Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

21 October 2008

Malaysia Negara Islam ke?

Di mata dunia, Malaysia dicanang-canangkan sebagai sebuah 'negara Islam contoh' dan sepatutnya dijadikan sebagai role model oleh negara-negara Islam lain. Pemacuan ekonominya yang stabil dan meningkat, sifatnya yang terbuka dalam banyak perkara, dan pembangunan yang tidak henti-henti.

Benarkah?

Malaysia negara Islam contoh?

Saya mungkin akan katakan ya sekiranya perkataan Islam itu dibuang tetapi akan mengatakan tidak pada ungkapan itu.

Mengapa tidak? Bukankah kita memilik bangunan berkembar tertinggi di dunia, Petronas Twin Tower, SMART Tunnel yang dikagumi dunia, Masjid Kristal dengan Taman Tamadun Islamnya, Jambatan Pulau Pinang. Bukankah kita juga yang mengasaskan OIC pada zaman Tunku dahulu, memperkenal konsep Islam Hadhari, mengajurkan Moonsun Cup, F1, dan Musabaqah al-Quran Antarabangsa, sebagai tuan rumah kepada pelbagai persidangan antarabangsa, NGO, badan-badan korporat dan sebagainya. Tidakkah ia cukup membuktikan negara kita sebagai sebuah negara Islam contoh?

Tidak sama sekali!

Kita lihat kepada konteks perlaksanaan Islam itu sendiri. Adakah kesyumulan Islam itu melitupi seluruh Malaysia? Tidak.

Islam mengharamkan arak.
Tidak dinafikan adat kaum lain yang menggunakan arak dalam hidangan mereka. Tetapi adakah ia kawal daripada digunakan oleh umat Islam? Tidak.Nampakkah penghayatan Islam dalam isu ini? Tidak. Contohnya jelas di depan mata. Kilang arak yang besar di tepi Federal Highway (kilang arak Anchor dan Carlberg) di Shah Alam. Tidakkah cukup sekiranya hanya dibenarkan sebuah kilang sahaja? Arak boleh diperoleh di kedai serbaneka 24 jam dan pasaraya besar dan dijual secara terang-terangan tanpa larangan membelinya. Adakah pihak pengurusan kedai dan pasaraya terbabit melarang keras umat Islam membelinya? Tidak. Kesimpulannya, arak masih lagi boleh diminum oleh masyarakat Muslim

Islam mengharamkan judi.
Setakat saya tahu, tiada satu pun agama yang menggalakkan perjudian. Oleh itu, apakah alasan yang membolehkan kita membenarkan beroperasinya kedai judi dan nombor ekor? Sesiapa sahaja boleh berjudi dan menikam nombor. Walaupun jabatan agama selalu membuat serbuan tetapi ia tidaklah menyeluruh kerana pelbagai faktor. Contohnya pun jelas. Nun di atas bukit di Pahang (dari timur laut KL boleh dilihat jelas kompleks judi ini). Tidak cukup dengan satu 'kompleks judi besar', dibenarkan juga 'cawangan-cawangan kecil' judi beroperasi di seluruh negara! Kesimpulannya, masyarakat Islam masih boleh membeli judi walaupun 5 peratus daripada mereka ditangkap pegawai agama.

Islam melarang berlaku zalim dan tidak adil sesama makhluk.
Adilkah kita? Dalam banyak hal, memang kita nampak 'adil' tetapi sebenarnya tidak. Mengapa seorang ahli politik daripada parti kerajaan tidak dikenakan tindakan polis kerana mencetuskan ketegangan kaum tetapi dikenakan ISA terhadap ahli politik pembangkang, blogger yang tidak sehaluan dengan kerajaan dan media? Adakah ia adil? Adilkah kita sekiranya 'mengongkong' media daripada menyiarkan berita-berita daripada pihak yang tidak sehaluan dengan kita? Adakah ia adil? Adilkah kita membina sebuah masjid yang berkilauan di salah sebuah negeri miskin di negara kita? Adakah ia adil? Adilkah kita sekiranya merampas hak kekayaan sesebuah kawasan yang dhaif? Adakah ia adil? Adilkah kita sekiranya menahan individu selama bertahun-tahun lamanya tanpa dibuktikan mereka bersalah? Adakah ia adil? Kesimpulannya, fikir sendirilah, adil ataupun tidak.

Islam melarang mengaibkan seseorang.
Untuk mendapatkan kuasa, sesetengah pihak sanggup mengaibkan lawannya dengan pelbagai tuduhan liar yang tidak lagi dibuktikan kebenarannya. Termasuklah tuduhan terhadap lawannya yang menghadapi pertuduhan mahkamah. Sekiranya benar lawannya melakukan perkara yang begitu mengaibkan, adakah kita berhak menghebahkannya kepada masyarakat umum? Masyarakat umum hanya perlu mengetahui tahap keimanan seseorang dan kebolehannya memimpin negara sebagai maklumat untuk mereka memilih pemimpin mereka, bukannya aib individu tersebut. Bukan sekadar ahli politik sahaja, pegawai agama turut mengaibkan ahli maksiat dengan mendedahkan kepada umum wajah-wajah mereka yang ditahan dalam serbuan. Kita tidak boleh mengaibkan mereka sebegitu kerana mereka belum diputuskan mahkamah bahawa mereka bersalah. Mereka tetap memiliki maruah walaupun mereka melakukan maksiat. Barangsiapa yang menutup aib saudaranya, percayalah Allah akan menutup aibnya di akhirat kelak. Kesimpulannya, adakah pasti maruah kita dijaga dan tidak akan diaibkan? Saya tidak berasa demikian.

Islam melarang program berunsurkan kemungkaran.
Tidak dinafikan banyaknya program dakwah di Malaysia tetapi ia tidak dapat menandingi program dan fiesta maksiat yang 1000% lebih banyak daripada yang baik. Hanya satu program makruf atau dakwah yang kecil dalam sepuluh pesta maksiat yang berganda hebatnya. Adakah ia dapat menyemai kesyumulan Islam itu? Tidak. Lihatlah. Tidak putus-putus program realiti hiburan yang akhirnya melahirkan lebih banyak 'anak-anak didikan syaitan' dan bersama mereka meninggikan 'syiar' kemaksiatan. Sifat universal Islam itu sendiri malap apabila program-program hiburan dan kesenian itu tidak ditiupkan ruh Islam dan hanya mengikut hawa nafsu semata-mata. Akibatnya, timbullah budaya pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang turut menyebabkan lahirnya anak luar nikah. Tidakkah kita berasa bersalah membiarkan aktiviti maksiat mengiring kehidupan seharian kita? Kesimpulannya, Malaysia mengamalkan amar makruf wa munkar (menyuruh kepada kebaikan dan kemungkaran).

Apa yang saya coretkan hanyalah secoret asas-asas dalam Islam itu sendiri, tanpa melangkah kepada perkara yang lebih berat seperti hudud dan perjalanan siasah yang lebih bersih. Kita sendirilah yang menilai sama ada Malaysia sebagai negara Islam yang boleh dijadikan role model kepada negara Islam yang lain ataupun tidak.

والله أعـــــــــــــــلـــــــــــم بالصــــــــــواب

Tinta mencoret: Bak kata Nabil, "Lu fikirlah sendiri." Malas nak ulas banyak-banyak, nanti kena 'gam'. Kita sama-samalah baiki keadaan yang 'nazak' ini dengan menggantikannya dengan sinar Islam agar negara kita dapat menjadi seperti apa yang kita canang-canangkan selama ini, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

No comments:

Post a Comment