Zaman sekarang dibandingkan dengan zaman dahulu memang banyak berbeza. Perwatakkan budak-budak dahulu dengan sekarang sudah jauh berubah. Usah diambil contoh yang jauh, cuma teropong pada diri kita sendiri.
Sewaktu saya kecil, sekiranya saya bangkit daripada tidur jam 8, pastinya ia waktu yang amat lewat. Keadaan rumah ketika itu sudah kecoh dengan borakan dan anak-anak (termasuk saya) berkumpul menonton rancangan kanak-kanak di TV. Seingat saya, antara rancangan yang dipertonton ketika itu ialah rancangan Dragon Ball, Sailormoon, KFC Hour, Digimon, Cardcaptor Sakura (my favourite) dan pelbagai lagi yang saya terlupa. Walaupun banyaknya rancangan kartun yang dihimpunkan, ternyata ia berjaya menarik perhatian kanak-kanak ketika itu untuk bangun awal pagi pada Sabtu dan Ahad.
"Zaman sudah berubah." Memang benarlah apa yang dikatakan itu. Zaman sekarang, budak-budak memang tidak peduli tentang kartun itu kerana mereka boleh menonton kartun pada bila-bila masa melalui Astro. Ada Astro Ceria, Cartoon Network, Disney Channel dan pelbagai lagi. Ini membuatkan himpunan rancangan kartun pada awal pagi Sabtu dan Ahad tidak lagi dihiraukan. "Alah, TV Malaysia apa yang sedap kartunnya..."
Bukan itu yang saya maksudkan, sedap ataupun tidak kartunnya. Yang saya risaukan ialah budaya bangun lewat. Memang tidak dinafikan, terkadang saya sendiri terbangun lewat. Tetapi, kita harus ingat. Budaya ini JANGAN sesekali kita terapkan dalam budaya anak-anak kita (wah, macam saya sudah ada anaklah pula).
Dewasa ini, kebanyakan daripada kalangan kita gemar bangun lewat. Tidak salah sekiranya kita lewat bangkit, tetapi ia menjadi salah sekiranya kita tidak berusaha bangkit untuk menunaikan solat fardu Subuh. Jadi, tidak mengapa sekiranya kita tidur selepas itu dan bangkitnya lewat...
Solat Subuh adalah salah satu daripada solat 5 waktu. Rasulullah saw pernah memberitahu bahawa orang munafik (berpura-pura Islam atau berpura-pura mengamalkan ajaran Islam) begitu liat untuk mengerjakan solat Isyak dan Subuh. Mahukah kita tergolong dalam kalangan orang munafik?
Dan menjadi kewajipan ibu bapa mengejutkan anak-anaknya untuk bersolat Subuh. "Tak sampai hatilah nak kejut. Biarlah mereka tidur. Tiap-tiap hari bangun awal untuk ke sekolah, hari minggu macam ni, biarlah mereka berehat." Berehat? Adakah mereka sangka bahawa di dalam neraka nanti ada masa untuk rehat daripada seksaan seperti mereka di sekolah atau kita di pejabat? Tidak sama sekali?
"Bagaimana sekiranya kita berusaha untuk bangun dengan pelbagai cara, tetapi tidak berhasil untuk bangun?" Insya-Allah, sekiranya cara kita itu betul, Allah akan menggerakkan kita untuk bangun pada awal pagi. Tugas kita, berusaha (dengan cara dan teknik yang betul dan sesuai) untuk bangun pagi.
Dengan syarat, usaha dan berserah. Allah itu Maha Adil. Dia tidak akan memberati hamba-Nya dengan sesuatu yang diluar kemampuan. Bangun Subuh bukannya susah. Masalahnya ialah, kita sendiri tidak mahu berusaha untuk bangun seperti memasang alarm, sama ada jam loceng mahupun telefon bimbit. "Zaman dah berubah." Pelbagai cara kita boleh lakukan untuk bangun. Dan jangan lupa untuk mengejutkan anak-anak kita (bagi ibu bapalah), rakan-rakan kita dan sesiapa yang berhampiran dengan kita. Jangan sampai kita dipersoal oleh Allah swt kerana tidak menggerakkan mereka untuk mengerjakan solat Subuh.
Cerita mengenai mengejutkan seseorang untuk bangun Subuh, ada juga 'manusia' yang kejut bagai 'melepaskan' tanggungjawab sahaja. Itu salah. Kita melaksanakan tanggungjawab dengan 'melepaskan' tanggungjawab adalah dua perkara yang berbeza. Melaksanakan tanggungjawab bererti kita melaksanakan dengan penuh tanggungjawab, berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh 'keputusannya' yang diharapkan. Itu barulah melaksanakan tanggungjawab. 'Melepaskan' tanggungjawab bererti kita melakukan tanggungjawab secara ala kadar dan ia pastinya tidak mendatangkan hasil.
Kejutlah seseorang itu, tidak kiralah sama ada keluarga mahupun rakan untuk bangun solat Subuh bersama anda. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan kebajikan yang anda buat walau sekecil ibadat seperti itu.
الله أعلم بالصواب
Tinta mencoret: Saya lebih suka kejut bebudak lepas saya sendiri selesai solat Subuh. Kalau kejut awal-awal pun bukan mereka semua nak bangun. Alasan mereka, masih awal...
No comments:
Post a Comment