Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

06 October 2008

Wang Ihsan Bill Gates

Oleh Amir Abd Hamid

KUALA LUMPUR: Taktik licik terbaru sindiket penipuan Internet dikesan menggunakan nama jutawan yang juga pengasas perisian Microsoft, Bill Gates, bagi memerangkap mangsa sindiket itu melalui e-mel.

Antara kandungan e-mel yang kini tersebar luas di seluruh negara ialah ‘tidak perlu mengeluarkan sebarang modal atau pelaburan, namun dijanjikan pulangan wang ribuan ringgit setiap minggu dengan hanya menghantar e-mel’.

Dakyah e-mel berangkai itu menyatakan Gates mahu berkongsi kekayaan melimpah ruah dimilikinya dengan pelanggannya, menerusi dua syarikat tersohor, Microsoft dan AOL.

Turut dinyatakan pesanan, pembaca yang mengendahkan e-mel berangkai yang dikirim itu bakal menyesal tidak terhingga di kemudian hari.

Malah, pengakuan yang dilampirkan bersama kiriman e-mel itu turut tertera dakwaan beberapa nama yang menerima wang dalam dolar Amerika Syarikat, dimasukkan melalui akaun bank.
Namun, setiap pembaca yang mengirim semula e-mel itu perlu memberikan butir diri seperti alamat dan nombor akaun bank sebelum menerima wang berkenaan.
Untuk meyakinkan pembaca e-mel, nama penjawat kanan badan berkanun iaitu setiausaha kepada Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah, Norhafizah Abdul Halim, turut dinyatakan sebagai antara pelanggan bertuah yang menerima kononnya ‘wang ihsan’ Gates itu.

Pengakuan menerusi e-mel berkenaan mengatakan kononnya Norhafizah menerima wang RM5,449 dimasukkan ke akaunnya selepas melanjutkan e-mel itu kepada pihak lain.

Bagaimanapun, Norhafizah, 27, ketika dihubungi Harian Metro semalam menafikan mendapat wang ‘terpijak’ itu dan mendakwa ada pihak tertentu menggunakan butir dirinya serta tidak tahu tujuan pihak terbabit.

Katanya, dia langsung tidak percaya walau apa juga jenis skim, pelaburan atau segala bentuk kenyataan menawarkan wang tanpa berusaha.

Dia yang terkejut apabila dihubungi Harian Metro menyatakan jika boleh mendapat ribuan ringgit dengan hanya duduk saja, lebih baik berhenti kerja.

“Saya tertekan sehingga mengganggu kerja apabila menerima ratusan panggilan dan e-mel sejak maklumat diri dipergunakan di Internet mengenai wang ihsan itu.

“Nama, jawatan dan nombor telefon yang tertera itu sebenarnya bagi tujuan urusan kerja yang dipaparkan di laman web Mara.

“Tapi saya sudah hubungi pegawai sistem maklumat Mara di ibu pejabat Mara Kuala Lumpur untuk membantu mengatasi masalah itu dan ketua (pengarah) di Kedah turut diberitahu,” katanya yang membuat laporan polis.

Sementara itu, Naib Presiden Dapat Vista Sdn Bhd yang juga pengasas dapat.com, Azli Paat, menjelaskan e-mel berantai seperti itu digunakan sindiket untuk menjual nama, alamat, e-mel dan nombor telefon mangsa kepada syarikat tertentu.

Mengulas lanjut, katanya, kebiasaannya syarikat yang membeli butiran peribadi itu menjalankan perniagaan tidak sah seperti gores dan menang.

“Ada juga butiran peribadi mangsa digunakan bagi penipuan akaun bank. Kegiatan seperti ini lebih bahaya daripada ancaman virus.

“Virus boleh digugurkan melalui antivirus, tapi sindiket menjalankan urusan jual beli maklumat peribadi ini mengaut untung dengan menganiaya pemilik maklumat itu,” katanya.

Azli berkata, harga setiap e-mel atau butiran peribadi lain bergantung kepada perniagaan yang dijalankan iaitu boleh bermula daripada 20 sen hingga sekitar RM5.

“Bayangkan jika maklumat yang dijual dalam skala besar padahal modalnya hanya cipta satu skim boleh menarik pelayar laman web,” katanya.

Menurutnya, dia turut menerima banyak e-mel menawarkan wang, tapi mengambil tindakan membuang atau meletakkannya dalam fail spam.
Sumber: Harian Metro, 6 Oktober 2008
Tinta Mencoret: Saya dari dulu lagi tidak pernah percaya dengan surat berangkai. Kali pertama menerima surat berangkai masa darjah enam. Masa itu, bukanlah dengan e-mail tetapi dengan surat. Memang tidak dibalas walaupun disuruh hantar kepada enam pengirim lain. Ibu saya yang cakap jangan balas, saya pun malaslah nak balas. Bazir masa. Hitam putih tiada, masakan kita peroleh keuntungan?

No comments: