya dimuka bumi ini. masih ramai masyarakat yang kurang sedar dan merasakan wakaf adalah satu perkara yang sangat sukar untuk dilaksanakan. Hakikatnya wakaf adalah sedekah jariah yang diiktiraf oleh Islam dan sunat dilakukan tanpa mengira masa melalui syarat-syarat yang telah ditetapkan. Meskipun perkara ini sunat dilakukan, akan tetapi ianya mempunyai pahala yang berlipat kali ganda banyak dan ianya juga dapat mendekatkan diri hamba kepada penciptanya, bersumberkan dari Abu Hurairah R.A ia berkata: Rasullullah S.A.W bersabda:
"Tiadalah harta itu berkurangan kerana sedekah. Allah tidak akan menambahkan kepada seseorang yang suka memaafkan melainkan kemuliaan. Dan tiadalah seseorang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan mengangkat darjatnya."
Hakikatnya sidang Jumaat sekalian, kini masyarakat Islam semakin mengetahui dan sedar kepentingan potensi wakaf, akan tetapi tidak semua di antara kita yang mampu melaksanakan amalan wakaf ini kerana kebanyakan individu didalam masyarakat kita pada hari ini tidak memiliki harta tidak alih seperti tanah dan rumah. Tambahan pula dengan nilai harta tak alih yang terlalu tinggi, ianya menjadi salah satu sebab amalan wakaf dikalangan masyarakat amat terbatas. Sehubungan dengan itu, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memperkenalkan dan mewujudkan saham wakaf selangor, sebagai salah satu cara untuk masyarakat menghidupkan kembali amalan wakaf walaupun tidak memiliki harta tak alih.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Saham wakaf selangor adalah suatu kaedah wakaf tunai yang diperkenalkan oleh pihak MAIS sebagai satu cara untuk memartabatkan ekonomi umat Islam di negeri Selangor. Bagi tujuan tersebut, umat Islam boleh membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh MAIS sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah S.W.T dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan umat Islam. Ibadah wakaf yang dilakukan generasi terdahulu dilakukan dengan cara individu, akan tetpi saham wakaf selangor ini merupakan amalan wakaf secara bersama ataupun berkelompok. Selain daripada itu, ianya memberi peluang dan merupakan satu cara bagi masyarakat yang tidak memiliki aset kekal seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya untuk diwakafkan.
Semua masyarakat samada yang yang berpendapatan rendah , tinggi mahupun pelajar mampu dan berpeluang untuk menyertai saham wakaf selangor dengan kadar minimum sebanyak sepuluh ringgit sahaja, tanpa ada had maksimum. Saham wakaf Selangor juga tidak terhad kepada masa tertentu, ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad untuk sekali penyertaan sahaja. Selain daripada itu, syarikat-syarikat koporat juga sangat dialu-alukan untuk menyertai saham Wakaf Selangor sebagai salah satu cara menunaikan tanggungjawab dan kebajikan sosial kepada masyarakat, sebagaimana yang disarankan oleh pihak kerajaan. setiap penyertaan saham wakaf akan menerima resit rasmi yang melayakkan penyumbang mendapat pengecualian cukai pendapatan.
Penyertaan Saham Wakaf Selangor boleh dibuat dikaunter Bahagian Baitulmal Tingkat 9 Menara Utara, bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. Semua kaunter Pejabat Agama Islam Daerah, semua kaunter Lembaga Zakat Selangor, agen khas yang telah diberikan kuasa oleh MAIS serta agen penerangan dan kutipan MAIS. Selain daripada melalui kaedah wang tunai, penyertaan juga boleh dilakukan melalui cek, kiriman wang atau wang pos atas nama Majlis Agama Islam Selangor.
Saudara Sidang Jumaat Dirahmati Allah S.W.T,
Konsep Saham Wakaf Selangor adalah sama dengan konsep pelaksanaan wakaf berdasarkan ukuran kaki persegi dan wakaf tunai yang dipraktikkan disetiap negeri di Malaysia. Dana yang terkumpul digunakan untuk membina beberapa pembangunan wakaf yang terdiri daripada institusi pengajian, institusi ibadah dan ekonomi bagi menggalakkan ain wakaf tersebut untuk digunakan manfaatnya oleh masyarakat umum. Sehingga kini kutipan terkumpul Saham Wakaf Selangor berakhir disember tahun 2007, ialah sebanyak 15 juta.
Dengan adanya program ini, pihak MAIS telah melaksanakan beberapa pembangunan harta umat Islam melalui pendekatan wakaf antaranya dengan pembelian 5 lot kedai di Bandar Bukit Puchong, membina Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Taman Bandaran Kelana Jaya. Sebahagian kos pembinaan semua masjid Al-Nur, Kampung Kunci Air Buang, Tanjung Karang , sebahagian kos pembinaan Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan pembinaan perpustakaan wakaf di wisma MAIS Seksyen 3, Shah Alam. Selain itu, MAIS juga memberikan bantuan umum kepada sekolah, surau-surau dan masjid melalui mesyuarat jawatankuasa pengurusan wakaf MAIS. Ini membuktikan bahawa pihak MAIS begitu bersungguh-sungguh dalam usaha memartabatkan sosial dan sosio-ekonomi umat Islam di Negeri Selangor melalui pembangunan harta wakaf.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Adalah diakui bahawa amalan berwakaf dapat menjadi satu sistem bagi membangunkan ekonomi umat Islam, seandainya ditadbir secara berkesan. dalam suasana ekonomi umat Islam yang sentiasa ketinggalan dengan bangsa asing, seharusnya umat Islam perlu ada satu kaedah yang diiktiraf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi ummah. Oleh itu, komitmen, kesedaran dan sokongan semua pihak amatlah diharapkan untuk menjayakan program ini.
Justeru, rebutlah peluang keemasan ini untuk kita membangunkan institusi wakaf bagi manfaat umat Islam pada masa akan datang, sekaligus mengumpulkan bekalan akhirat sebelum kita menemui Allah S.W.T dan memartabatkan Islam ditempat yang tertinggi. semoga sumbangan wakaf yang dihulurkan akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berkekalan dan membawa kesejahteraan kepada umat Islam terutamanya dinegeri Selangor.
"Jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahannya menyangka bahawa kebakhillan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan harta mereka simpan itu (tidak menegeluarkan Zakat) pada hari kiamat kelak. Allah jualah yang memiliki segala warisan (isi) langit dan bumi. (Ingatlah) Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan." (Surah Al-Imran ayat 180)
Tinta mencoret: Bersama membangunkan institusi wakaf bukan sahaja di Selangor, bahkan di seluruh Malaysia dan dunia...
No comments:
Post a Comment